Halaman

13 December 2013

SIDANG DUN: Kerajaan tidak ambil tanah semborono

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri tidak akan melakukan pengambilan tanah secara semborono tanpa berasaskan kajian, peraturan dan garis panduan termasuk melaksanakannya berdasarkan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP), bagi mengelak berlakunya pencemaran sungai di Terengganu.

YB Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (Seberang Takir-BN), berkata dua kaedah rawatan sungai, iaitu menggunakan semburan Efektif Mikrooragnisma (EM) dan mencampak EM serta perangkap sampah juga dilaksanakan bagi membersihkan sungai.

 “Tiada masalah, sekiranya ada berlaku masalah pencemaran di luar kawalan , kita akan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya. Apabila kita melakukan pembangunan sudah tentu ada perkara luar jangkaan akan berlaku.

“Tetapi dalam soal pembangunan Kuala Nerus, kerajaan sudah mempunyai langkah, cara dan kaedah bagaimana kita hendak membangunkan kawasan itu sesuai dengan penggunaan teknologi hijau,” katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan Dr Alias Razak (Bukit Tunggal-Pas), di sidang DUN (hari keempat), semalam.

Dr Alias meminta penjelasan mengenai langkah pencegahan yang diambil kerajaan negeri bagi memastikan tiada pencemaran di Sungai Terengganu kesan pembangunan pusat pertumbuhan baru daerah Kuala Nerus.

Terdahulu, Dato’ Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri berkata usaha mengatasi penceramaran persekitaran dan sungai di negeri ini memerlukan kerjasama semua pihak serta tidak hanya bergantung kepada agensi dan jabatan berkaitan semata-mata.

 “Kesedaran itu perlu wujud di pihak kita sendiri kerana perlu juga inisiatif kita. Kita tiada masalah jika pihak pembangkang mahu melaksanakan kerjasama dengan jabatan berkaitan untuk melaksanakan program sebagaimana yang disebut tadi.

“Maka apabila ada program gotong-royong, apabila kita naikkan kain rentang , tidak perlulah surat jemputan, apabila dah ada kain rentang bermakna kita jemput semua hadir bersama, tetapi masalah kita begitulah, apabila ada gotong-royong ini, kadang-kadang sambutan itu tidak sepertimana yang kita harapkan,” katanya.


SIDANG DUN: Mangsa banjir boleh rumah percuma bawah program PPRT

Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said berkata mangsa banjir yang kehilangan rumah boleh membuat permohonan untuk memiliki rumah secara percuma di bawah program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM40,000.

 "Ini khusus untuk sesiapa yang rumah mereka dihanyutkan air, roboh sama sekali atau mengalami kerosakan yang terlalu besar hingga tidak boleh dibaiki.

"Pihak bertanggungjawab akan mengumpul data mereka yang terlibat sebelum perkara itu dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas persidangan DUN, semalam.

Terdahulu, ketika sesi perbahasan, YB Mohd Iskandar Jaafar (BN-Jabi) mencadangkan kerajaan negeri Terengganu mengecualikan bayaran bil utiliti dan sewaan bangunan kedai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada mana-mana penduduk yang terjejas teruk akibat banjir.

 "Perkara ini wajar dipandang serius kerana banyak kerugian terpaksa ditanggung mangsa banjir. "Jika bil utiliti seperti bayaran kadar air, elektrik dan sewaan bangunan kedai dapat dikecualikan selama sebulan, sudah tentu mampu melegakan mereka," katanya.

YB Mohd Iskandar juga mencadangkan supaya kerajaan negeri menangguhkan cadangan menaikkan kadar yuran taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sebanyak RM50 daripada jumlah asal.

Selain itu, beliau berharap kerajaan negeri juga menekankan kepada praktikal sesuatu ilmu yang diajar tanpa terlalu bergantung kepada kefahaman teoritikal semata-mata, khususnya dalam mata pelajaran pendidikan Islam.


12 December 2013

SIDANG DUN: Wanisma terima pampasan RM2.4 juta.

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri telah membayar pampasan berjumlah kira-kira RM2.4 juga kepada pengusaha Syarikat Wanisma Craft & Trading, Wan Mahadi Wan Ismail yang berjumlah kira-kira RM 2.4 juta, pada Mac tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ seri Haji Ahmad Said, berkata pampasan itu dibayar dalam bentuk gantian lima lot tanah iaitu lot PT- 4074; PT- 4075; PT-4076; PT4077; PT4078 dan PT 4938 dan kini sudah diberi hak milik kepada syarikat itu.

“Jumlah pemberian sama nilai dengan tanah yang diambik balik. Tapi sehingga kini pemilik Wanisma masih belum membina bangunan.

“Kerajaan juga bercadang untuk membina rumah kedai kepada pengusaha kraf dan tembaga lain, di sebabkan timbul masalah `layout tanah’, projek itu terpaksa ditangguh duhulu untuk memberi laluan kepada pembinaan pangsapuri 30 tingkat.,” katanya.

 Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri dalam sesi pengulungan Bajet 2014, hari ini. Dato’ Ahmad turut memberitahu, Pembinaan Syarikat Top IT bukan saja khusus untuk pengeluaran e-Book,malah peralatan lebih canggih pun dihasilkan.

Katanya, tahun lalu, Terengganu keluarkan produk telefon intar pintar Magic W3 untuk pasaran ke Amerika Syarikat. Magic W3 ini merupakan gajet tercanggih di dunia.

“Alat telekomunikasi pertama dunia ini menggunakan perisian Windows 7 secara keseluruhan dan dilengkapi “GSM Voice’.

“Kejuruteraan telephony telefon berkenaan yang bernilai RM3,000 seunit turut dipasarkan ke Eropah di mana sasaran utama golongan profesional di seluruh dunia,” katanya.

Menurutnya, terbaru, Top It juga telah menaiktaraf e-Book kepada bentuk lebih moden, jika dahulu berat e-Book kira-kira 1.8 kg, dan kini hanya seberat 948 gram.

“Perisiannya sama seperti e-Book, iaitu lengkap dengan `software’ buku teks, al-Quran, paduan solat dan sebagainya.

 “Kerajaan negeri kesal kerana ada pihak yang menuduh pengagihkan e-Book itu satu pembaziran, sedangkan kita sekarang ini menuju alaf baru, perlu komputer, sekurang-kurangnya anak-anak kita tidak ketinggalan,” katanya.

 “Orang yang kemampuan mungkin tidak ambil kisah dan boleh beli e-Book, tapi tidak bagi anak nelayan dan petani, apa yang diberikan itu, nyata membantu mengenal dunia Teknologi Maklumat,” katanya.

 

SIDANG DUN: LPT dijangka siap tahun depan

Oleh: Suriati Ali

Semua 16 pakej fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2) dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun depan.

 Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri Ir Rosli Othman, berkata sehingga kini, sembilan dari 16 pakej LPT 2 telah siap.

 "Kita tahu rakyat pantai timur meletakkan harapan lebuh raya ini siap dengan kadar segera.

 "Pihak kami harap dapat menyelesaikan permasalahan bahagian kontraktor yang lambat menyiapkan kerja serta kami akan mencari jalan bagaimana dapat membantu memastikan kerja disiapkan pada tarikh yang disasarkan," katanya.

 Beliau berkata demikian dalam sesi pengulungan pada Sidang Dewan Undangan (DUN), hari ini.

YB Ir Rosli berkata, pakej melibatkan laluan Bukit Besi ke Paka dijangka siap akhir tahun ini setelah JKR meminta kerja-kerja menyiapkan lebuh raya di kawasan itu dipercepatkan.

 “Projek LPT 2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu merupakan kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion.

 “Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

 “Projek yang sepatutnya siap pada akhir 2010 itu bagaimanapun mengalami masalah apabila beberapa kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja mengikut jadual yang ditetapkan berikutan masalah kenaikan harga barangan pembinaan di pasaran,” katanya

 

SIDANG DUN: Projek pejabat baru MBKT diserah kepada kontraktor

Oleh: Aida Abd Rahman

Projek membina bangunan baru Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berhampiran pantai di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu yang meliputi keluasan 2.2 hektar sudah diserahkan kepada kontraktor terlibat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek pembinaan bangunan 30 tingkat membabitkan peruntukan RM141 juta itu di bawah seliaan  Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu sebagai Pegawai Penguasa (S0).

“Ia akan menjadi satu lagi mercu tanda baru bandar Kuala Terengganu dan kos pembinaan pejabat baru MBKT itu di bawah peruntukan kerajaan negeri.

“ Sementara bangunan pejabat MBKT yang sedia ada ini disewa dari Perbadanan Memajukan iktisad Negeri (PMINT) dan terpulang kepada PMINT untuk mencari penyewa lain atau menggunakan pejabat itu nanti untuk kegunaan mereka berikutan pertambahan kakitangan dan pembesaran ruang pejabat ,” katanya ketika menjawab soalan lisan YB Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang-Pas), di sidang DUN, (hari keempat), di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah beliau lagi, PMINT juga akan berpindah ke bangunan baru apabila siap menara berkembar milik perbadanan itu yang akan dibangunkan tidak jauh dari bangunan sedia ada, tidak lama lagi.

Katanya, bangunan baru PMINT nanti juga bakal disewa sebahagian besarnya oleh Jabatan Lembaga Hasil Dalam Negeri Terengganu, sementara satu lagi menara akan dijadikan hotel.

“Pemaju hotel sudah bersetuju untuk menyewa bangunan itu untuk dibangunkan sebagai hotel,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan YB Dato’ Tengku Hassan berhubung status pembinaan menara PMINT.



SIDANG DUN: 23 kawasan industri dibangunkan di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu mempunyai 23 kawasan industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) serta berat melibatkan keluasan 3,371.69 hektar yang dibangunkan di seluruh daerah.

Kawasan industri itu termasuk pembangunan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)," kata YB Dato’ Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang- BN), ketika menjawab soalan lisan YB Azan Ismail (Bandar-PKR) di sidang DUN (hari keempat), di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dato' Tengku Putera yang juga Pengerusi Jawatankuasa perindustrian dan Perdagangan negeri, berkata antara kawasan perindustrian itu termasuk kawasan terawal yang dibangunkan di negeri ini, iaitu Gong Badak, Kuala Terengganu yang menjalankan industri elektronik, pengangkutan dan pemprosesan makanan.

“Di Chendering, Kuala Terengganu (elektronik, tekstil, pemprosesan makanan dan kraftangan) dan di  Pulau Serai, Dungun (IKS, pemprosesan makananan dan logistik).

“Kawasan utama, di Kertih yang melibatkan 790 hektar (petroleum, produk petrokimia, logistik, gas dan jentera berat); Bukit Kor, Marang (pembungkusan makanan, pemesinan, pusat bahan binaan dan latihan), sementara di Teluk Kalong yang juga kawasan perdana merangkumi 1,200 hektar menumpukan industri berat seperti petrokimia, fibrikasi peralatan, penyelenggaraan, logistik, gas dan petroleum,” katanya. 

Kawasan lain, di Gong Medang, Besut (perabot, perkayuan dan pembungkusan makanan); Jakar 1 , 2 dan 3, Kemaman (perkilangan mesin dan kelengkapan industri); Batu 7, Dungun (bahan pembinaan, pemesinan, kelengkapan pengangkutan produk besi dan aluminium); Ajil, Hulu Terengganu (perkayuan perabot, percetakan dan pemesinan); Bukit Labohan Kertih (komponen jentera berat dan logistik); Wakaf Tapai, Marang (perkayuan perabot dan pemesinan); Mak Lagam, Kemaman (pemesinan, besi dan aluminium) dan Bukit Besi, Dungun (perkayuan, perabot dan kilang IKS).

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kerajaan mensasarkan akan berlaku peningkatan ketara dan wujud daya saing dalam sektor berkenaan apabila siapnya akses utama , Lebuh Raya Pantai Timur Fasa II tidak lama lagi.

“Jika satu masa dahulu, Terengganu dilihat jauh oleh pemain industri, termasuk infra dan juga kemudahan lain, tetapi dengan pembinaan LPT Fasa II yang hampir siap, Terengganu tidak lagi ketinggalan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan YB Azan mengenai strategi meningkatkan perolehan industri SME di negeri ini.

Tambah beliau, strategi Bajet 2014 juga meletakkan teras utamanya untuk mendayasaingkan keupayaan negeri dalam semua bidang termasuk perindustrian yang akan menjurus kepada pembangunan SME secara keseluruhannya.



Syarikat roti Gardenia enggan terima bayaran, Ahmad Said rasa terharu

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa terharu apabila pihak pengurusan syarikat roti Gardenia enggan menerima bayaran roti yang diagihkan kepada mangsa banjir yang terperangkap di negeri itu baru-baru ini.


Sebaliknya pihak pengurusan syarikat terbabit menganggap roti itu sebagai sumbangan mereka kepada mangsa banjir di negeri itu.

“Terima kasih kepada pengurusan Gardenia yang pada hari itu saya membuka lori untuk diagihkan (roti). Asalnya kita berbincang dengan driver, pada awalnya tidak berani tetapi saya cakap dengan pegawai pengurusan dia saya bersetuju untuk membayar harga roti tersebut. Apabila kita tulis surat untuk mendapatkan invois,pengurus dia kata ini sumbangan mereka untuk mangsa banjir yang terkandas. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada pihak Gardenia,” katanya.


Beliau yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemaman meminta dua pemandu lori Gardenia mengagihkan roti yang dibawa mereka kepada orangramai.

Lori terbabityang  turut terkandas ekoran banjir di kawasan Chendor, pada mulanya enggan membenarkan lori mereka dibuka .

50 sukarelawan APMT sertai misi bantuan banjir

Gambar-gambar oleh Zulkipli Putra

Seramai 50 sukarelawan menyertai misi bantuan kemanusiaan mangsa banjir di Kemaman anjuran Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), semalam.




Sukarelawan yang terdiri daripada Skuad Cakna Banjir APMT itu mengambil inisiatif bergotong-royong membersihkan masjid dan kawasan perumahan penduduk yang teruk terjejas akibat banjir.





Misi bantuan sehari itu menfokus kepada kawasan perumahan di Kampung Mak Chili dan Masjid Mak Chili, Kemaman.

Mangsa banjir mengucapkan terima kasih dan melahirkan rasa syukur dengan keprihatinan para sukarelawan.







 

Pungutan zakat Maidam cecah RM97 juta sehingga November

Oleh: Noraini Jusoh

Jumlah pungutan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sehingga November lalu berjumlah RM97,312,454 berbanding RM86 juta sepanjang tahun lepas.

Pengarah Jabatan Baitulmal Maidam, Mohd Noor Mohamad (gambar) berkata, sasaran untuk memungut sebanyak RM120 juta tahun ini dijangka akan membuahkan hasil berikutan sehingga kini pungutan zakat oleh Maidam sudah melebihi RM10 juta berbanding sepanjang tahun lepas.

"Saya yakin angka RM120 juta dapat dicapai kerana kebiasaannya dua minggu terakhir bulan Disember merupakan 'masa kemuncak' bayaran zakat yang akan dibuat oleh orang ramai.

“Bagi memudahkan orang ramai, Maidam akan membuka kaunter pungutan zakat pada dua minggu terakhir, tujuh hari seminggu mulai 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan pada hari terakhir, kaunter akan dibuka sehingga 12 tengah malam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan Zakat Perniagaan oleh Bank Rakyat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di Istana Syarqiyyah, Chendering, semalam.

Pada majlis itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima wang zakat berjumlah RM1.078 juta daripada Bank Rakyat.

Menurut Mohd Noor, daripada RM97 juta zakat yang berjaya dipungut Maidam itu, sebanyak RM51 juta telah diagihkan kepada golongan asnaf yang layak seperti fakir miskin, mualaf dan fisabilillah.

Katanya, untuk tahun ini pungutan terbesar zakat oleh Maidam datang daripada zakat pendapatan sebanyak RM38 juta diikuti perniagaan (RM29 juta) serta simpanan (RM17 juta).

Dalam pada itu katanya, bagi meringankan beban golongan asnaf yang dilanda musibah banjir baru-baru ini, Maidam juga akan menimbangkan jumlah agihan yang akan diberikan kepada fakir miskin berdasarkan keadaan dan keperluan mereka pada waktu pasca (selepas) banjir.



YPU terima RM130 juta

 Oleh: Suriati Ali 



 Kerajaan negeri memperuntukan RM130 juta sebagai usaha menyokong Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menjayakan Pelan Pembagunan Lima Tahun, mulai tahun depan.

 Menteri Besar. Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dia menyambut baik perlaksanaan pelan itu di mana mampu merancakkan lagi program pembangunan keusahawanan, melahirkan usahawan lebih berwibawa dan komited pada perniagaan masing-masing.

 Katanya, menjadi kelaziman, setiap syarikat ternama pasti mempunyai perancangan terperinci untuk melebarkan sayap perniagaan lebih meluas.

“Usahawan yang baru bertatih pula perlu celik untuk melihat semua itu, dan bukannya bertindak tutup perniagaan dan mengambil pendekatan hanya lihat orang lain berjaya.

 “Dengan perancangan diri, kita dapat menentukan banyak perkara, termasuk bijak menentukan masa untuk mencapai sesuatu dan mengkaji pencapaian syarikat dari masa ke semasa,” katanya.

 Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi &Kepenggunaan Negeri, YB Encik Roslee Daud, pada majlis Anugerah Usahawan Terengganu, di Primula Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Pada majlis itu., Pengarah Urusan Desa Murni Sd Bhd, Haji Shuhaimi Embong diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Usahawan 2013.

Dato’ Haji Ahmad turut memberitahu proses melengkapkan diri dan memperbaiki pencapaian perlu dilakukan sepanjang masa. Budaya sentiasa belajar perlu diterapkan dan tapap pencapaian perlu dipertingkatkan.

“Perlu ingat tiada perniagaan boleh mengekalkan kecemerlangan dengan hanya mengamalkan kaedah dan sistem yang sama.

 “Kita perlu inovatif dan kreatif selain perlu mempelajari apa yang terbaik daripada sebarang kaedah, serta bijak menyesuaikannya untuk dijadikan amalan perniagaan,”katanya.