Halaman

11 May 2014

Sultan Mizan Serikan Majlis Persandingan Puteri Kedua MB

Oeh: Suriati Ali

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Persandingan anak kedua Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang berlangsung penuh gemilang di Taman Tamadun Islam, Kuala Terenganu, malam tadi.



Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Sri Temenggong serta orang-orang kenamaan. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWKM), Datuk Rohani Abdul Karim.

Majlis bermula kira-kira jam 8.30 malam dengan perarakan masuk kedua-dua mempelai, Nor Ashahirah Ahmad, 27, dan Mohd Syahirpaul Redzuan Musa, 28, ke dewan utama sebelum duduk di pelamin yang dihias indah bertemakan taman laut.

Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah kemudiannya berkenan merenjis air mawar, diikuti oleh tetamu kehormat termasuk ibu bapa kedua-dua pengantin.



 Sebelum itu, majlis ijabkabul berlangsung di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu pada sebelah malam (9 Mei).

Menteri Besar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada baginda Sultan Mizan yang sudi mencemar duli berangkat ke majlis itu.

 Menteri Besar turut mendoakan agar kedua-dua mempelai yang mengikat tali pertunangan pada 31 Mac 2012 lalu, dipanjangkan jodoh dan menjalani kehidupan berumahtangga dalam keadaan penuh harmoni.

Baginda Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah berangkat meninggalkan majlis kira-kira jam 10.30 malam.



Solat di awal waktu sebelum mati lemas.

Pasrah..Faridah menunjukan gambar anaknya dalam telefon.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SEORANG ibu, Faridah Mohd Nor, 42, tidak menjangka perubahan sikap anaknya yang segera menunaikan solat setiap kali masuknya waktu sejak beberapa minggu lalu membawa petanda bahawa anaknya itu akan pergi meninggalkanya buat selama-lama apabila anaknya ditemui lemas di Pantai Bari, Penarik, Setiu, kelmarin (Jumaat).

Selain itu, menurutnya, anaknya itu yang agak pendiam tiba-tiba bertukar menjadi seorang yang gemar bercakap dan begitu mesra dengannya dan ahli keluarga yang lain.

“Sebelum ini dia diam tetapi seminggu dua yang lalu, dia banyak bercakap dan dia juga tidak melewat-lewatkan sembahyang, masuk waktu terus dia sembahnyang. Selain itu, anak saya juga beberapa kali menghafal Asma Al Husna.

“Saya tidak mengesyaki sesuatu yang akan berlaku ke atas dirinya, sehinggalah saya diberitahu anak saya itu lemas di Pantai Bari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bahagia, Bintang, Setiu, pagi tadi.

Katanya, anak kedua dari enam beradik itu juga ada memberitahu bahawa ada sesuatu yang mengekorinya dari belakang sejak beberapa hari sebelum anaknya itu, Mohd Iskandar Yusof, 22, meninggal dunia.

Rumah Faridah dikunjungi saudara mara.
“Dalam dua tiga kali juga dia memberitahu saya bahawa selepas sembahyang dia rasa ada lembaga berada di belakang dia dan saya memberitahunya akan membawa bertemu ustaz untuk mengambil air tawar dan untuk mengetahui apa yang sebenarnya mengikutnya dari belakang itu.

“Diapun bersetuju tetapi tidak sempat saya membawa untuk mengubati penyakitnya itu, dia terlebih dahulu pergi meninggalkan kami semua,” katanya yang pasrah terhadap apa yang berlaku ke atasnya itu walaupun perasaan sedih masih menyelubunginya kerana beliau memang rapat dengan anak lelakinya itu.

Katanya, anaknya itu keluar dari rumah pada petang khamis kerana mahu ke rumah kawannya di Kampung Bukit Payong.

“Pada petang kamis dia kata mahu pergi ke rumah saing (rakan) dia di tempat di belajar welding di Bukit Payong. Dia memang rajin (biasa) pergi semalaman rumah saing dia tu, jadi sayapun tak rasa apalah kerana sudah biasa tetapi pada petang jumaat itu saya tunggulah dia balik ke rumah kerana kalau dia pergi petang kamis dia akan pulang petang Jumaat.

“Petang itu dia tidak balik ke rumah tiba-tiba penghulu kampung datang beritahu bahawa anak saya itu lemas ketika mandi di Pantai Bari Kecil,” katanya.

Faridah berkata, beberapa pengunjung yang berada di pantai itu cuba menyelamatkan anaknya tetapi gagal kerana anaknya didapati sudah meninggal dunia.

 

10 May 2014

Pusat Jualan Terus Dari Kilang di Kenyir tawar harga murah.

Pemandangan pusat jualan Kenyir Festival
Oleh: Aminudin Ismail.

BAGI mengantikan kedai pra-bebas cukai yang tidak dapat diadakan kerana sebab yang tidak dapat dielakan, penganjur Kenyir Festival mengambil inisiatif segera dengan mewujudkan pusat jualan terus dari kilang di mana harga barangan yang dijual adalah hampir semurah barangan bebas cukai.

Pusat jualan yang diuruskan oleh Kenyir Holding itu menjual pelbagai jenis barangan antaranya ialah pakaian, , beg tangan, cadar, pinggang mangkuk dan beberapa barangan keperluan yang lain.

Menurut seorang penyelia jualan, sambutan orang ramai terhadap pusat jualan itu amat mengalakan di mana semalam, kira-kira seribu pengunjung hadir untuk membeli beberapa barangan yang dijual.

Danish Afiq Zainuddin, 8, seorang peserta 'mini bike'.
"Banyak barangan dah hampir habis stok, ramai yang datang membeli semalam kerana hari cuti dan harga yang ditawarkan jauh lebih murah dari luar iaitu sehingga hampir 50 peratus dan hari ini juga ramai yang datang.

"Stok akan tiba hari ini bagi menampung permintaan orang ramai," katanya mengenai pusat jualan itu yang bermula semalam dan akan berakhir akhir bulan ini.

Sementara, beberapa acara lagi diadakan pada hari ini antaranya ialah program RTM yang menampilkan penyiar dari tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia iaitu Program Budaya Tiga Serumpun.

Lain-lain acara ialah pertandingan 'mountain bike', pertujukan 'mini bike' dan menaiki helikopter. Teruskan mengunjungi Tasik Kenyir kerana banyak lagi acara-acara menarik akan diadakan yang membabit acara air ataupun daratan.

Santuari Gajah Kenyir (Kenyir Elephant Village) juga sudah dibuka kepada orang ramai dan pada hari pertama semalam lebih 100 mengunjunginya dan dijangka akan lebih ramai mengunjungi santuari itu kerana terdapat pertunjukan gajah serta dapat melihat beberapa gajah liar di pusat itu.
Biker kecil akan memulakan pertunjukan.

Mountain bike turut diadakan hari ini.

 

Koperasi jadi modus operandi Umno Kuala Terengganu dekati rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Penubuhan Koperasi Pembangunan Rakyat Parlimen Kuala Terengganu akan menjadi satu `modus operandi’ bagi membantu rakyat dan mendekati semua pihak termasuk di kalangan bukan ahli Umno, kata Dato’ Sri Hasan Malik.

Dato' Sri Hasan Malik menurunkan tandatangan ke atas plug perasmian Koperasi Pembangunan Rakyat Parlimen Kuala Terengganu Berhad.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran Koperasi Pembangunan Rakyat Parlimen Kuala Terengganu, di Bangunan Umno Gong Kapas, Kuala Terengganu, hari ini.


Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi; Naib Ketuanya, Encik Badrol Hisham Zaki; Ketua Wanita, Puan Rozalina Mokhtar ; Ketua Pemuda, Dr Najmil Fais Mohamad Aris dan Ketua Puteri, Puan Nia Notieya Zaharuddin.

“Saya percaya Umno Bahagian Kuala Terengganu mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Malah, penubuhan koperasi kali ini sejajar dengan peranan Umno itu sendiri yang sentiasa berusaha memberi peluang dan bantuan kepada rakyat.

“Kehadiran saya bagi merasmikan koperasi ini membuktikan kementerian saya begitu serius untuk memastikan lebih banyak koperasi di negara ini diwujudkan termasuk Koperasi Pembangunan Rakyat Parlimen Kuala Terengganu supaya dapat bergerak maju dan berdaya saing sebagaimana koperasi di negara lain.Ini hasrat saya,”katanya.

Dato' Sri Hasan berkata, sokongan dan dokongan oleh semua pihak termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan KPDNKK terhadap penubuhan koperasi berkenaan dapat merealisasikan matlamat menjana ekonomi penduduk malah menyatupadukan masyarakat setempat dalam gerakan kerjasama yang erat serta padu dalam menempuhi cabaran semasa.

Di majlis itu, beliau turut meluluskan dana permulaan sebanyak RM30,000 kepada koperasi itu bergerak dan akan menambah peruntukan dari masa ke semasa bergantung kepada prestasi badan itu di masa depan.

Sementara itu, Datuk Mohd Sabri berkata pihaknya mensasarkan seramai 2,700 ahli Umno bahagian itu akan menanggotai koperasi yang mengehadkan minima nilai syer RM100 dan maksimum RM3,000.

“Kita berhasrat untuk melihat sekurang-kurangnya koperasi ini mampu menjadi sumber pendapatan kepada ahli koperasi itu sendiri. “Setakat ini, kita daftarkan jawatankuasa kanan Umno Bahagian Kuala Terengganu terlebih dahulu yang berjumlah 120 orang. Selepas selesai penubuhan, dalam tempoh dua minggu lagi kita akan edarkan borang melalui cawangan supaya mereka mengisi dan menghantarnya semula kepada kita,” katanya.

Menurutnya, koperasi itu juga tidak hanya terikat kepada ahli Umno semata-mata berikutan turut terbuka keanggotaannya kepada golongan `atas pagar’ dan bukan ahli Umno yang berminat.


UiTM anjur 'Pakat Gi Perpustakaan' di Setiu.

Oleh: Aminudin Ismail. 

DEMI untuk melihat anak bangsa gemar membaca dan berilmu, penuntut Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Shah Alam mengambil inisiatif mengadakan program “Pakat Gi Perpustakaan’ di beberapa lokasi Perpustakaan Awam di seluruh negara.

Paling terbaru, seramai 65 penuntut fakulti itu mengadakan program di Perpustakaan Awam Daerah Setiu, hari ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti membabitkan pelajar sekolah antaranya ialah ceramah motivasi dan peluang pengajian di Uitm.

Selain itu, aktiviti lain ialah pertandingan mewarna, mengeja dalam Bahasa Inggeris, anyaman, ‘puzzle’, treasure hunt, Pop Kuiz, ‘Sand Art’ dan acara sukaneka.

Sabri tiba untuk merasmikan program.
Penyelaras program itu, Abu Bakar Suleiman yang juga Pensyarah Kanan Uitm berkata, matlamat utama program dengan kerjasama Perpustakaan Awam Negeri Terengganu itu ialah untuk mendedahkan penuntut kepada dunia sebenar mengenai pengajian ini.

“Sekarang mereka aplikasi apa yang mereka belajar, satu daripadanya ialah seperti mengurus perpustakaan dan mempromosikan perkhidmatan perpustakaan, objektif kedua ialah kita nak galakkan masyarakat setempat memahami apa itu perpustakaan.

“Kita harap dengan adanya program ini, Insya Allah minat membaca di kalangan masyarakat akan meningkat dan pengunaan perpustakaan juga akan akan meningkat. Kami juga mengharapkan setiap tempat yang kami pergi, perpustakaan akan lebih berjaya,” katanya.

Program sehari itu dirasmikan oleh Dato' Sabri Mohd Nor, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, turut hadir ialah Pegawai Perpustakaan Awam Daerah Setiu, Mohd Azran Yusof.

Sabri menyarankan supaya semua masyarakat terutamanya pelajar menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya hidup kerana ia mampu menjadikan seseorang lebih berjaya dan maju.



Pasukan kompang SK Saujana.

Hadiran mendengar ucapan Dato' Sabri

Pengunjung mengisi borang cabutan bertuah.


Seorang pensyarah sedang memberi taklimat mengenai UiTM.

Abu Bakar..tanam minat gemar membaca.

 

Sasar Buka 60 KR1M Tahun Ini

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan menyasarkan untuk membuka 60 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh negara tahun ini sebagai usaha membantu rakyat berbelanja secara lebih berhemah.

 Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Hasan Malek berkata, ia termasuk 31 di semenanjung, Sabah (12), Sarawak (16), dan Wilayah Persekutuan Labuan (1).

“Setakat ini, sudah ada 131 KR1M yang telah beroperasi di seluruh negara dengan menawarkan harga yang cukup murah iaitu 50 peratus lebih rendah berbanding kedai biasa.

“Awal tahun ini sahaja, enam KR1M telah dibuka iaitu di Parlimen Betong, Selangou, Limbang, dan Kanowit di Sarawak, Batu Pahat di Johor serta Pengkalan Chepa di Kelantan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan KR1M , Jalan Sultan Omar Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Menurut beliau, melalui penambahbaikan yang dilakukan dari semasa ke semasa sehingga kini sebanyak 378 jenis produk dijual di KR1M yang merangkumi produk makanan dan bukan makanan.

 “Malah, mulai 1 Mac lalu sebanyak 11 outlet di Lembah Kelang dipilih sebagai perintis kepada produk yang baru diperkenalkan KR1M iaitu jualan barangan basah,” katanya.

 Katanya, kerajaan serius dalam menangani kos sara hidup yang dialami rakyat berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar mahupun luar bandar dengan memberi pilihan kepada mereka berbelanja di kedai harga patut.

Di Terengganu sendiri katanya, tiga buah KR1M telah beroperasi iaitu di Parlimen Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun.

Hasan berkata, KR1M yang diilhamkan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak melalui program tranformasi ini akan terus diperluaskan sehingga mencapai sekurang-kurangnya sebuah KR1M di setiap parlimen di seluruh negara termasuk negeri ini.

“Bagaimanapun jumlah berkenaan akan mengambil kira kekangan dihadapi kerajaan untuk mendapatkan lokasi sesuai dan beberapa faktor lain,” ujarnya.



 

500 hadir majlis doa selamat BN Dun Jabi.

Baca...Iskandar (tengah) bersama sebahagian yang hadir memulakan bacaan yaasin.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI kira-kira 500 penduduk beberapa buah kampung hadir menjayakan Majlis Kesyukuran Genap Setahun Barisan Nasional (BN) /UMNO Dun Jabi yang diadakan di Kampung Bukit Jeruk, malam semalam.

Program kesyukuran yang bertujuan untuk meraikan penduduk yang banyak memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional itu dihadiri ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan turut hadir ialah Ahli Parlimen Setiu, Mohd Zulkifly Jusoh.

Hadir...sebahagian penduduk yang hadir.
Antara pengisian majlis itu ialah solat berjemaah bacaan yaasin, tahlil dan doa selamat serta diselitkan juga ceramah semasa oleh seorang penceramah dari Kedah. Iskandar dalam ucapanya berterima kasih kepada semua penduduk Jabi kerana memilih BN pada pilihanraya umum lalu.

Katanya, beliau akan cuba sedaya upaya akan terus mentadbir DUN Jabi dengan sebaik mungkin supaya segala agenda kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar.

“Teruskan memberi sokongan kepada kerajaan BN dan jangan mudah terpengaruh dengan sebarang dakyah dan tohmahan yang tidak berasas dari pihak tertentu yang cuba mahu mencalarkan nama baik pemimpin BN,” katanya.

 

Kejohanan bola B12 MSSDB- Zon Jerteh Juara.

KAMI JUARA...Pasukan Zon Jerteh bergambar kenangan selepas menjadi juara Kejohanan Bolasepak bawah 12 Majlis Sukan Sekolah Besut (MSSDB) menewaskan Zon Kuala Besut melalui sepakan penalti (4-3), kelmarin. (Khamis).

Perlawanan akhir yang diadakan di Padang Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih itu menyaksikan kehebatan kedua-dua pasukan apabila mereka terikat seri 1-1 sehingga masa tambahan sebelum Zon Jerteh mengungguli permainan menang 4-3.

Gembira...Zon Jerteh menerima trofi juara.
Pengurus Zon Jerteh, Lokman Yahya berkata, sekalipun menang penalti, beliau berpuashati dengan semangat dan komitmen pemainnya yang bermain dengan bersungguh untuk memenangi perlawanan.

"Saya harap mereka yang terpilih mewakili daerah nanti akan akan mempamerkan permainan yang lebih baik dan memberansangkan supaya Besut akan menjadi juara pada Kejohanan B12 MSST nanti," katanya. 

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Abdul Halim Hassan manakala jurulatih Pasukan Zon Jerteh ialah Roslan Jusoh.- Aminudin Ismail.

 

09 May 2014

13 penyiar dari Indonesia dan Brunei di Tasik Kenyir.




Rombongan bergambar diperkarangan sebuah hotel, malam ini.
Oleh: Aminudin Ismail.

SERAMAI 13 penyiar iaitu tujuh dari Radio Republik Indonesia (RRI), Indonesia dan enam dari Radio TV Brunei (RTB), akan bergabung dengan penyiar dari Radio TV Malaysia (RTM) untuk menjayakan Program Budaya Tiga Serumpun yang akan di adakan di Pengkalan Gawi, Kenyir, pagi esok.(10 April).

Menurut penyelaras progam itu, Shukri Mohammad, program itu adalah satu program MOU yang dilaksanakan pada tahun 2006.

"Kerjasama ini merangkumi aspek seni budaya ke tiga-tiga negara itu dan program ini diterjermahkan dalam rakaman berbalas pantun dan rakaman drama.

Shukri...jemput hadir ramai-ramai.
"Dan kita akan adakan juga mensyuarat penyelarasan bagi memantapkan lagi program yang sedia ada," katanya.

Shukri berkata, pada esok hari (10hb Mei)iaitu bermula jam 11 pagi akan diadakan rakaman berbalas pantun di Pengkalan Gawi.

"Dalam rakaman berbalas pantun itu kita akan selitkan persembahan kebudayaan, inilah platfom yang paling sesuai kita tonjolkan kebudayaan setempat dan di samping itu, kita akan selitkan juga nyanyian lagu rakyat. 

Shukri mengharapkan program itu akan memberi impak yang besar bukan setakat bidang bidang penyiaran tetapi katanya, ia akan memberi impak kepada kesepakatan dan setiakawan di dalam negara Asean.


Kamariah gigih usaha Sos/ Jual 1000 dozen sebulan.

BANYAK...Kamariah bergambar di bengkel sosnya.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BERBEKALKAN modal hanya RM400 kira-kira 30 tahun lalu, seorang surirumah Kamariah Ahmad gigih mengusahakan produk sos dan perencah dan sehingga kini produk keluarannya berjenama Aqila sudah terkenal di seluruh Terengganu.

Memulakan perniagaan dengan mengeluarkan sos pencicah kini syarikat itu yang didaftar atas nama Kamariah Maju Enterprise mengeluarkan enam produk iaitu Perencah Ikan Bakar, Sos Pencicah, Sos Cili, Sos Tomata, Rempeyek dan Mini Popia.

Menyingkap kembali bagaimana beliau boleh terbabit dengan perniagaan itu, Kamariah yang dibantu suaminya seorang guru itu berkata, pada mulanya dia hanya membuat sos pencicah secara suka-suka dan bukan untuk perniagaan.

Laris...menunjukan Perencah Ikan Bakar.
“Selepas pulang ke kampung kerana suami bertukar dari Cukai, Kemaman ke Setiu manakala saya pula berhenti kerja sebagai kakitangan Jabatan Kesihatan ketika itu, saya mengisi masa lapang dengan membuat sos pencicah semata-mata untuk diberi kepada saudara mara dan rakan-rakan.

“Selama enam bulan saya membuat dan memberi percuma kepada mereka, iaitu kira-kira seribu botol, saya mengambil keputusan untuk menjualnya kerana banyak permintaan. Bermula dari situlah saya mula memberi sepenuh perhatian kepada perusahaan ini,” katanya yang tinggal di Kampung Pandan Jaya, Rhu 10, Setiu itu.

Katanya, pada peringkat permulaan, sambutan penjualan sosnya amat mengalakan dan jumlah keluarannya bertambah pada setiap bulan manakala pasarannya yang pada asal sekitar Setiu semakin luas ke beberapa daerah lain.

“Sambutanya amat mengalakan dan saya mampu menjual kira-kira 1,000 dozen dalam sebulan. Ketika itu tiada persaingan kerana tidak banyak yang membuat sos pencicah botol ini.

“Selepas 10 tahun menjual produk sos pencicah itu, saya mengambil keputusan untuk menambah lagi produk dengan membuat sos cili dan sos tomato dan paling terbaru ialah Perencah ikan bakar. Perencah ini sambutanya agak baik dan ramai yang mengunakannya,” katanya.

Ringkas...Kamariah di bilik pemerosesan sos.
Katanya, dalam sehari dia mampu mengeluarkan 70 dozen perencah ikan dan pasaranya ialah ke beberapa kedai di seluruh negeri Terengganu dan Kuantan, Pahang.

Kamariah berkata, sekiranya mempunyai modal yang cukup dia bercadang untuk membeli sebuah mesin baru yang lebih moden bagi menambah jumlah pengeluaran dan menjadikan jenama Aqila akan terkenal di seluruh Malaysia.

“Buat masa ini saya mahu menumpukan apa yang ada dan sekiranya ada modal yang cukup suatu hari ini saya akan membeli peralatan yang lebih moden untuk menghasilkan jumlah pengeluaran yang lebih banyak dan cepat,” katanya mengenai produk yang mendapat persijilan halal dengan moto syarikat Suci dan Bersih.