Halaman

06 February 2010

Rakyat perlu terus sokong UMNO

Laporan Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan dari Kg Menerong, Hulu Terengganu

Rakyat negeri ini tidak wajar melupai jasa-jasa UMNO yang sentiasa memperjuangkan nasib mereka sejak negara ini mula mencapai kemerdekaan hingga ke saat ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata sewaktu baru mencapai kemerdekaan negara ini agak miskin, tetapi nasib rakyat diberi keutamaan oleh UMNO yang mendokong kerajaan dari zaman Kerajaan Perikatan dan kini Barisan Nasional (BN).

“Kini negara mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan nasib rakyat tidak dilupakan di mana BN membelanjakan peruntukan besar setiap tahun bagi membiayai pendidikan rakyat setiap tahun,” katanya ketika melancarkan Pogram Juara Rakyat peringkat Parlimen Hulu Terengganu di SMK Menerong hari ini (6 Februari).

Katanya, Kerajaan BN membelanjakan 25 peratus daripada bajet tahunan bagi membiayai program pendidikan dan di Terengganu pada tahun ini kira-kira RM240 juta bakal dibelanjakan bagi tujuan yang sama.

“Selama ini kita tidak pernah meminta apa-apa dari rakyat walaupun Umno dan Kerajaan BN mengeluarkan peruntukan yang besar untuk rakyat.

“Apa yang kita mahu ialah rakyat terus menerima manfaat daripada projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan dan usaha ini dapat dilakukan secara berterusan bagi kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Bagaimanapn, katanya, usaha memajukan rakyat akan terbantut jika negara ini diperintah oleh parti pembangkang.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat negeri ini memastikan UMNO dan BN terus memerintah negeri ini selepas pilihan raya umum akan datang dengan cara memberi undi mereka kepada calon BN.

TEGANUKITA

Artifak 10,000 tahun ditemui di Gua Bewah

Laporan Kamarudin Mat Akib dari Gunung Bewah, Tasik Kenyir


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said (kanan) melihat rangka manusia pra sejarah yang dipercayai berusia antara 8,000 hingga 10,000 tahun di Gunung Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.(KLIK gambar)

Satu penemuan baru di Gunung Bewah di Tasik Kenyir – rangka manusia dipercayai berusia antara 8,000 hingga 10,000 tahun milik manusia zaman pra-sejarah – dijangka menjadi satu lagi tarikan ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

Rangka tersebut yang dipercayai mayat seorang remaja zaman pra-sejarah yang menghuni gua tersebut dan ia ditanam dalam keadaan merengkok (seperti bayi dalam kandungan), masih dikekalkan di tempat asal ia ditemui.



Artifak berkenaan ditemui November dalam kerja-kerja eskavasi yang diketuai Prof Nik Hasan Shuhami Nik Abdul Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia dengan bantuan Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.


Kerajaan mengumumkan Gua Bewah akan ditutup buat sementara waktu dan akan dibuka semula pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang melawat artifak itu yang akan menjadi aset penting negeri ini, berkata ia akan dilindungi sepenuhnya oleh pihak berkenaan dan bakal menjadi tarikan pelancong, khususnya pengkaji sejarah dan pelajar, termasuk dari luar negara.


Beginilah rupa artifak rangka manusia remaja pra sejarah yang menghuni Gua Bewah yang kini menjadi aset kerajaan negeri yang sangat bernilai.

“Artifak ini akan terus dikekalkan di tempat asal ia ditemui bagi menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan pelancong dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat atifak itu hari ini (6 Februari).

Dato’ Ahmad berkata, ujian DNA yang sedang dilakukan kumpulan pakar luar negara terhadap artifak itu akan diketahui dalam tempoh sebulan bagi mengenal pasti usia sebenar pemiliknya.

“Selepas ini kita akan meletakkan cermin kaca bagi melindungi artifak ini dan orang ramai boleh melihat sendiri penemuan ini,” katanya.


Tulang jari manusia pra sejarah dikatakan lebih besar berbanding manusia hari ini.

Beliau turut mengumumkan Gua Bewah akan ditutup buat sementara waktu mulai hari ini bagi mengelakkan sebarang perbuatan khianat terhadap artifak tersebut.

TEGANUKITA

_____________________________________________________

Rangka manusia zaman Mesolitik ditemui di Gua Bewah



HULU TERENGGANU: Sekumpulan arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu, yang menjalankan kerja ekskavasi di Gua Bewah, Tasik Kenyir, sejak tiga bulan lalu, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik.

Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma), UKM, Prof Datuk Dr Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, berkata rangka manusia zaman Mesolitik yang dipercayai remaja itu dianggar berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.

"Rangka pra sejarah itu ditemui pada kedalaman 65 sentimeter (sm) hingga 70 sm yang disemadikan dalam keadaan merengkok dan kita telah menghantar sampel DNA (asid deoksiribonukleik) ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.

"Keputusannya dijangka diketahui selewat-lewatnya bulan depan," katanya kepada pemberita selepas Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, dan media melawat ke gua berkenaan di sini hari ini.

Nik Hasan Shuhaimi berkata, penemuan rangka manusia pra sejarah ini adalah kali kedua di Tasik Kenyir selepas kali pertama ditemui di Gua Batu Tok Bidan, Tasik Kenyit pada 1975.

Beliau yang mengetuai kerja ekskavasi bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd Yusof Abdullah, dan 33 anggota cari gali lain berkata ia adalah penemuan penting sejarah ketamadunan manusia di Malaysia.

"Selain rangka manusia turut dijumpai di gua berkenaan adalah serpihan tembikar tanah yang dipercayai dari zaman Neolitik.

"Di antara serpihan tembikar itu terdapat serpihan yang tertulis corak seakan-akan tulisan lukisan batu yang pernah ditemui oleh pengkaji di tapak cari gali zaman Neolitik yang lain di seluruh Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha cari gali bagi mencari artifak bersejarah lain.

Katanya, artifak yang ditemui di Gua Bewah tidak akan ditempatkan di muzium, sebaliknya dikekalkan dan diletakkan dalam bingkai kaca untuk tatapan pengunjung.

"Kita tak bercadang untuk bawa pulang artifak yang ditemui dan kita akan kekalkan ia di sini dalam usaha kita menarik kedatangan pelancong ke negeri ini dan ke Tasik Kenyir," katanya.

Bagi meneruskan usaha cari gali artifak bersejarah di gua berkenaan, Ahmad berkata gua itu akan ditutup sementara mulai hari ini kepada orang ramai.

Mengenai cadangan untuk memajukan Tasik Kenyir dengan mewujudkan Pulau Burung, Pulau Rama-rama dan Taman Orkid bagi meningkatkan kedatangan pelancong, Ahmad berkata ketiga-tiga cadangan itu kini dalam proses pelaksanaan.

"Bagi Pulau Burung yang akan mempunyai lebih 40 spesis burung, kita menjangkakan ia akan dapat dibuka kepada orang ramai April ini. Ia kini berada di tahap 85 peratus pelaksanannya.

"Bagi Taman Orkid pula, buat masa ini kita tanam orkid liar dan dijangka dalam tempoh enam bulan kemudian, ia akan turut dibuka manakala Pulau Rama-rama kita akan laksanakan nanti. Semuanya kita laksanakan berperingkat," katanya. - Bernama

04 February 2010

JUARA RAKYAT HULU TERENGGANU MENJIWAI NURANI RAKYAT

Ruslan Abdul Rahman dan Harun Hassan melaporkan dari Tapak Perasmian

Program Juara Rakyat berteraskan Karnival Pendidikan, bagi Parlimen Hulu Terengganu bermula hari ini (4 Februari 2010), bertempat di Kampong Menerong, Mukim Hulu Brang, Ajil.

Program ini akan berlangsung selama tiga hari sehingga 6 Februari depan dipenuhi pelbagai program termasuk Forum Perdana Hal Ehwal Islam (4 Februari, malam), Kebudayaan Islam (5 Februari, sebelah malam), Sukaneka (5 Februari, petang di Padang Sekolah Menengah Menerong), Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang (6 Februari), di samping pelbagai pameran dari pelbagai agensi.

Menurut, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, YBM Dato’ Tengku Putera Awang selaku Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, program ini memenuhi konsep sebenar Juara Rakyat yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak di peringkat kebangsaan.

Beliau yang akan merasmikan sendiri program ini pada petang ini (4 Februari) di perkarangan Masjid Kg.Menerong, tema Juara Rakyat kali ini Pendidikan memberi ruang dan peluang kepada penduduk, khususnya sekitar Hulu Terengganu mendalami perjuangan Kerajaan Barisan Nasional dalam usaha pembangunan untuk rakyat, khususnya di bidang pendidikan.

Katanya, Kerajaan Negeri Terengganu sendiri di bawah pimpinan YAB Dato’ Ahmad Said telah meletakkan pembangunan bidang pendidikan sebagai keutamaan dengan memberi peruntukan melebihi RM130 juta dalam Bajet Terengganu 2010.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu juga turut serta mengadakan pameran dan mengedarkan bahan-bahan maklumat mengenai pendidikan dan pendekatan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang menjadi pendekatan kerajaan selaras dengan konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Ahli Dewan Negara, Senator Hajah Fatimah binti Hamad, pihaknya juga cuba menonjolkan peranan wanita dalam pembangunan melalui pameran yang turut diadakan oleh pihaknya. Beliau yang juga Ketua Wanita Umno Hulu Terengganu dan peringkat Negeri Terengganu berkata, program juara rakyat di peringkat Hulu Terengganu diusahakan secara yang terbaik, termasuk mengadakan program anak angkat, membabitkan pelajar-pelajar IPT dan juga agensi kerajaan dan swasta dengan harapan mereka menyelami hati nurani rakyat, hidup dan kehidupan di sebuah daerah pedalaman yang sedang maju.

Dendang Anak Jenagor dan Sejak Orang Ulu di samping penampilan calon Akademi Fantasia akan menjadi tarikan utama menerusi Malam Kebudayaan Islam yang akan berlangsung pada 5 Februari , 9.00 malam di Kampong Menerong ini.

Juara Rakyat Untuk Rakyat, demikian motto yang diperkenalkan melalui program ini di peringkat Hulu Terenngganu. Rakyat sudah pasti menyahutnya dengan penuh gembira dan syukur.

TEGANUKITA

Dana Tahun Baru Cina RM2.6 Juta

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.6 juta bagi tahun ini untuk mengagihkan Dana Tahun Baru Cina kepada masyarakat Tiong Hua yang berpendapatan RM1,500 ke bawah sempena sambutan perayaan masyarakat itu minggu depan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata sumbangan itu sebagaimana juga sumbangan kepada masyarakat Melayu dan India pada sambutan perayaan masing-masing yang diagihkan pada setiap tahun yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Dana setiap tahun seperti biasa kita agihkan kepada rakyat di Terengganu dan sekarang kerana hampir Tahun Baru Cina kita agihkan kepada masyarakat Tiong Hua lebih kurang 9,092 orang seluruh Terengganu melibatkan kos RM2.6 juta.

“Hari ini difahamkan lebih daripada 2,000 melibakan Cukai, Air Putih, Kijal dan Kemasik..Mereka terima wang tunai dengan jumlah RM300 bagi keluarga biasa dan remaja RM200,” kata beliau selepas pengagihan Dana Tahun Baru Cina, di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, semalam (3 Februari).

Peruntukan itu akan diagihkan secara berperingkat-peringkat dimulakan di Kemaman yang dijangka selesai keseluruhan pada 10 Februari ini.

Menteri Besar berkata, beliau yakin jika dibuat pengukuran sebenar, ramai penerima kali ini tidak layak mendapat dana berdasarkan pendapatan yang lebih besar berbanding syarat sepatutnya, bagaimanapun kerajaan negeri tetap menyalurkan sumbangan itu pada setiap kali tiba musim perayaan.

Katanya, kerajaan negeri hanya meminta (balasan) daripada penerima sekali sahaja dalam tempoh lima tahun iaitu ketika pilihan raya umum dijalankan dengan memilih kerajaan BN yang sudah terbukti memperjuangkan nasib semua kaum di negeri ini.

Dato’ Ahmad berkata, dana itu juga sedikit sebanyak memberi faedah kepada masyarakat Cina berbanding dengan masyarakat Melayu yang lazimnya akan segera berbelanja di kedai-kedai milik kaum Cina sebaik sahaja mendapat dana masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana bangsa dalam melaksanakan pembangunan termasuk dalam aspek pendidikan di mana sebagai contoh, kerajaan baru-baru ini memilih untuk menaja dua pelajar Cina membuat A-Level sebelum dihantar belajar di universiti terbaik dunia.

UKOM



02 February 2010

RM14.4 Billion Untuk HPNT

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob (kanan) ketika melakukan kunjung hormat di Pejabat Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said, bagi membincangkan hala tuju pembangunan negeri Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri memerlukan sejumlah RM14.4 billion bagi melaksanakan projek dan program yang dirangka di bawah perancangan Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu (HPNT) 2009-2013.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata,pendekatan menyeluruh melalui enam halatuju strategik di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) diberi penekanan dalam proses merangka HPNT.


Dato Ahmad bersama Tan Sri Nor Mohamed di majlis dialog mengenai RMK-10 di Wisma Darul Iman.

“Enam halatuju berkenaan antaranya, sektor swasta sebagai agen pembangunan, produktiviti dan inovasi melalui k-ekonomi, modal insan yang kreatif dan inivatif dengan kemahiran yang tinggi,” katanya di majlis dialog mengenai RMKe-10, di Wisma Darul Iman hari ini (29 Januari).

Majlis dialog itu di hadiri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Ali Hamsa dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Katanya, hampir RM3.7 billion peruntukan merupakan bajet keseluruhan negeri untuk 2009 dan 2010, manakala anggaran hasil negeri sekitar RM1.6 billion setahun dan keperluan untuk lima tahun sebanyak RM8 billion.

Oleh yang demikian katanya, perancangan yang dibuat masih lagi kekurangan peruntukan sebanyak RM6.4 billion dan kerajaan negeri berharap kekurangan ini akan ditampung melalui peruntukan persekutuan di bawah RMKe-10.

Katanya, berdasarkan perancangan yang dibuat melalui HPNT kerajaan telah mengenalpasti empat sektor teras yang akan memacu pembangunan ekonomi negeri secara bersepadu iaitu pendidikan dan pembangunan sumber manusia, pertanian dan asas tani, pelancongan dan industri perdagangan, perkhidmatan dan teknologi maklumat (ICT).

“Fokus di dalam sektor ini bukan bermakna kerajaan tidak memberi perhatian kepada sektor lain yang juga dijangka dapat menyumbang dalam pembangunan ekonomi yang berperanan sebagai penyokong dan penghubung serta pemangkin,” katanya.


Menteri Besar Terengganu ketika mempengerusikan taklimat RMK-10 bersama Tan Sri Nor Mohamed.

Dato’ Ahmad kemudiannya memohon Kerajaan Persekutuan meneruskan pembiayaan beberapa projek yang tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini agar diteruskan di bawah RMKe -10.

Katanya, beberapa projek berimpak tinggi lain yang memerlukan kerjasama agensi Kerajaan Persekutuan adalah penubuhan daerah baru Kuala Nerus yang memerlukan Pusat Pentadbiran dan kemudahan awamnya sendiri dan kawasan bebas cukai di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Kerajaan negeri juga memohon untuk ‘facilitate’ melalui kaedah-kaedah tertentu untuk melaksanakan masalah hakisan di Teluk Lipat Dungun, Tok Jembal, Kuala Terengganu, Kelulut, Marang dan beberapa tempat lain,” katanya.

Pada masa yang sama, mendapan di Muka Kuala Sungai Merang, Sungai Dungun, Sungai Kerteh dan Sungai Besut perlu diatasi kerana potensi sungai-sungai ini amatlah besar dari segi pembangunan ekonomi setempat.

TEGANUKITA

Skim Ganti Payu Dara Melalui Dana Khas

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Mungkin ada yang mencuit hati Dato' Ahmad sehingga tertawa besar ketika melawat Mohd Nor Ibrahim yang menghidap penyakit paru-paru kronik di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan membelanjakan kira-kira RM81 ribu sejak 2007 bagi merawat penyakit kanser payu dara dengan menggantikan payu dara palsu menerusi peruntukan kebajikan sosial perubatan Dana Khas Persekutuan.

Daripada jumlah itu, seramai 115 pesakit menjalani skim itu melibatkan satu kes pada 2007 dengan peruntukan RM710, diikuti 75 kes (2008) dengan peruntukan RM49,433, manakala pada tahun lalu 39 kes dengan kos kesluruhan RM31,330.


Menteri Besar dan isteri berbincang sesuatu dengan beberapa doktor dari HSNZ.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata skim menggantikan payu dara palsu menerusi menerusi pakar perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi membantu wanita negeri ini yang berdepan dengan masalah kanser dan boleh mengancam nyawa.

“Kepada mereka yang mengalami masalah payu dara jangan biar lama, supaya segera jumpa doktor dan boleh kita gantikan alat yang palsu, kalau dibiarkan lama boleh mengancam nyawa.

“Saya harap ada kesedaranlah. Kadang-kadang orang kampung mereka tak tahu, berdiam diri sebab tidak bergaul dan sekiranya penyakit ini sampai tahap empat ia boleh mengancam nyawa,” katanya ketika melawat seorang pesakit paru-paru kronik, Mohd Nor Ibrahim, 60, di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, petang semalam (28 Januari).

Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud meluangkan masa kira-kira sejam melawat Mohd Noor yang sudah lebih 20 tahun menderita penyakit itu, selain turut mengidap kencing manis, lelah, darah tinggi, cacat penglihatan dan masalah jantung.

Dalam lawatan itu, kerajaan negeri menerusi HSNZ menyampaikan mesin `oksigen concentrator’ yang berharga kira-kira RM5,000 untuk kegunaan Mohd Noor.

Sumbangan itu merupakan yang ke-23 daipada HSNZ melalui Kebajikan Sosial perubatan Dana Khas Persekutuan kepada pesakit paru-paru kronik di seluruh Terengganu.


Mohd Nor dibantu isterinya memakai alat `oksigen concentrator' .

Beliau berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan peralatan perubatan bagi meringankan beban pesakit tanpa mereka perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Saya percaya bahawa Kerajaan Terengganu sentiasa memberi perhatian kepada rakyat yang mengalami masalah penyakit kronik. Macam tahun lepas kita peruntukkan lebih kurang RM2 juta bagi membantu membeli pelbagai jenis alat perubatan secara langsung kepada pesakit.

“Macam tahun ini sahaja 23 unit mesin oksigen (oksigen concentrator), di mana mereka tidak perlu lagi berulang-alik dari rumah ke hospital dan saya kira sumbangan sebegini tidak dilakukan oleh negeri lain,” katanya.

Selain itu, bemula 2010 kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta bagi membiayai pembedahan penyakit kronik seperti buah pinggang, jantung dan kanser tanpa mengira sosioekonomi dan fahaman politik pesakit.

TEGANUKITA



30 January 2010

UMT Kerjasama Lebih 20 Universiti Dunia

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan kerjasama dengan lebih 20 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia bagi meningkatkan lagi mutu pembelajaran di pusat pengajian itu.


Pertukaran MoU antara UMT dengan Universiti Kasetsart di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Antara university berkenaan termasuklah Universiti Bergen, Norway; Universiti Carolina and East Carolina ( USA); Universiti James Cook ( Australia); Institut Alfred Wagener (Polar and Marine Research in Germany); Universiti Selatan Brittany, Perancis ; Universiti Newcastle (United Kingdom); University Selatan Brittany, Perancis; Universiti Newcastle (UK); Universiti Kagoshima (Jepun); Universiti Air Langga dan Universiti Bung Hatta, Indonesia.

Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman, berkata antara kerjasama yang dilakukan antara pihaknya dengan universiti berkenaan ialah kajian, pertukaran ilmu pengetahuan dan program pertukaran pelajar.

“Pada masa ini, UMT mengadakan pertukaran pelajar dari China, Indonesia dan Thailand yang mengikuti pelbagai bidang pengajian di UMT,” katanya ketika majlis menandatangi MoU antara UMT dengan Fakulti Perikanan Universiti Kasetsart, di Pusat Konvensyen,

Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam (27 Januari).
Hadir sama, Prof Dr Suriyan Tunkijjanukij, Prof Dr Uthairat Na-Nakorn dan Prof Dr Methee Kaewnern serta delegasi Universiti Kasetsart.

UKOM


Kerajaaan Tambah Sekolah Elit dan Primier

Oleh : Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Kerajaan Terengganu sedang mengenalpasti sekolah-sekolah Menengah Bantuan Penuh Kerajaan di negeri ini yang sesuai untuk dijadikan Sekolah Elit dan Premier bagi menempatkan pelajar cemerlang.

Menteri Besar Dato’ Haji Ahmad bin Said, berkata bilangan murid sekolah rendah di negeri ini yang mendapat 5A semakin bertambah, tetapi tempat yang ditawarkan untuk mereka ke sekolah berasrama penuh (SBP) agak terhad.

Justeru itu, katanya, mereka mendapat tempat ke SBP, Sekolah Imtiaz, Sekolah Elit atau Premier yang sedia ada akan ditempatkan di sekolah Elit dan Premier yang bakal diwujudkan tidak lama lagi.

“Tahun ini 3,664 orang murid sekolah rendah di Terengganu mendapat 5A tetapi tidak semua ditawarkan melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah berasrama penuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Juara Rakyat Peringkat Parlimen Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman pada hari ini. (30 Januari).

Dato’ Ahmad berkata, Kerajaan Negeri akan menambah nilai kemudahan sekolah-sekolah berasrama penuh kerajaan yang sesuai untuk dijadikan sekolah Elit dan Premier dan mereka yang mendapat 5A akan ditempatkan di sekolah berkenaan.

TEGANUKITA


28 January 2010

Tiga Juara Dunia Sukan Kraft Air Sertai Terengganu World Jetrace Challenge

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Buat pertama kalinya, tiga juara dunia sukan Kraft Air (lebih dikenali sebagai jet ski) akan menyertai kejohanan Terengganu World Jetrace Challenge 2010 yang julung kalinya dianjurkan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu dari 4 hingga 6 Februari ini.

Penganjur bersama kejohanan itu, Raja Putra Shah Raja Shahar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Marine Resources berkata tiga juara dunia itu ialah Amy Green yang merupakan juara dunia tiga kali dan juara 11 kali kejohanan Kebangsaan Amerika Syarikat, Chris Fish Fischetti yang pernah menjadi juara dunia tiga kali dan juara British Seth Wilkinson.

"Walaupun kejohanan The King Cup di Thailand telah diadakan sejak 14 tahun lepas, namun kejohanan itu jarang menarik penyertaan daripada juara dunia. Tetapi di Terengganu kita akan menyaksikan aksi tiga juara dunia bertanding," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Raja Putra Shah berkata Malaysia merupakan negara kedua di rantau ini selepas Thailand yang menganjurkan kejohanan kraft air dunia.

Katanya penganjur mensasarkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada 60 peserta tempatan dan selainnya dari luar negara seperti dari Thailand, Serbia, Brunei, Indonesia dan United Kingdom.

Menurutnya kejohanan ini adalah yang pertama dianjurkan di Malaysia walaupun sukan itu amat popular sebagai aktiviti rekreasi air di negara ini.

Katanya untuk memastikan kejohanan itu dianjurkan secara sah, beliau telah menubuhkan Kelab Sukan Kraft Air dua bulan lepas dan telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

"Persatuan induk antarabangsa untuk sukan ini ialah International Jet Sports Boating Association (IJSBA) yang turut mengiktiraf kejohanan ini. Sebab itu tiga juara dunia akan bertanding di Terengganu," katanya.

Kejohanan tiga hari itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM87,500 yang mempertandingkan 10 kategori untuk pelumba profesional, rookie dan pelumba selebriti.

Raja Putra Shah berkata kejohanan itu akan diadakan di kawasan trek air sejauh 1.15km di perairan Pulau Duyong dengan tiga tahap kesukaran iaitu watercross, closed course dan kraft air individu (PWC).

Menurutnya kos minimum kraft air yang standard di pasaran berharga RM60,000 dan kos tambahan untuk mengubahsuai jentera itu untuk tujuan perlumbaan boleh mencapai RM40,000.

-- BERNAMA

Tesdec Ambil Alih Kursus YT

Oleh : AIDA ABD RAHMAN



Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) bercadang mengambil alih semua kursus Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) yang diuruskan oleh Yayasan Terengganu (YT) berikutan pusat kemahiran itu mampu menyediakan tenaga pengajar yang pakar dan pemantauan yang lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains,Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Tesdec akan mengambil tanggungjawab memantau perjalanan kursus berkenaan sepenuhnya sementara peruntukan sepenuhnya di bawah YT.

“Kita melihatkan kursus-kursus MLVK di bawah YT kurang dari segi pemantauan kerana kekurangan kepakaran, kebetulan Tesdec ada kepakaran kerana kita ada tenaga pengajar yang pengalaman maka amat sesuai kalau kursus MLVK yang dijalankan oleh pengusaha seperti pusat kemahiran di Terengganu dapat diserahkan kepada Tesdec kerana dapat buat pemantauan.

“Apa yang mustahak, selain dapat melatih mereka, kita juga dapat memberi peluang pekerjaan. Itu satu lagi objektif dan matlamat kerajaan negeri bukan sahaja beri latihan tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan,” katanya ketika sidang akhbar di Majlis Mesra Media-Tesdec, di Restoran Verandah, Riyaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, kelmarin (25 Januari).

Kursus berkenaan merangkumi kursus kemahiran tinggi seperti Ujian Tanpa Musnah (NDT), kursus asas biasa seperti jurusolek, gunting rambut dan kecantikan, selain kursus Sijil Kemahiran Malaysia tahap satu dan dua di bawah latihan vokasional.
Katanya, kursus yang dibiayai sepenuhnya oleh YT itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Dalam pada itu, Haji Ahmad Razif yang juga pengerusi Tesdec mahu memastikan pusat latihan kemahiran yang diwujudkan kerajaan untuk belia Terengganu bagi mengintegrasikan ilmu dan kemahiran serta merealisasikan hasrat melahirkan modal insan yang berkualiti.

Katanya, Tesdec yang ditubuhkan sejak 1996 telah melahirkan 25,000 pelatih memberi peluang kepada pelajar menyambung pengajian dalam bidang latihan akademik dan bukan akademik terutama golongan yang kurang cemerlang dan kurang berminat untuk meneruskan dalam pendidikan.

“Hari ini, kita lihat peluang mereka yang menyambung dan memilih latihan kemahiran boleh hidup lebih baik dan mempunyai pekerjaan yang bagus daripada mereka yang berkelulusan bidang akademik,”katanya.

Pada masa yang sama, katanya Tesdec tidak pernah bercadang untuk menutup peluang kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam pendidikan untuk menyambung pengajian dalam kursus tertentu walaupun Tesdec berhasrat menaiktaraf sebahagian kursus yang ditawarkan di pusat kemahiran itu.

“Kemungkinan selepas ini kita buka peluang untuk mengadakan tuning program di mana diploma kita boeh juga diambung di peringkat iazah tetapi menggunakan initusi yang berlainan kerana tak boleh ditawarkan di tempat kita kerana akan timbul konflik pada masyarakat apakah yang mahu difokuskan oleh Tesdec,”katanya.

TEGANUKITA