Oleh: Ruslan Abdul Rahman
“Dalam apa jua kajian dan perbincangan para pemikir,
akhirnya perkara yang paling penting ditemui ialah perpaduan, maka perpaduan
adalah perkara yang perlu diutamakan,” kata Menteri Besar, Dato’ Hj Ahmad Razif
Abd Rahman.
Oleh itu katanya, beliau memulakan amanah sebagai Menteri
Besar Terengganu dengan mengutamakankan perpaduan dan akan terus berusaha
mewujudkan suasana itu di dalam kerajaan dan di setiap bahagian atau Parlimen di negeri ini.
“Biarlah segala masalah sebelum ini dapat diselesaikan sebab
kita tidak boleh meminggirkan sesiapa bagi mewujudkan perpaduan dan ketua-ketua
Umno Bahagian adalah tunggak utama parti,”
katanya.
Manakala kerajaan yang terbentuk kehadiran beliau bersama
barisan pimpinan dalam kerajaan sebenarnya adalah disebabkan oleh kejayaan dan
kemenangan parti dalam pilihan raya, tegasnya.
“Oleh itu tidak dapat tidak, kita mesti memperkukuh dan
memperkuatkan parti kita, sekaligus memperkuatkan kerajaan kita yang terbentuk
dari kejayaan parti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Berbuka
Puasa bersama pemimpin-pemimpin masyarakat di seluruh Bahagian Negeri
Terengganu di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Iman Kuala Teregganu semalam.
Katanya, sebagai Menteri Besar ke 14 beliau selepas ini akan
berdepan dengan Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 amat mengharapkan kerjasama dan
sokongan semua bagi memastikan Barisan Nasional (BN) Terengganu menang dengan
lebih selesa dan bukannya dengan kedudukan kerusi sekarang 17-15.
Di samping mengucapkan penghargaan dan terima kasih kesemua pimpinan
bahagian dan petugas parti, Dato’ Hj Ahmad Razif mahu melihat ‘perpaduan’ terus
diutamakan di bahagian-bahagian dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjamin kemenangan lebih baik dalam
pilihan raya umum akan datang itu.