Halaman

18 March 2014

Laman Selera B’Benteng sedia khidmat `Makan Malam Atas Bot’

Oleh: Suriati Ali 

 Restoran Laman Selera B’Benteng milik Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd bakal memperkenalkan pakej `Makan Malam Atas Bot, kepada pelanggan dan pelancong,bermula 21 Mac ini.

 Orang ramai boleh membuat tempahan secara berkumpulan lebih awal bagi menikmati hidangan berpakej seperti nasi dagang, nasi lemak, nasi Tomato, speggati dan roasted fish di atas bot atau `River Cruise’ sambil menyusuri sungai Terengganu pada waktu malam.

 Harga yang bakal ditawarkan cukup berpatutan, selain memberi jaminan pelanggan tidak akan kecewa dengan layanan pramusaji profesional restoran itu ketika berada di atas bot.

Pada masa sama, TTI bercadang menyediakan menu makan tengahari dengan hidangan kari kepala ikan, dalam tempoh terdekat semata-mata mahu memenuhi kepuasan pelanggan yang sentiasa mahukan hidangan terbaik.

Pengurus Besar TTI, Wan Adnan Wan Derahman, berkata pihaknya memperkenalkan konsep itu, sebagai usaha mempelbagaikan perkhidmatan atau pakej sedia ada selain memperbaharui imej destinasi popular itu di mata pelancong.

Katanya, Laman Selera B’benteng yang sebelum ini hanya popular dengan pelbagai sajian `Ikan Bakar Wan Man’, di jangka mampu meningkatkan bilangan pelanggan apabila konsep itu diperkenalkan.

 “Rata-rata pelanggan memuji dan tidak lupa menyatakan puas hati dengan keenakan lebih 50 menu masakan panas, `western’ dan `ala carte’ yang disediakan di restoran ini.

 “Menyedari hakikat itu, TTI seakan memperoleh semangat baru untuk terus maju dan mengorak langkah lebih jauh dengan memperkenalkan pakej yang dicadangkan itu selain menambah sajian baru,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Wan Adnan turut memberitahu, TTI akan mengadakan kerjasama erat dengan puluhan ejen pelancongan dan mana-mana persatuan perlancongan di negeri ini supaya apa yang bakal ditawarkan itu mampu mencapai sasaran.

 “Fokus utama kita adalah pelancong tempatan dan luar Terengganu, terutama bagi mereka yang datang secara berkumpulan.

“River Cruise hanya bergerak menyusuri sungai selama sejam sekiranya penumpang mencukupi bilangan antara 20 hingga 28 individu.

“Kita ada menyediakan tiga River Cruise dan boleh bergerak serentak mengikut haluan masing-masing sekiranya pelancong datang dalam kumpulan yang besar,” katanya.