Halaman

19 March 2014

Pemuda UMNO dan PAS sokong kerajaan pantau konsert.

Zahid...pantau konsert.
Oleh: Aminudin Ismail. 

PEMUDA PAS menyokong usaha kerajaan untuk memantau konsert yang membabitkan pengunaan dadah di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya ingin menyebutkan bahawa semalam saya telah menerima memorandam daripada pemuda PAS menyatakan keperihatinan mereka terhadap konsert Future Music Asia 2014.

"Dan mereka menyokong usaha-usaha kerajaan untuk memantau di masa hadapan konsert-konsert yang melibatkan penyalahgunaan dadah di kalangan penonton," katanya.

Zahid berkata, sebelum itu beliau juga menerima dokongan daripada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai keperihatin kerajaan  terhadap enam kematian yang berlaku di konsert itu.

Menurutnya, beliau juga mengadakan perbincangan dengan  Pengarah JSJ Narkotik Bukit Aman mengenai langkah-langkah lanjut yang akan diambil terhadap sebarang konsert yang dianjurkan dan ditaja pihak swasta atau pihak kerajaan.

"Kerana saya tidak fikir bahawa pihak penganjur dan pihak penaja menjangkakan peristiwa penyalahgunaan dadah itu, berlaku di dalam konsert yang seharusnya dijalankan sebaik-baiknya.

"Dan saya ingin memberitahu bahawa sebarang konsert yang melibatkan anak-anak muda ataupun melibatkan kumpulan remaja, akan dipantau bersama pihak-pihak PBT dan juga pihak penganjur supaya unsur dadah dan alkohol tidak terlibat dalam konsert-konsert terbabit.

"Walaupun ia bukan menjadi tanggungjawab polis sepenuhnya tetapi atas keperihatinan ini KDN akan bekerjasama dengan semua pihak supaya kejadian yang sama tidak akan berlaku," katanya kepada pemberita melalui sidang akhbar ketika hadir di Program Ramah Mesra beliau dengan Komuniti anjuran KDN dan AADK, di Taman Maju, Kajang, malam semalam.


Zahid ketika sidang akhbar semalam.

Antara hadirin yang hadir.

Nash (dua dari kiri) turut hadir.

18 March 2014

Laman Selera B’Benteng sedia khidmat `Makan Malam Atas Bot’

Oleh: Suriati Ali 

 Restoran Laman Selera B’Benteng milik Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd bakal memperkenalkan pakej `Makan Malam Atas Bot, kepada pelanggan dan pelancong,bermula 21 Mac ini.

 Orang ramai boleh membuat tempahan secara berkumpulan lebih awal bagi menikmati hidangan berpakej seperti nasi dagang, nasi lemak, nasi Tomato, speggati dan roasted fish di atas bot atau `River Cruise’ sambil menyusuri sungai Terengganu pada waktu malam.

 Harga yang bakal ditawarkan cukup berpatutan, selain memberi jaminan pelanggan tidak akan kecewa dengan layanan pramusaji profesional restoran itu ketika berada di atas bot.

Pada masa sama, TTI bercadang menyediakan menu makan tengahari dengan hidangan kari kepala ikan, dalam tempoh terdekat semata-mata mahu memenuhi kepuasan pelanggan yang sentiasa mahukan hidangan terbaik.

Pengurus Besar TTI, Wan Adnan Wan Derahman, berkata pihaknya memperkenalkan konsep itu, sebagai usaha mempelbagaikan perkhidmatan atau pakej sedia ada selain memperbaharui imej destinasi popular itu di mata pelancong.

Katanya, Laman Selera B’benteng yang sebelum ini hanya popular dengan pelbagai sajian `Ikan Bakar Wan Man’, di jangka mampu meningkatkan bilangan pelanggan apabila konsep itu diperkenalkan.

 “Rata-rata pelanggan memuji dan tidak lupa menyatakan puas hati dengan keenakan lebih 50 menu masakan panas, `western’ dan `ala carte’ yang disediakan di restoran ini.

 “Menyedari hakikat itu, TTI seakan memperoleh semangat baru untuk terus maju dan mengorak langkah lebih jauh dengan memperkenalkan pakej yang dicadangkan itu selain menambah sajian baru,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Wan Adnan turut memberitahu, TTI akan mengadakan kerjasama erat dengan puluhan ejen pelancongan dan mana-mana persatuan perlancongan di negeri ini supaya apa yang bakal ditawarkan itu mampu mencapai sasaran.

 “Fokus utama kita adalah pelancong tempatan dan luar Terengganu, terutama bagi mereka yang datang secara berkumpulan.

“River Cruise hanya bergerak menyusuri sungai selama sejam sekiranya penumpang mencukupi bilangan antara 20 hingga 28 individu.

“Kita ada menyediakan tiga River Cruise dan boleh bergerak serentak mengikut haluan masing-masing sekiranya pelancong datang dalam kumpulan yang besar,” katanya.

 

Zubir Embong temu pengundi Kajang.

Zubir (dua dari kiri) bersama Zawawi (kanan) di sebuah taman perumahan di Bandar Kajang.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SEKALIPUN mempunyai urusan yang agak penting di Johor Baharu, tetapi Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Zubir Embong sempat singgah di Kajang seketika bertemu dengan beberapa penduduk sekitar sebuah taman di bandar Kajang, berkempen supaya menyokong calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dun itu, hari ini.

Antara rumah yang dikunjungi beliau ialah rumah seorang penduduk berasal dari Terengganu iaitu Zawawi Jaafar. Beliau yang menetap di Kajang lebih 20 tahun lalu itu, sempat juga membawa Zubir ke beberapa rumah berhampiran rumahnya untuk bertemu pengundi Dun Kajang.

Bersama Azman (kiri) di rumah vateran UMNO itu.
Dalam kunjungan itu, Zubir sempat berbual mesra dan meminta supaya pengundi memangkah calon BN pada pilihanraya nanti.

Selain itu, Zubir juga berkunjung ke rumah seorang pemimpin vateran UMNO Sungai Jelok, Azman Mohd untuk mengucapkan tanhniah atas segala usaha yang dilakukan ahli UMNO itu sebelum ini dan juga bagi menghadapi PRK Kajang.

"Saya mengharapkan BN akan mencapai kemenangan dalam pilihanraya kecil ini supaya pembangunan untuk Kajang ini dapat dilaksanakan oleh kerajaan Pusat dengan lebih sempurna untuk kesejahteraan penduduk di Dun ini," katanya.
Di  rumah Awi di Kajang.

Berkempen di luar pagar di rumah seorang penduduk.
Memberi cenderahati ikhlas dari kerajaan negeri Terengganu.
Berjalan untuk ke rumah pengundi.

       

DMBSB sasar juala RM48 juta setahun

Desa Murni Batik Sdn Bhd (DMBSB), pengeluar dan pengedar batik sutera digital milik Bumiputera, menyasarkan jualan sebanyak RM48 juta sebelum akhir tahun ini, peningkatan RM10 juta berbanding tahun lepas.

 Pengarah Urusannya Mohd Suhaimi Embong berkata syarikat yakin dapat mencapai sasaran itu susulan pembukaan dua cawangan baharu, di Gong Kapas dekat sini dan di Dungun yang mula beroperasi sejak Julai tahun lepas.

 "Permintaan juga semakin bagus kerana semakin ramai pelanggan wanita menggemari fesyen batik digital keluaran Desa Murni kerana rekaannya yang eksklusif.

 "Malah, penggunaan mesin berteknologi tinggi juga membolehkan kami menampung permintaan tanpa sebarang masalah dan pada masa sama memastikan kualiti produk yang dikeluarkan berada pada tahap terbaik," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Terengganu, Roslee Daud .

Desa Murni kini mempunyai enam cawangan di Terengganu iaitu di Batu Enam, Pengadang Baru, Pulau Rusa dan Gong Kapas di Kuala Terengganu serta Kuala Berang di Hulu Terengganu dan Dungun.

 Mohd Suhaimi berkata syarikat juga mempunyai cawangan di Kota Bharu, Kelantan, Kuala Lumpur, Shah Alam di Selangor dan Temerloh, Pahang.

 Desa Murni turut memperuntukkan RM1 juta untuk tujuan pemasaran serta menaja pasukan bola sepak T-Team dan Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 tahun dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, katanya. "Kami percaya melalui promosi berkesan, jualan akan dapat digandakan," katanya yang dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan oleh kerajaan negeri Terengganu, tahun lepas.

 Beliau berkata Desa Murni yang memperkenalkan rekaan terbaharu setiap bulan, menggunakan kepakaran dari pereka fesyen di Itali dan mendapat khidmat nasihat dari segi teknikal berkaitan penggunaan fabrik, warna dan rekaan dari tenaga pakar di Switzerland.

 Selain mengeluarkan batik sutera digital untuk baju kurung dan kebaya pada harga antara RM280 dan RM380, Desa Murni juga menawarkan tudung eksklusif.

 Suhaimi berkata syarikat mempunyai 300 kakitangan termasuk 23 pereka fesyen lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti Lim Kok Wing dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

. Desa Murni mula beroperasi pada 1974 dengan memproses batik secara tradisional sebelum menggunakan mesin berteknologi tinggi yang berupaya menghasilkan 2,000 helai batik sebulan di kilang di Pulau Rusa di sini.

 

Pameran Demi Masa di Muzium Negeri

Oleh: Noraini Jusoh
Bagi memperlihatkan peradaptasian manusia dan masa, Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) menganjurkan Pameran Demi Masa di Dewan Madalika LMNT, Bukit Losong bermula semalam sehingga 15 Jun ini.

Pengarah LMNT Mohd Yusof Abdullah berkata, pameran berinformatif itu antaranya bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pengurusan masa, khususnya kepada generasi muda betapa masa yang diperuntukkan kepada kita semua adalah singkat dan perlu jitukan matlamat dalam kehidupan.

“Selain itu, pameran selama tiga bulan ini turut mendedahkan pengunjung mengenai kesungguhan masyarakat terdahulu menghargai masa dan bagaimana kreativiti mereka dalam merekacipta alatan mengukur masa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Pameran Demi Masa yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee di Kompleks LMNT, semalam.

Mohd Yusof berkata, sempena pameran ini juga pelbagai koleksi dari dalam dan luar negara dipamerkan bagi memberi pemahaman evolusi pengukuran masa yang berlaku terutamanya untuk tatapan pelajar sekolah.

“Malah, sejajar dengan sasaran utama pengujung pameran tersebut iaitu pelajar sekolah, LMNT akan mengadakan program Warna-Warni Cuti Sekolah di perkarangan muzium bermula 21 Mac ini.

“Pelbagai aktiviti menarik yang fokus kepada pendidikan seperti demostrasi masakan, permainan dan persembahan kebudayaan boleh dipelajari.

Tambah Mohd Yusof, selain mendedahkan anak-anak dengan pelbagai informasi menarik berkaitan masa melalui pameran yang dijalankan, ibu bapa secara tidak langsung dapat menggalakkan anak-anak melakukan aktiviti berfaedah apabila membawa mereka berkunjung ke muzium.

 

'Purple Walk' di Dataran Syahbandar

Oleh: Noraini Jusoh

Program "1 Million Women Purple Walk” peringkat negeri Terengganu akan diadakan di Dataran Syahbandar pada 29 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, program berjalan kaki sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut 8 Mac setiap tahun itu, akan berlangsung serentak di seluruh negara bermula 7.30 pagi.

“Beberapa aktiviti menarik turut diadakan sempena program tersebut antaranya senamrobik, pameran, pemeriksaan kesihatan percuma serta aktiviti rekreasi dan riadah.

“Ia juga akan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan artis yang diundang khas untuk menghiburkan kaum wanita yang hadir,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Muhammad Pehimi berkata, program itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

 

Shabery suntik semangat jentera parti BN.

Sabri...susun strategi dengan baik.
Oleh : Amirullah Othman.
Foto: Aminudin Ismail.

KEDATANGAN Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia ke Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Bandar Kajang memberikan satu suntikan baharu kepada jentera Barisan Nasional (BN) ketika melawat bilik gerakan itu, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia yakin bahawa BN akan menang dan pengundi Melayu akan memberi sokongan penuh kepada BN dalam pilihanraya kecil itu.

Sabri berkata, konsep 'National Refrendom' yang dimainkan oleh Pakatan rakyat ini telah mengapi-apikan rakyat supaya membenci kerajaan pusat dengan dakyah-dakyah dan fitnah seperti kenaikan harga tol,kenaikan harga barang dan sebagainya.

"Untuk memastikan kemenangan BN di DUN kajang ini satu strategi harus dilaksanakan iaitu menarik rambut dalam tepung, “rambut tidak rosak, tepung tidak bertaburan”.

Sabri ketika berucap di bilik gerakan BN Bandar Kajang.
"Ini kerana isu yang dimainkan oleh pakatan rakyat sekarang melibatkan isu perkauman. Beliau amat yakin isu perkauman ini tidak mengubah sokongan pengundi melayu kepada BN kerana jika dulu Anwar Ibrahim telah menuduh UMNO bersikap perkauman dengan nyanyian lagu “anak kecil main api”, "katanya.

 Tetapi sekarang, Shabery berkata, Anwar Ibrahim sendiri memainkan isu perkauman ini yang kempen kepada pengundi melayu supaya sokong Wan Azizah.

Apapun dakyah yang di buat oleh Anwar Ibrahim, Shabery tetap yakin pengundi melayu tetap teguh dan utuh menyokong Barisan Nasional dalam PRK Kajang pada 23 Mac ini.

"Ini merupakan Pilihanraya kecil dan bukannya pilihanraya umum dan BN telah menang dalam Pilihanraya UMUM yang lalu. Soalnya sekarang antara Chew Mei Fun dan Wan Azizah bukannya antara antara Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Najib," katanya.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Dato' Abdul Rahman Bakar, Ketua UMNO Bahagian Sepang dan Setiauasaha Kerja BN Terengganu, Mohd Khomsa Chik.


17 March 2014

Ketua Penerangan UMNO Terengganu yakin BN menang.

Abdul Rahman (kiri) bersama Dato' Seri Shabery Cheek (kanan) di Bilik Gerakan UMNO Bandar Kajang, di Kajang, hari ini
Oleh: Aminudin Ismail.

KETUA Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahman Bakar yakin Kajang akan kembali kepada kerajaan Barisan Nasional pada pihanraya kecil  Kajang 23hb Mac ini.

Katanya ini adalah berikutan ramai penduduk Dun itu mulai sedar bahawa kerajaan yang memerintah kawasan itu sekarang gagal memberi kemajuan kepada mereka.

"Majoriti kawasan yang kita jaga adalah 'putih' (BN), saya yakin pengundi PDM Kajang akan berubah rasa sebab mereka mereka rasa pemimpinan PKR tidak membawa kemajuan, perubahan dan harapan mereka yang selama ini kecundang(hampa), jadi katanya, mereka sudah insaf, ramai yang akan menyokong BN.

"Mereka juga sedar bahawa PKR di Selangor ini ada masalah, masalahnya pelbagai, masalah pertama ialah cukai-cukai perdagangan naik melebihi sekali ganda, jadi itu yang mereka rungutan dan hari ini menjadi isu besar terutamanya di kalangan peniaga dan usahawan di Bandar Kajang.

"Ramai yang mahu menukar kerajaan dengan harapan cukai yang dikenakan ke atas mereka itu dapat dikaji balik dan dikurangkan balik seperti masa BN memerintah," katanya ketika ditemui TEGANUKITA di Bilik Gerakan UMNO Bandar Kajang, hari ini.

Selain itu, Abdul Rahman berkata, calon PKR adalah calon bermusim manakala calon BN, Chew Mei Fun mahu menjadi wakil rakyat yang berkhidmat sepanjang masa.

"Itulah kelebihan calon BN dan yang seterusnya ialah calon BN yang dipilih adalah berteraskan demi intergriti dan kredibaliti, jadi kita lihat ada kemajuan. Satu lagi ialah calon kita adalah orang Cina dan ini memberi kelebihan kepadanya untuk kembalikan pengundi kaum itu kepada BN," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahman mahu penduduk Kajang memilih calon BN pada pilihanraya kecil 23hb ini supaya segala permasalan yang mereka alami kini akan dapat di atasi oleh kerajaan BN sekiranya parti menang dalam pilihanraya nanti.

 

JJ lawat Pusat Media PRK Kajang.

TERTARIK...Seorang petugas Pusat Media Pilihanraya Kecil Dun Kajang sedang menunjukkan berita mengenai PRK itu yang keluar dalam blog TEGANUKITA kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Jailani Johari ketika beliau membuat lawatan di pusat itu di sebuah hotel terkemuka di Bandar Kajang, kelmarin.

Jailani yang sebelum itu mengadakan kempen BN di beberapa tempat di sekitar Bandar Kajang bersama kontinjen UMNO Terengganu sempat menandatangi buku pelawat sebelum berbual mesra dengan beberapa wartawan bertugas.

Pusat Media yang diuruskan kementerianya itu menyediakan pelbagai kemudahan untuk wartawan akhbar dan TV menulis berita dan menghantar gambar kerana terdapat perkhidmatan wi-fi dan beberepa buah komputer.

Selain itu, beberapa info mengenai pelbagai aktiviti mengenai Pilihanraya Kecil Kajang turut dipaparkan di papan kenyataan yang terdapat di pusat media itu.- Aminudin.
Bersalaman dengan Ketua Pengarang Teganukita

Jailani sebelum keluar meninggalkan Pusat Media.

 

YPU sasar 50 peniaga berprestasi tinggi

YB Roslee Daud (tengah) melihat pembikinan batik cetak berkomputer di kilang Desa Murni Batik di Pulau Rusa.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mensasarkan 50 peniaga mampu diiktiraf sebagai usahawan berprestasi tinggi sepanjang tahun ini, berdasarkan nilaian produk dan .berpendapatan tahunan yang diperoleh.


Pengerusi Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi, dan Kepenggunaan Negeri, YB Roslee Daud, berkata pengiktirafan itu dinilai mengikut penarafan bintang, selain memperoleh pendapatan tahunan sekurang-kurangnya RM2 juta setahun.

 Katanya, berdasarkan rekod tahun lalu , pihaknya mengiktiraf seramai 35 usahawan yang berjaya memenuhi syarat tertentu.

 “Mereka ini sentiasa dipantau melalui program Jejak Usahawan Terengganu, bagi mencungkil idea-idea baru, selain mengetahui bagaimana mereka boleh berjaya.


“Usaha itu penting bagi kami untuk berkongsi idea, mengetahui perihal perniagaan, sebelum dapat dikongsi kepada usahawan lain, terutama bagi mereka yang baru belajar berniaga.

 “Di Terengganu terdapat kira-kira 8,000 usahawan di bawah bimbingan YPU, mereka ini turut dibimbing dan diberi kursus tertentu agar dapat bersaing dengan peniaga yang telah berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum memulakan sesi lawatan kerja Jejak Usahawan di kilang syarikat Desa Murni Batek, Pulau Rusa Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama dalam lawatan kerja itu, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Che Razali Adis dan beberapa pegawai kanan yayasan itu.

 Sementara itu, Pengarah Urusan Desa Murni Batek, Encik Suhaimi Embong, berkata, pihaknya ada menawarkan kelas tambahan, agihan buku rujukan dan motivasi percuma kepada kira-kira 200 pelajar SekolahKebangsaan Pulau Rusa (SKPR) pada setiap tahun.

“Program amal yang dimulakan lima tahun lalu, kini menampakkan hasil membanggakan apabila SKPR berjaya menduduki tangga ke tujuh bagi peringkat daerah dalam Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013,” katanya.

Desa Murni juga melabur sebanyak RM650,000 bagi menaja pasukan Terengganu, Kelantan serta sebuah lagi pasukan kelab T-Team sebagai sokongan demi memajukan industri bola sepak tanah air.