Halaman

07 May 2014

Salasiah/ Aisyah johan Badminton Tertutup Sekati.

KENANGAN..peserta Kejohanan Badminton Tertutup Kampung Sekati, Kuala Terengganu bergambar kenangan selepas bertanding dalam kejohanan sehari yang diadakan di Dewan Sivic Manir, baru-baru ini. 

Kejohanan yang disertai seramai 20 peserta itu adalah program tahunan yang dianjurkan bersama Jawatankuasa Jiran Wanita KRT, Gerakan Belia 4B Wanita dan Puteri UMNO Kampung Sekati.

Jurucakap penganjur, Mohd Yassin, berkata tujuan utama pertandingan itu diadakan ialah untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat khususnya wanita.

"Selain itu, pertandingan yang akan dijadikan acara tahunan ini juga bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat terpendam dalam permainan badminton di kampung ini untuk dipertengahkan ke peringkat daerah ataupun negeri," katanya.

Katanya, Pasangan Salasiah Zakaria dan Aisyah Zakaria berjaya menjadi juara pertandingan dengan mengenepikan saingannya, Tengku Shahirah Tengku Anuar dan Fatihah Abdullah dalam perlawanan akhir manakala tempat ketiga, katanya, ialah milik Rosini Zakaria/Rosini Zakaria- Aminudin Ismail.

 

06 May 2014

MENGINGATI SETAHUN KEMENANGAN BN DALAM PRU KE 13- DOA BUAT PEMIMPIN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Pilihan raya umum Malaysia ke-13 (PRU-13) telah diadakan pada 5 Mei 2013 setelah sebelumnya Parlimen dibubarkan pada 3 April .

Tentu ramai yang masih ingat, pilihan raya umum itu berlangsung pada hari Ahad dan kita di Terengganu telah diberikan cuti umum bagi membolehkan semua menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.



Alhamdulillah Barisan Nasional (BN) di peringkat negara dan Terengganu masih lagi bertahan dan mampu membina kerajaan biarpun mendapat asakan yang begitu hebat dari pembangkang.

Di Terengganu keputusan 17-15, kemenangan dengan majoriti mudah itu memberi peluang untuk BN amnya dan Umno khususnya meneruskan berkhidmat sebagai kerajaan.

Dalam pilihanraya, kemenangan walaupun dengan kelebihan 1 undi sekalipun ia tetap dikira menang, bahkan di negeri Kelantan pernah parti yang memerintah menang dengan hanya majoriti 1 kerusi sahaja.

Sebagai orang Umno dan pendokong BN, kita tentulah bersyukur di atas kurniaan Tuhan itu, sekalipun tidak mencapai tahap 2/3 majoriti.

Apa yang penting ialah kita perlu melihat kedudukan itu dengan penuh semangat usaha gigih untuk mempastikan kedudukan itu lebih baik di masa akan datang, khususnya dalam Pilihan Raya Umum ( PRU) ke 14.

Jangan pula kita sebagai ahli dan penyokong yang setia kepada parti cuba menimbulkan suasana yang keruh di sebalik keadaan yang sudah jernih, melainkan kita ada matlamat tertentu yang tersirat di hati.  Namun kalau kita berpegang kepada pesanan orang tua-tua supaya sentiasa teguh dalam perjuangan walau apa sekalipun rintangan dan halangannya.

Kita telah bertaat setia kepada parti dan perjuangan tidak mungkin akan khianati perjuangan suci kita melalui parti Umno ini, demi untuk agama, bangsa dan negara.

Jika kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Peribahasa Melayu ini sangat bertepatan dengan ajaran Islam yang mengajar umatnya untuk perpegang kepada konsep kesetiaan atau kejujuran. Dalam Bahasa Arab ia disebut Al-Wafa’.

Ia dapat didefinisikan sebagai sifat menepati janji, tidak khianat serta mempertahankan ikatan atau persetujuan yang telah dimeterai, iaitu menyokong dan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pimpinan parti kita.

Janji kita ialah untuk menangkan parti dan bukannya menangkan orang tertentu sahaja, maka sesiapa yang telah dinamakan sebagai calon, telah dilantik ke pelbagai jawatan, hatta Menteri Besar dan Ahli Exco Kerajaan dan apa apa kedudukan, maka kita terimalah seadanya.

Itulah janji setia kita kepada parti dan perjuangan kita atas nama agama, bangsa dan negara. Perjuangan dan kejayaan dengan penuh kesukaran, menghadapi lawan, Tuhan telah memberi peluang BN dan Umno meneruskan khidmatnya untuk rakyat.

Pertahankan kemenangan ini dan isilah kemenangan ini dengan pelbagai program pembangunan sebagaimana yang sedang dilaksanakan; maka janganlah ada yang cuba menganggu-gugat dan menimbulkan keadaan yang tidak stabil.

Setahun selepas PRU 13, memberikan kita semangat untuk meneruskan perjuangan yang belums selesai.


Hari ini Unit Komunikasi Negeri (UKOM) mengadakan majlis ringkas doa selamat dan jamuan meraikan setahun kemenangan BN, semoga Allah memberi kekuatan kepada pemimpin serta peneraju negara dan negeri ini untuk meneruskan agenda pembangunan rakyat.







UNTUK RAKYAT TERENGGANU YANG BERBAKAT DAN BERKEBOLEHAN DALAM SENI KHAT





100 penuntut Unisza, Besut sertai program belia.

GEMBIRA...kira-kira 100 penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Tembila, Besut bergambar kenangan ketika menyertai Program Jambori Belia di Kota Putera, Besut, baru-baru ini.

Penuntut dari Fakulti Informatik dan komputaran (FIK) dan Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan (FPBSM) itu menyertai pelbagai aktiviti pada program sehari itu, antaranya peramainan rakyat seperti boling kelapa, congkak dan guli.

Aksi satu permainan tradisional.
Seorang penuntut, Syahirah Halim berasal dari Bangi, Selangor berkata, program itu banyak memberi manfaat kepada beliau dan rakan-rakannya kerana selain dapat mengenali dekat lebih dekat masyarakat setempat, program itu juga dapat menghidupkan kembali beberapa permainan rakyat.

"Selain dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dengan penduduk di kawasan ini, saya dan rakan-rakan juga gembira kerana dapat menyertai dalam beberapa acara permainan rakyat negeri ini, antaranya ialah bermain guli, congkak, terompah gergasi dan bowling kelapa yang mana saya memang jarang bermain permainan ini," katanya.- Aminudin Ismail.

 

Sekitar operasi bersepadu Daerah Setiu, malam tadi.

Dua Pegawai JPJ membuat pemeriksaan di dalam bas.
Oleh: Aminudin Ismail.

SERAMAI kira-kira 80 peserta yang menyertai Operasi Bersepadu Membenteras Jenayah, penyalahgunaan dadah dan Maksiat Daerah Setiu bersengkang mata sehingga jam 4 pagi bagi mengesan dan menangkap mereka yang terbabit dengan kegiatan tidak bermoral itu, malam tadi.

Antara yang terbabit dengan operasi itu ialah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), RELA, Pejabat Daerah Setiu (PDS), Majlis Daerah Setiu (MDS), Pejabat Agama Daerah dan semua penghulu mukim.

Peserta mendengar taklimat.
Peserta operasi berkumpul di Rumah Rehat PDS kira-kira jam 8 malam dengan dimulakan sessi taklimat serta jamuan makanan malam.

Selesai taklimat kira-kira setengah jam, peserta mula bergerak ke tiga lokasi untuk membuat sekatan jalanraya iaitu di Stesyen JPJ Air Sejuk, Pekan Sungai Tong dan di depan masjid Kampung Penarik.

Dalam sekatan jalanraya itu, beberapa pemandu bas, lori dan kenderaan persendirian menjalani ujian saringan air kencing bagi mengesan menyalahgunaan dadah.

Mereka yang didapati positif dadah ditahan reman dan akan menjalani sessi kaunseling pada pagi ini sebelum diambil tindakan seterusnya.

Selesai sekatan jalanraya kira-kira jam 2 pagi, peserta operasi mula bergerak ke beberapa lokasi lain untuk mengesan dan menangkap mereka yang melaku pelbagai kesalahan termasuklah penagih dadah dan mereka yang melakukan maksiat.

Lizan (kanan) bersama seorang pegawai Polis.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Setiu, Lizan Che Mat berkata, operasi pada malam tadi adalah dirancang sendiri oleh Pegawai Daerah Setiu.

"Tujuan utama operasi ini adalah untuk membenteras kes-kes jenayah seperti mencuri, merompak dan penyalahgunaan dadah, selain itu operasi ini juga bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap kes khalwat dan maksiat lain.

"Kita pernah membuat operasi bersepadu ini pada 2009 lalu tetapi kali ini lebih hebat lagi kerana ramai yang menyertainya dan mulai tahun ini kita merancang akan mengadakan operasi ini sebanyak tiga kali setahun," katanya.
Peserta mendengar taklimat.

Anggota Rela mendaftar diri.

Sebahagian peserta operasi yang hadir.

Anggota AADK mengatur  strategi.

Seorang pegawai penyampaikan taklimat operasi.

Bas ekpres turut ditahan untuk pemeriksaan.

Seorang anggota Polis memeriksa lesen pemandu.

Berita TV turut membuat liputan.

Pemandu menunjukan IC kepada anggota Polis.


Demi tugas.. Dua anggota AADK bersedia memeriksa 'urin test'

Suasana sekatan jalanraya di Air Sejuk.

Berita Awani turut hadir.

Anggota JPJ melihat data pemandu di pejabat JPJ Setiu.

Suasana ketika 'urin test'


 

05 May 2014

Enam JKKK Besut dapat insentif.

Terima...Rahim menyampaikan sumbangan makanan kepada seorang penduduk.
Oleh: Mohammad Ishak.

PEJABAT Daerah Besut (PDB) memilih enam daripada 178 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah itu untuk menerima insentif khas berupa bantuan kewangan kerana berjaya menggalakkan komuniti dalam program keindahan dan kebersihan kampung.

Pegawai Daerah, A Rahim Jusoh berkata insentif itu sebagai penghargaan kepada JKKK terbabit yang membantu kerajaan dalam usaha menjaga keindahan dan kebersihan kampung masing-masing.

Katanya, enam JKKK terbabit ialah Rumah Awam Seberang Jertih, Lay Out Tok Saboh, Bukit Payong, Kayu Kelat, Amer dan Gong Tanah Merah. Beliau berkata, semua kampung terbabit juga dipilih mewakili daerah itu ke Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung Peringkat Negeri Terengganu tahun ini. 

“Sumbangan RM5,000 daripada kerajaan negeri kepada JKKK terbabit diharap dapat meningkatkan lagi usaha jawatankuasa dan penduduk menjaga tahap kebersihan dan keindahan kampung,” katanya pada majlis penyerahan cek insentif kepada JKKK Rumah Awam Seberang Jertih di sini.

 Beliau berpuas hati dengan keadaan kebersihan dan keindahan kawasan yang mewakili enam JKKK terbabit dan pihak PDB akan sentiasa memberi perhatian dan insentif lain sebagai galakkan kepada mereka. 

Sempena majlis itu, 30 penduduk di perumahan berkenaan turut menerima sumbangan berbentuk makanan terutama golongan miskin dan uzur.

Beliau berharap, JKKK lain yang tidak disenaraikan sebagai penerima insentif berkenaan supaya berusaha menjaga kebersihan dan keindahan di kawasan masing-masing kerana ia sebahagian imej JKKK di daerah ini.



 

270 pelajar IPG Sultan Mizan sertai “Green Robics dan Enviro-walk”

Antara penuntut IPG yang hadir.
Oleh: Mohammad Ishak.

JABATAN Alam Sekitar Negeri Terengganu (JAS) dengan kerjasama Institut Perguruan Sultan Mizan, Besut, menyemaikan semangat cintai alam sekitar kepada pelajar dalam usaha memupuk mereka terhadap suasana persekitaran.

Menerusi program “Green Robics dan Enviro-Walk” pelajar diberi pelbagai pendedahan menerusi aktiviti luaran yang berkonsepkan sumber alam. Seramai 270 pelajar menyertai program sehari sempena sambutan Hari Bumi 2014 yang disambut meriah oleh golongan pelajar dan penduduk setempat.

Majlis pelancaran program itu dilakukan Penolong Kanan Pentadbir Tanah Daerah Besut, Azrul Affandy Jusoh mewakili Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pegawai Kawalan Alam Sekitar JAS Terengganu, Noraini Ajlaa Omar berkata, sempena program berkenan aktiviti sampinag yang disertai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut mengadakan pameran berkaitan alam sekitar.

Antara yang terbabit ialah, Jabatan Perhilitan, Jabatan Taman Laut,Jabatan Mineral & Geosains, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Jabatan Alam Sekitar. Manakala, aktiviti "enviro-walk" pula membabitkan jarak kira-kira 3.0km (pergi & balik) iaitu daripada IPG ke Pantai Bkt. Kluang.

Peserta diminta berjalan sambil menghayati keindahan sumber alam sekitar di sekeliling supaya dapat menanamkan sifat cinta akan bumi kita.

Setibanya di pantai, para peserta diminta untuk mengecopkan tapak tangan di Banner yang telah disediakan sebagai tanda penghargaan kepada Bumi dan perjanjian untuk melindungi bumi.

Turut diadakan Majlis Pelancaran Program Rakan Alam Sekitar di Peringkat IPT Sempena Sambutan Hari Bumi 2014 di Dewan Besar IPG Sultan Mizan Besut. Selesai majlis, orang ramai melihat booth-booth pameran daripada agensi yang terlibat, kemudian melihat sendiri pengujian asap dan refrigeran kenderaan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu.

 

Satu Nafi Dakwa Penduduk



Syarikat Air Terengganu (Satu) Sdn Bhd telah membuat siasatan di kawasan bermasalah seperti yang dilaporkan akhbar Sinar Harian (4 Mei), bertajuk Terpaksa Guna Air Parit, didapati tujuh rumah kediaman, di Kampung Merbau Pulas, Hulu Terengganu yang dilaporkan itu sememangnya menggunakan kemudahan air perigi yang dipam.

 Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Husain Embong, berkata kemudahan bekalan air bersih yang dibekalkan Satu telah tersedia dengan jarak hanya 30 hingga 70 meter dari kediaman mereka.

 Katanya, projek bekalan air ini telah dilaksanakan di bawah projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah yang telah disiapkan sejak tahun 2012.

“Namun sehingga hari ini, Satu tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk mendapatkan bekalan air bersih yang dibekalkan oleh Satu dari penduduk terlibat.

 “Mereka memilih untuk menggunakan bekalan air dari perigi yang dipamkan ke kediaman masing-masing. Ini mungkin kerana mereka lebih selesa dengan kemudahan mereka sedia ada dan ingin menjimatkan kos,” katanya.

 Menurutnya, bekalan air perigi yang digunakan sangat berisiko dari segi kualiti dan juga punca air akan bermasalah di musim kemarau.

 “Pihaknya sudah tentu tidak dapat mengarah atau jauh sekali memaksa pengguna supaya menggunakan bekalan air bersih daripada Satu. Pengguna mempunyai hak dan pilihan sendiri.

 “Dalam kes ini, penduduk yang terlibat memilih untuk menggunakan kemudahan bekalan air yang telah sedia ada di kalangan mereka kerana alasan dan rasional mereka sendiri,” katanya.

 Menurut Husain, Satu sangat mengalu-alukan sebarang permohonan penduduk terlibat bagi mendapatkan bekalan air bersih serta bersedia mengambil tindakan bersegera dalam hal tersebut.

 “Pihak kami sangat berharap agar penduduk yang terlibat segera membuat permohonan supaya mereka dapat menikmati kemudahan air bersih demi kesejahteraan dan keselesaan hidup mereka.

 “Bagaimana pun, bagi mengatasi masalah secara sementara, SATU akan berusaha untuk membekalkan air bersih melalui lori tangki dan juga tangki-tangki statik untuk ditempatkan di tempat bermasalah bagi meringankan masalah dan kesusahan penduduk terlibat,’ katanya

 

Orang Ramai Sokong Pembinaan Litar

Oleh: Suriati Ali

Orang ramai terutama peminat sukan pemotoran menyatakan sokongan penuh hasrat kerajaan negeri membina Litar Lumba berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak Kuala Terengganu. Pembinaan yang bakal bermula tahun depan itu mampu menangani masalah kegiatan lumba haram dikalangan mat motor di negeri ini.

 Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada Majlis Penutupan Karnival Pemotoran Terengganu 2014, di Perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, kelmarin.

Naib Presiden Persatuan Pemotoran Daerah Hulu Terengganu, Othman Endut, berkata pihaknya ingin menyatakan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar kerana memahami jiwa peminat sukan pemotoran.

 Katanya, langkah itu sangat bertepatan dan yakin kewujudan litar lumba tersebut, sudah tentu dapat mengurangkan masalah mat motor di Terengganu yang sering mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya. “Sudah tiba masanya mereka membuktikan kehebatan menunggang motosikal dengan berlumba di litar lumba yang dilindungi insuran.

 “Sebaliknya, tidak wajar menjadikan jalan raya sebagai lokasi menunjuk bakat kerana sudah tentu mengancam keselamatan dan membahayakan nyawa pengguna lain,” katanya dihubungi Teganukita.

 Othman turut memberitahu, jika mat motor menggunakan kaedah yang betul, mereka bukan saja dilindungi insuran malah ditegaskan memakai pakaian keselamatan, kasut dan topi kaledar. Katanya, segala peraturan yang ditetapkan itu sudah tentu menjamin keselamatan penunggang.

 “Kita tidak mahu lagi mendengar kejadian mengerikan atau istilah orang awam `mati katak. Oleh itu sewajarnya mat motor menggunakan peluang ini sebai mungkin untuk beraksi,” katanya.

 

PERLANTIKAN JKKK DAERAH KEMAMAN 13 MEI INI



Seramai 118 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Kemaman bakal menerima watikah perlantikan dari Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohd Kamil Othman memberitahu demikian dalam perjumpaan beliau dengan Pengerusi JKKK dalam Daerah Kemaman, di pejabat Daerah Kemaman semalam.

Majlis penyampaian watikah perlantikan itu dijangka pada pagi 13 Mei ini bertempat di Institut Kemahiran Belian Negara (IKBN), Kemasik Kemaman.