Halaman

26 January 2014

RM10.3 juta baiki kerosakan akibat banjir di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak RM56.9 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih jalan, cerun dan jambatan yang terjejas teruk akibat banjir di tiga buah negeri baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Fadillah Yusoff berkata, jumlah itu termasuk RM10.3 juta (Terengganu), RM41.5 juta untuk Pahang dan RM5.1 juta (Johor).

"Berdasarkan laporan awal, sebanyak RM56.9 juta peruntukan diperlukan untuk proses baik pulih kerosakan itu walau bagaimanapun kita masih lagi memperincikan aspek teknikal bagi menentukan jumlah kos sebenar.

"Kita menjangkakan kerja-kerja itu akan dijalankan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan Jambatan Bukit Kuang, Kemaman hari ini.



Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Himmat Singh; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Noor Yaacob dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim. 

Fadillah yang dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke negeri ini bermula semalam kemudian meluangkan masa menyertai gotong-royong bersama sukarelawan di Kampung Pasir Gajah, Kemaman yang terjejas akibat banjir.




Berjiwa kental walaupun sakit

Oleh: Amirullah Othman dan Noraini Jusoh

Penderitaan Timbalan Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Cawangan Gong Nangka, Mohd Aidie Ismail, 24, turut dirasai ahli yang lain.
Sebagai persatuan yang mementingkan kebajikan ahlinya, Pengerusi MAYC Cawangan Gong Nangka, Shah Juhan Nura Sultan bersama beberapa ahli yang lain meluangkan masa melawat Mohd Aidie yang hanya mampu terlantar atas kerusi di rumahnya akibat menderita sejenis penyakit berbahaya.

Pengerusi MAYC Marang, Amirullah Othman turut sama dalam kunjungan tersebut bagi bertanya khabar dan menyampaikan sedikit sumbangan berupa barangan dapur.

Menceritakan mengenai penyakit Mohd Aidie, Shah Juhan berkata, rakan baiknya itu tidak menyangka keputusan pemeriksaan kesihatan yang dijalaninya sebelum ini menunjukkan organ dalamannya diserang penyakit.

Tidak mahu mendedahkan jenis penyakit itu, Shah Juhan berkata, walaupun Mohd Aidie sakit, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat kepada persatuan dan berjuang bersama-sama rakan lain.

"Walaupun kini tidak lagi aktif, kami sentiasa mengunjunginya untuk bertanya pendapat dan berkongsi mengenai perkembangan semasa persatuan dan golongan belia di kawasan ini agar Aidie sentiasa mendapat maklumat terkini,” katanya ketika melawat pemuda berjiwa kental itu di rumahnya di Gong Nangka, baru-baru ini.

Shah Juhan berkata, timbalannya itu meluahkan keinginan untuk terus memberikan khidmat kerana merasakan masih banyak tanggungjawab belum dilunaskan walaupun kini terpaksa berehat di rumah.

"Antaranya menarik anak muda untuk menjadi pelapis pemimpin pada masa akan datang. Kami bukan sekadar menarik golongan ini untuk berjuang bersama, tetapi berkongsi maklumat tentang isu yang perlu diperjuangkan.

“Kami tidak mahu fikiran belia dikelirukan oleh pihak tertentu yang sentiasa cuba mempengaruhi mereka bagi memenuhi kepentingan peribadi,” katanya.

 

DUN Batu Rakit perkemas jentera SRS

Oleh: Suriati Ali

Jentera Skim Rondaan Sukarela (SRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit diperkemas bagi mengekang jenayah sekali gus mampu membentuk penyatuan lebih kukuh antara penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman, berkata dia berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan ahli SRS bagi memastikan kampung masing-masing berada dalam keadaan selamat biarpun kerja yang dilakukan itu tidak bergaji..

“Usaha itu secara tidak langsung membentuk hubungan yang lebih kukuh antara masyarakat setempat, “ katanya.

Katanya, buat permulaan, hanya sepuluh kampung atau sepuluh penubuhan SRS diwujudkan di DUN Batu Rakit.

“Melihat komitmen daripada ahli yang ada itu, saya percaya pada masa akan datang dapat diwujudkan jentera SRS di semua kampung secara berperingkat-peringkat bagi mengekang kadar jenayah secara serius,” katanya..

Sementara itu Pengerusi KRT Darat Batu Rakit, Zainal Awang Ngah, pihaknya membahagikan unit SRS kepada tiga kumpulan bagi memudahkan kerja-kerja rondaan dilakukan.

“Alhamdulillah, setakat ini, kerjasama yang ditunjukkan ahli sangat memberangsangkan dan kita tiada masalah untuk buat rondaan, ditambah dengan kelengkapan yang mencukupi untuk kerja-kerja meronda.

“Sekatan jalan turut dilakukan di semua pintu masuk dan keluar kampung yang utama bagi memastikan penjenayah tidak terlepas dan dalam masa sama memberi peringatan bahawa setiap tindakan mereka telah diperhatikan,” katanya.

 Penolong Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Rizal Abd Razak berkata, kesemua SRS di Dun berkenaan telah dibekalkan dengan peralatan untuk keselamatan petugas yang meronda.

“Sehingga kini, kesemua SRS telah mendapatkan peralatan masing-masing antaranya vest, cota, lampu suluh, walkie talkie.

“Malah, kita juga dalam proses untuk melakukan pembaikan berkenaan teknik penggunaan walkie talkie kepada semua ahli SRS,” katanya.

 

PEMIMPIN UMNO DI TENGAH-TENGAH KELOMPOK PAS: UKHWAH ISLAMIAH TANPA BATAS KEPARTIAN, KATA SPEAKER DUN


Teganukita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato’ Haji Harun Taib seorang dari kalangan pemimpin utama Pas yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir, Terengganu.

Ucapan takziah ini khusus kepada balu Allahyarham, To’ Hajah Puan Fatimah Ibrahim dan anakanda Allahyarham iaitu Adun Manir sekarang, YB Haji Hilmi Harun.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan keampunan dari Allah.

Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong hadir sama di majlis pengkebumian Allahyarham semalam, 25 Januari.

Turut sama hadir bersama ribuan penyokong Pas ialah Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, YB Dato’ Jailani Johari yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Haji Mohd Zubir berkata, ukhwah Islamiah perlu diteruskan tanpa mengenal batas sempadan perjuangan kepartian.


"SELAKU AHLI EXCO KERAJAAN SAYA BANGGA MENTERI BESAR TERENGGANU KETUAI EKPLORASI SAINTIS KE ANTARTIKA" YB ROZI


Pemergian Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama saintis ke Antartika adalah langkah wajar dan merupakan bukti kepekaan bagi mendorong penyelidikan bertaraf dunia dilakukan oleh saintis Malaysia, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, YB Haji Rozi Haji Mamat.

Katanya, sokongan dan penglibatan kerajaan negeri Terengganu bersama-sama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam usaha penyelidikan di Antartika itu amatlah dialu-alukan.

“Saya sebagai salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu amat berasa bangga dengan penglibatan itu, lebih-lebih lagi Menteri Besar Terengganu diberi kepercayaan mengetuainya.

Kita perlu melihat jauh ke hadapan, terutama bagi generasi belia tentang masa depan dunia, dari segi iklim dan cuacanya, kehidupannya dan pasti akan berkait dengan segala perkara perhubungan antarabangsa, keamanan, dasar antarabangsa dan sebagainya, kerana golongan muda akan berpeluang untuk meneruskan penghidupan di masa akan datang, ujar beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri menegaskan bahawa terlalu banyak kemungkinan ruang dan peluang untuk sama-sama kita perolehi jika kerajaan benar-benar serius dalam penyelidikan itu, sebagaimana yang telah lama dijalankan oleh negara-negara maju di Antartika.

Sekarang ini berbagai isu antarabangsa wujud seperti pemanasan global, pengerakan paksi bumi sedikit demi sedikit yang pasti akan melibatkan negara kita dari segi perubahan iklim dan cuaca, dan apakah persiapan kita kalau tanpa kajian dan penyelidikan rapi dibuat, kata Haji Rozi.

“Saya berharap golongan berfikiran jauh ke hadapan dan jangan terikut-ikut dengan cara rentak pembangkang yang cuba membawa masyarakat berfikiran jumud dengan menentang usaha-usaha baik itu,” katanya.


800 hadiri malam cinta rasul

Oleh: Amirullah Othman dan Noraini Jusoh

Seramai 800 orang menghadiri program Malam Cinta Rasul peringkat Parlimen Marang di Masjid Kampung Beladau Selat, semalam.
Program yang dianjurkan Majlis Belia Daerah Marang itu bertujuan memberi kesedaran kepada umat Islam khususnya golongan muda supaya mencontohi kepimpinan Nabi Muhammmad s.a.w.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Tuan Haji Saiful Bahri Baharuddin berkata, sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, Malam Cinta Rasul diadakan bagi mendekatkan lagi para belia dengan program berbentuk keagamaan.

“Ia juga bertujuan untuk menyemarakkan aktiviti sambutan Maulidur Rasul terutama di kalangan generasi muda.

“Kita bukan sekadar mahu meraikan hari kelahiran Rasulullah s.a.w semata-mata, tetapi sambutan ini juga diharapkan dapat menghimpunkan golongan muda terutamanya supaya dapat diperdengarkan kepada mereka kisah-kisah Rasulullah s.a.w sebagai teladan,” ujarnya ketika berucap di majlis berkenaan.

Katanya, program itu bermula kira-kira jam 7.30 malam dengan solat maghrib secara berjemaah yang diimamkan Ustaz Hafaz Ali yang merupakan Qari Terengganu.

Kemudian, diikuti dengan majlis berselawat ke atas junjungan Rasulullah s.a.w yang diketuai oleh Ustaz Hafaz Ali.

Selepas itu, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Terengganu, Ustaz Kamaruddin Omar menyampaikan tazkirah yang bertajuk Rasulullah ikutan sepanjang zaman.

Majlis diakhiri dengan para tetamu yang hadir mengerjakan solat isyak secara berjemaah sebelum menikmati jamuan ringan yang disediakan.

 

LEBUH RAYA PANTAI TIMUR GUMURUH DAH SAMPAI KE PAKA..PANTAS SEJAM BOLEH SAMPAI KUT...

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof turun padang meninjau sendiri jajaran lebuh raya dari Bukit Besi ke persimpangan Paka yang kini dibuka kepada pengguna jalan raya.

SEMAKIN MENJADI REALITI..... Sebahagian daripada Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang melibatkan jajaran sejauh 34 kilometer dari persimpangan Bukit Besi ke persimpangan Paka bernilai RM514 juta mula dibuka 25 Januari (semalam).

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, dengan siapnya jajaran baharu pakej 10 hingga ke sebahagian pakej 7 (7C) itu menandakan kira-kira 100 daripada keseluruhan 184 kilometer projek pembangunan mega di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 tersebut telah dibuka kepada orang ramai.

"Kerajaan berharap pembukaan lebuh raya ini memberi kemudahan penjimatan tenaga, kos dan masa perjalanan kepada pengguna lebuh raya lebih-lebih lagi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

"Pada masa sama, kerajaan komited untuk mempercepatkan pembukaan beberapa lagi jajaran LPT2 yang masih dalam proses pembinaan dan dijangka dapat disiapkan secara berperingkat sebelum September depan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan jajaran itu di Plaza Tol Bukit Besi.

Projek LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu merupakan kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion.

Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Pada 22 Ogos 2011, kerajaan membuka sebahagian jajaran LPT2 kepada laluan awam sepanjang 70 kilometer dari pakej 12 di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu hingga pakej 10 di persimpangan Bukit Besi.


25 January 2014

26 pasukan tanding takraw tertutup daerah Setiu, hari ini.

BERGAMBAR...sebahagian pemuda yang menyertai pertandingan Kejohanan Sepaktakraw Tertutup Daerah Setiu bergambar kenangan bersama Adun Permaisuri, Dato' Mohd Jidin Shafee (tengah) dan Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar sebelum memulakan perlawanan di Dewan Sekolah Menengah Tengku Ibrahim, Setiu, hari ini.

Kejohanan yang dianjurkan JKKK, KRT dan Pemuda UMNO Kampung Che Long itu bertujuan mengeratkan hubungan antara belia di daerah Setiu dan mewujudkan semangat usaha juang di kalangan pemain.

Jurucakap penganjur, Aziz Yahya, berkata sebanyak 26 pasukan menyertai kejohanan yang dirasmikan Dato' Mohd Jidin itu dan setiap pasukan diberi nama mengikut pilihan masing-masing 

Aziz (kiri) bersama YB Iskandar.
"Kejohanan ini adalah acara tahunan yang dianjurkan pihak kami dan pada masa depan kita mengharapkan lebih banyak lagi penyertaan bagi memeriahkan pertandingan ini," katanya. 

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Mohd Jidin mahu lebih banyak program yang membabitkan belia dan pemuda diadakan di daerah Setiu termasuklah program berbentuk kebudayaan,

"Pada tahun ini saya nak bincang dengan belia, kalau belia sanggup, samada melalui persatuan dan sebagainya, setiap permainan budaya, tradisi, seperti dikir barat akan diadakan bagi mengerakan belia di daerah," katanya yang turut menyumbang RM3,000 untuk makan malam peserta yang bertanding.

Dalam pertandingan itu, pasukan Bandar Permaisuri muncul juara manakala tempat kedua ialah Putera Jaya dan ketiga pula ialah pasukan Lembah Jaya.- Aminudin

Mula..seorang pemain melontar bola.

Mesra..Mohd Jidin bertanya sesuatu kepada seorang peserta.
Warm up..dua peserta sedang memanaskan badan.
Sokongan..antara penonton yang hadir.

 

" NAWI KAGUMI AHMAD SAID KE ANTARTIKA- USAHA CETUS BUDAYA ILMU PENYELIDIKAN DI KALANGAN PELAJAR DAN PENCINTA SAINS



Ketua Umno Bahagian Besut, YB Haji Nawi Mohammad berkata, lawatan kerja Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said ke Antartika adalah suatu pemikiran besar dan pandangan jauh pemimpin tersebut.
  "Ilmuan, para pendidik dan para pelajar perlu menjadikan ia sebagai cetusan ke arah budaya ilmu dan penyelidikan sains yang bukan sahaja di bilik darjah atau makmal, tetapi jauh dari itu hendaklah menanam cita-cita untuk turut sampai ke sana suatu masa nanti, katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Tani Negeri Terengganu.
  Beliau yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri meminta supaya masyarakat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sentiasa melihat usaha pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN), sebagai negatif walaupun hakikatnya hebat, cemerlang dan gemilang. "Dalam kehidupan orang-orang cemerlang mengamalkan budaya menimba ilmu sepanjang hayat, apatah lagi kita disarankan supaya ke mana sahaja ke pelusuk dunia untuk menimba pengetahuan," katanya meminta apa yang dimulai oleh Dato' Seri Ahmad perlu dicontohi.    Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Rosli Zakaria membuat penjelasan bahawa lawatan kerja Menteri Besar Terengganu ke Antartika di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan bukannya Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM).  "Kesilapan tidak disengajakan dan amat dikesali," jelas beliau.
  Dalam pada itu, BERNAMA melaporkan Kerajaan Serius Terajui Usaha Tangani Isu Perubahan Iklim, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
  "Kerajaan serius menerajui usaha menangani isu perubahan iklim dengan menggalakkan langkah adaptasi dan perancangan pembangunan mesra alam yang strategik untuk kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara", kata Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam 24 Januari.
                                                       





TDM sumbang 40 dan 45 peratus kepada pendapatan kumpulan

TDM Plantation Sdn Bhd mengunjurkan operasinya di Indonesia mampu menyumbang antara 40 dan 45 peratus kepada pendapatan kumpulan itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

 Ketua Pegawai Eksekutifnya Badrul Hisham Mahari berkata syarikat itu melabur antara RM250 juta dan RM300 juta dalam tempoh tujuh tahun untuk menanam kelapa sawit di ladang seluas 40,000 hektar miliknya di Indonesia.

 Seluas 12,000 hektar sudah pun ditanam kelapa sawit dengan 500 hektar daripadanya telah matang.

 Badrul berkata TDM mengambil peluang daripada kematangan kelapa sawit itu untuk membina sebuah kilang minyak 60 tan menelan belanja RM80 juta sejajar dengan tuaian pertama yang dijangka menjelang 2015.

"Kumpulan itu adalah syarikat perladangan pertama di Pantai Timur yang memperoleh pensijilan 100 peratus bagi kilang dan estetnya," kata beliau selepas majlis penyampaian sijil Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari.

 Bahagian perladangan kumpulan itu menerima pensijilan RSPO pada November 2013. TDM juga mempunyai dua kilang minyak sawit di Sungai Tong dan Kemaman, Terengganu.

 Badrul berkata bahagian perladangan itu merupakan penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan iaitu kira-kira 90 peratus berbanding unit penjagaan kesihatannya. Kumpulan TDM mengendalikan empat hospital komuniti pakar di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Terengganu.

 Hospital terbaharunya, Pusat Perubatan Kuantan di Pahang, akan dibuka kepada awam tahun ini manakala Hospital Pakar Kuala Terengganu di Terengganu, dijangka siap tahun depan. "Dua hospital itu masing-masing akan mempunyai 150 katil dan 130 katil," katanya.