Penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya sentiasa menjaga integriti masa dan bukannya bersikap acuh tidak acuh sewaktu dalam tempoh lapan jam bekerja.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, berkata budaya itu tidak elok diamalkan oleh penjawat awam kerana mereka diamanahkan untuk bekerja dan tempoh itu sewajarnya dimanfaatkan dengan tugas-tugas yang diberi.
Katanya, setiap tugasan adalah amanah daripada Allah SWT, oleh itu, mereka perlu menjalankan tugas sebaik mungkin kerana setiap masa bekerja akan dibayar mengikut kadar penjawatan masing-masing.
“Untuk mendapatkan keberkatannya, setiap penjawat awam perlu menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin, tidak bersikap seumpama biskut `chipsmore’ atau dengan kata lain sekejap ada, sekejap hilang.
“Saya mengakui, masih ada penjawat awam di mana-mana jabatan di negeri ini masih bersikap acuh tidak acuh dalam tugasan yang diberi selain suka mencuri masa dengan melakukan kerja tidak berfaedah ,” katanya.























