Halaman

22 March 2011

Peraturan sepanjang tempoh 40 hari berkabung

Oleh: Aida Abd Rahman



Semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan serta badan-badan berkanun di seluruh Terengganu dikehendaki mematuhi peraturan pemakaian sepanjang tempoh berkabung 40 hari mulai 21 Mac hingga 29 April ini berikutan kemangkatan almarhum bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisahmuddin Alam Shah.

Pegawai dan kakitangan lelaki Melayu perlu memakai songkok berlilit kain putih berukuran satu inci, manakala pegawai dan kakitangan wanita Melayu pula harus berselendang atau berkain tudung warna putih.

Sementara pegawai dan kakitangan yang berbangsa lain perlu mengenakan tali leher hitam atau lilitan hitam (armband) di sebelah kanan bagi lelaki dan lilitan lengan hitam (armband) bagi wanita. Sementara polis dan tentera berpakaian sebagaimana yang ditetapkan oleh peraturan masing-masing.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan peraturan perkabungan itu di Kediaman seri Iman, Kuala Terengganu, petang ini (22 Mac).

Selain itu, beliau berkata segala perhimpunan ramai dan majlis atau acara anjuran Kerajaan dan bukan kerajaan yang berunsurkan hiburan juga ditegah sepanjang tempoh perkabungan kecuali majlis atau acara yang berunsurkan keagamaan, pendidikan riadah dan ilmiah.

“Jika ada pihak yang tidak menghormati dan ingkar peraturan sepanjang tempoh perkabungan dengan mengadakan majlis hiburan, mereka boleh dikenakan tindakan. Bagaimanapun, sebarang majlis itu perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa tempatan dan polis terlebih dahulu.

“Majlis kenduri kahwin juga tidak boleh diselitkan dengan acara hiburan. Perlawanan bola sepak adalah suatu bentuk riadah dan ia boleh diteruskan seperti biasa,” katanya.

Menteri Besar berkata, semua bendera negeri dan lain-lain bendera kecuali Jalur Gemilang di jabatan dan bangunan kerajaan negeri, persekutuan, badan-badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan, bangunan perniagaan, perusahaan dan kediaman hendaklah mengibarkan bendera separuh tiang.

Beliau juga menyarankan orang ramai untuk turut sama mematuhi peraturan sepanjang tempoh perkabungan itu.

“Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu diminta mengeluarkan arahan kepada semua imam dan bilal masjid serta surau kerajaan supaya melakukan tahlil sepanjang tujuh hari berikutan kemangkatan almarhum,” katanya.

Almarhum Tengku Ampuan Bariah, 78, mangkat jam 1.07 pagi semalam, di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor.

Jenazah almarhum kemudiannya diterbangkan dari Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Subang dengan pesawat C130 TUDM kira-kira 10.45 pagi dengan turut diiringi oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta tiga anakanda baginda.

Jenazah almarhum selamat disemadikan di Makam Diraja di Masjid al-Muktafi Billah Shah, Ladang, bersebelahan dengan makam suaminya almarhum Sultan Mahmud Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail selepas solat hari ini.




Kesal dengan tindakan pengusaha chalet

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan Terengganu kesal dengan tindakan segelintir pengusaha chalet terutama di pulau-pulau di negeri ini yang bersikap lepas tangan dalam menangani pelbagai isu terutama berkaitan alam sekitar dan kebersihan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata mereka perlu bertanggungjawab membersihkan kembali sampah sarap atau sisa makanan apabila selesai menganjurkan sebarang aktiviti dan bukannya pihak lain yang mengambil cakna perkara itu.

“Sebagai contoh, terdapat pengusaha chalet di negeri ini yang ingin menjadikan makanan laut sebagai hidangan kepada tetamu, tetapi membiarkan sisa makanan seperti kepala dan organ dalaman ikan bertaburan di tepi pantai selepas menyiangnya.

“Sikap seperti itu bukan saja boleh mencemar pulau malah secara tidak langsung akan meninggalkan kesan buruk terhadap pemikiran pelancongan yang bermungkinan tidak akan kembali di lokasi sama,” katanya.

Pada masa sama semua pihak termasuk kerajaan negeri, pengusaha hotel, peniaga dan pemandu teksi akan mengalami tempiasnya akibat kekurangan pelancong.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Forum Pelancongan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (22 Mac).

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu, Encik Ahmad Fathil Ghani, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Wan Supian Wan Ishak dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Kira-kira 300 peserta wakil pelbagai agensi berkaitan pelancongan hadir bagi membincangkan isu, cabaran dan harapan, selain mendengar pembentangan kertas kerja bertajuk projek dan infrastruktur pelancongan.

Haji Wan Abdul Hakim turut memberitahu, sektor pelancongan cukup berbeza jika dibandingkan bidang lain kerana memerlukan gandingan, peranan dan tanggungjawab semua pihak sekiranya ingin memperoleh keuntungan dalam tempoh dan jangka masa panjang.




Penting kualiti pelancong berbanding kuantiti

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menjangkakan memperolehi hasil RM2.5 bilion hingga RM2.8 bilion pada tahun ini berdasarkan sasaran 3.5 juta pelancong tempatan dan luar negara melawat Terengganu.

Hasil pendapatan daripada sumber yang sama tahun lalu iaitu RM2.2 bilion mampu ditingkatkan jika mendapatkan kerjasama semua pihak termasuk persatuan pelancongan, pengusaha hotel, peniaga dan pemandu teksi bagi bersama-sama menjaga imej Terengganu.

Berdasarkan pengiraan, kebiasaannya setiap pelacong akan mengeluarkan belanja untuk diri sendiri sebanyak RM200 hingga RM300 sehari atau bergantung kepada kemampuan dan keadaan ekonomi semasa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata kerajaan negeri tidak mementingkan jumlah atau kuantiti kemasukan pelancongan sebaliknya menilai kualiti dan kemampuan seseorang pelancong itu berbelanja di negeri ini.

“Jika pelancong datang ke Terengganu dalam jumlah yang ramai tetapi hanya berbelanja untuk penginapan dan pengangkutan saja, ia tidak mampu memenuhi kehendak seperti yang dinginkan.

“Pelbagai kaedah dilaksanakan seperti menwujudkan Kenyir Island Hopping, Taman Tamadun Islam, Taman Reakreasi Mini Zoo semata-mata mahu mereka berbelanja,”katanya.



Kagum nilai estetika tekstil Terengganu-peserta simposium

Oleh: Aida Abd Rahman



Simposium Tekstil Negara Asean ke-3 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terenggganu, menjadi medan penggiat tekstil dari seluruh negara Asean berkongsi teknologi dan elemen tekstil dari sudut seni berkaitan cara penghasilan serta pengekalan tekstil di rantau Asean.

Malah, program itu juga bagi memastikan tekstil yang selama ini menjadi tradisi Asean akan terus hidup dan diminati generasi muda serta mengenal pasti bagaimana rantau itu berdepan dengan cabaran supaya tekstil mereka tidak pupus pada masa akan datang.


Essy Ediriono, 65,Indonesia.

Seorang peserta dari Indonesia, Essy Ediriono, 65, berkata, program simposium tekstil itu amat bagus dan lancar selain berasa kagum dengan tekstil tradisi yang terdapat di Malaysia dan juga Terengganu yang sememangnya mempunyai nilai estetika yang tidak terdapat di negara lain.
Essy yang juga penggiat tekstil tradisi Indonesia Wastraprema, berkata tekstil tradisi seluruh negara Asean memiliki tarikan tersendiri dan hanya mampu diterokai hasil penggabungan idea serta pengalaman daripada mereka yang terlibat secara langsung dan profesional dalam industri itu.

“Saya bersama delegasi Indonesia amat berbesar hati dan pastinya mahu menyertai lagi program ini pada masa depan kerana banyak manfaatnya yang diperolehi peserta bagi mempertingkatkan lagi keseniaan tekstil yang terdapat di negara kami,” katanya.


Ma Ngoc Dung, 56, Penolong Pengarah Muzium Kebudayaan Kumpulan Etnik, Vietnam

Wakil delegasi Vietnam, Ma Ngoc Dung, 56, pula berharap kesenian dan ketulenan produk tekstil negara mereka mampu berkembang ke seluruh negara Asean dan mampu mencetus inovasi baru bagi meningkatkan lagi pasaran produk itu ke negara luar.

“Setiap negara kaya dengan budaya dan kesenian produk tekstil tradisi yang boleh diketengahkan lagi kepada seluruh dunia. Melalui simposium ini, kami berharap semua pencipta tekstil mendapat pengalaman berharga,” katanya.

Beliau yang juga Penolong Pengarah Muzium Kebudayaan Kumpulan Etnik Vietnam gembira apabila berpeluang berkunjung ke Malaysia dan Terengganu khasnya kerana bukan hanya dapat melihat keunikan produk tekstil tempatan, tetapi juga merasai kelaianan budaya negera jiran.

Rakan senegara Ma Ngoc, Vang Thi Mai, 47, juga berkongsi pendapat yang serupa apabila melihat simposium dua hari itu sebagai peluang yang sangat baik untuk peserta yang terdiri daripada penggiat tekstil berhimpun dan mencapai kata sepakat bagi menaikkan lagi tahap keseniaan itu.


Mohd Nor Ashari, pengusaha Atikah Songket ketika ditemubual wartawan.

Pengusaha Nor Atikah Songket, Mohd Nor Ashari, pula berkata program yang melibatkan peserta negara Asean itu menjadi landasan terbaik mencetus idea baru sejajar dengan evolusi teknologi dan perkembangan penggunaan tekstil di setiap negara.

“Penganjuran simposium oleh pihak Kerajaan Terengganu, Terengganu Institute of Design Excellence (TiDE) dan badan yang terlibat sangat wajar dan dihargai kerana mencetus usaha pemuliharaan tekstil merentasi sempadan negara dan rantau Asean,” katanya yang sudah terlibat dalam industri itu lebih 40 tahun lalu.

Mohd Nor juga berharap simposium itu menjadi batu loncatan untuk pengusaha tempatan menghasilkan idea baru yang menepati kehendak pasaran rantau Asean.

Sebanyak 15 negara berkampung sempena dua hari bermula hari ini yang menghimpunkan 330 peserta negara Asean seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand, Myanmar, Laos dan Vietnam, selain negara sokongan Asean seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea, Hong Kong dan Australia.

Malaysia terpilih sebagai tuan rumah selepas simposium pertama kali diadakan di Jakarta, Indonesia pada 2005 dan di Manila, Filipina pada 2009. Sementara simposium 2012 bakal dilaksanakan di Thailand.




MB ziarah makam bonda Yang di-Pertuan Agong

Oleh: Mohamad Shahrir, Raja Faisal dan Ali Tengah



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa kira-kira setengah jam pagi ini, menziarahi makam bonda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Makam Diraja Masjid al-Muktafibillah Shah, Ladang.



Beliau yang baru tiba dari lawatan kerja luar negara, menghadiahkan al-Fatihah dan bacaan Yassin serta tahlil yang diketuai Imam Masjid Buluh Gading, Ustaz Mastura Mohamad, kepada roh Almarhum Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisahmuddin Alam Shah.

Suasana suram menyelubungi makam tersebut ketika hadirin khusyuk membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Makam Almarhum Tengku Ampuan Bariah yang terletak bersebelahan makam suaminya, Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafibillah Shah masih basah disiram air mawar serta dipenuhi bunga-bungaan.

Turut hadir melawat makam itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda, Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Haji Rozali Salleh, kakitangan awam serta pihak media.

Almarhum Tengku Ampuan Bariah, 78, mangkat di Hospital Seri Kota, Klang dan jenazahnya tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130 kira-kira jam 11.45 pagi semalam.




Kemangkatan Bonda Yang di-Pertuan Agong - Terengganu berkabung 40 hari.

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Kerajaan Terengganu mengisytiharkan tempoh berkabung selama 40 hari bagi menghormati kemangkatan almarhum bonda Yang di-Pertuan Agong Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisahmuddin Alam Shah.


BERKABUNG ..... bendera dikibarkan separuh tiang.
Foto: Haris Fadzillah

Sehubungan itu, semua jabatan dan agensi kerajaan serta swasta di negeri ini diarah mengibarkan bendera negeri Terengganu separuh tiang sebagai tanda berkabung dalam tempoh berkenaan.

Manakala semua program rasmi kerajaan yang berunsur hiburan dan keceriaan di negeri ini juga ditangguhkan sementara.

Almarhum Tengku Ampuan Bariah, 78, mangkat jam 1.07 pagi semalam di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor.

Jenazah almarhum kemudiannya diterbangkan dari Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Subang dengan pesawat C130 TUDM kira-kira 10.45 pagi dengan turut diiringi oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta tiga anakanda baginda.

Jenazah almarhum selamat disemadikan di Makam Diraja di Masjid al-Muktafi Billah Shah, Ladang, bersebelahan dengan makam suaminya almarhum Sultan Mahmud Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail selepas solat hari ini.

Tinjauan Tegankita kita mendapati kebanyakan pejabat kerajaan mula mengibarkan bendera negeri Terengganu separuh tiang sejak semalam.

Manakala beberapa majlis keramaian yang dijadualkan hari ini di beberapa tempat, termasuk Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, turut dibatalkan bagi mematuhi tempoh berkabung.



2.5 juta lawat Terengganu tahun lalu

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Pelbagai program menarik melibatkan industri pelancongan sejak kebelakangan ini, kerajaan negeri menganggarkan bilangan pelancong meningkat kepada 3.5 juta orang pada tahun ini. - Foto: Zulkipli Putra.

Kira-kira 2.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara melawat negeri ini sepanjang tahun lalu.

Berdasarkan pelbagai program lebih menarik yang melibatkan industri pelancongan sejak kebelakangan ini, kerajaan negeri menganggarkan bilangan pelancong meningkat kepada 3.5 juta orang tahun ini.



Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd Said, berkata kegigihan pimpinan negeri memajukan bidang pelancongan menunjukkan hasil positif apabila Terengganu merupakan antara destinasi pelancongan utama di Pantai Timur.

Beliau berkata, bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan, kerajaan negeri mempergiatkan pelbagai usaha menghidupkan kembali tradisi budaya warisan negeri bagi menarik minat pengunjung.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri menghidupkan semula semua jenis permainan tradisional yang ada di Terengganu agar warisan berkenaan terus hidup dan bertahan untuk tatapan generasi akan datang.

Menurutnya, Terengganu kaya dengan pelbagai permainan tradisi dan seni warisan yang menjadi aset penting bagi menarik minat orang ramai serta pelancong luar untuk datang ke Terengganu

Kerajaan bercadang menganjurkan pertandingan permainan tradisional peringkat nasional bagi memberi peluang golongan belia menyertai apa saja permainan mengikut minat masing-masing.

Antaranya menghidupkan semula permainan wau yang rata-rata dimonopoli golongan muda bermula dari mencari, meraut buluh, membuat rekabentuk seterusnya menaikkan wau.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Presatuan Agen-Agen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) cawangan Terengganu, Wan Supian Wan Ishak berkata kerajaan negeri menggalakkan pembangunan hotel dan pusat peranginan, sekaligus meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong mulai tahun ini.

"Terengganu menghadapi masalah bilik-bilik hotel yang terhad khususnya pada musim cuti. Kerajaan harus mengambil usaha membangunkan lebih banyak hotel, pusat peranginan dan tempat penginapan bagi menampung jumlah kedatangan pelancong," katanya.




Kekal berumah tangga selepas jalani terapi `second honeymoon’

Oleh: Aida Abd Rahman

Program terapi pengukuhan institusi kekeluargaan yang dikenali sebagai `second honeymoon’ memberi kesan positif apabila sebahagian peserta yang dipilih kerana mengalami masalah rumah tangga, kini mampu meneruskan kehidupan berumah tangga dengan baik selepas mengikuti program tiga hari dua malam itu.

Kerajaan Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) merintis program itu sejak tahun lalu dengan melaksanakan lima siri melibatkan 20 pasangan suami isteri setiap siri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata kerajaan membelanjakan RM17,000 setiap siri bagi memastikan peserta mendapat manfaat sekaligus mempraktikkan apa yang sudah mereka pelajari menerusi program itu.

Katanya, sebahagian peserta diperolehi daripada senarai pasangan yang berdaftar di bawah khidmat kaunseling di Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT).

“Sebahagian daripada pasangan mereka yang ada masalah rumah tangga dan sedang mendapatkan kaunseling bagi mencapai kata sepakat dan membina kehidupan yang lebih baik. Manakala selebihnya adalah di kalangan pasangan yang dipilih oleh pihak penganjur dan tidak semestinya mereka ada masalah rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pasangan adalah mereka yang masih di fasa baru berumah tangga dan usia perkahwinan tidak lebih daripada lima tahun.

Katanya, ada juga peserta yang sudah berkahwin lebih daripada lima tahun namun lazimnya mereka berusia tidak lebih daripada 40 tahun dan berminat selain mampu memberi komitmen bagi menjalani program itu.

YB Yahya berkata, melihat keberkesanan program itu, kerajaan negeri akan meneruskan lagi pada tahun ini dengan mengekalkan lima siri yang dijalankan secara berperingkat-peringkat di pusat peranginan dalam negeri.

“Kita memilih pulau bagi melaksanakan program ini kerana suasananya yang damai, tenang dan sesuai untuk memulihkan keadaan pasangan supaya mampu berfikir dengan baik tanpa gangguan pihak luar. Pada masa yang sama, kita menyediakan beberapa aktiviti dan slot berguna kepada mereka dengan diawasi urusetia bertugas,” katanya.

Beliau berkata, selain second honeymoon, program lainnya adalah Keluarga Syurgaku, Ibu Sejati dan Parenting@Work yang menekankan nilai-nilai kecemerlangan kepada pasangan muda supaya kehidupan generasi akan datang lebih terarah serta mengikut acuan sebenar.

Untuk rekod, statistik perkahwinan di Terengganu bagi tahun 2004 sehingga pertengahan 2008 menunjukkan sejumlah 33,533 pasangan berkahwin telah didaftarkan. Daripada jumlah itu, seramai 5,365 jumlah pasangan telah bercerai.

Katanya, walaupun dilihat berlaku pertambahan dari segi kesedaran pasangan untuk berkahwin, peratusan penceraian juga dikenalpasti bertambah dari tahun ke tahun.

Situasi ini mewujudkan satu keadaan yang kurang baik di mana kesan pertambahan kadar penceraian telah menimbulkan banyak permasalahan sosial di kalangan masyarakat seperti isu kemiskinan, pendidikan, gejala sosial dan emosi anak-anak.




21 March 2011

Jenazah Bonda Yang di-Pertuan Agong selamat disemadi

Oleh: Kamarudin Mat Akib, Suriati Ali dan Harun Hassan



Jenazah bonda Yang di-Pertuan Agong, Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah al-Marhum Sultan Hisahmuddin Alam Shah al-Haj, selamat disemadikan di Makam Diraja Masjid al-Muktafibillah Shah, Ladang, petang ini, dengan penuh penghormatan diraja.



Turut berangkat memberi penghormatan terakhir ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta kerabat-kerabat diraja.

Hadir sama, para pembesar negeri serta orang-orang kenamaan dan rakyat jelata daripada pelbagai lapisan masyarakat.



Mufti Negeri Dato’ Dr Haji Alias Abdullah membacakan talkin dan doa yang turut diaminkan oleh kaum kerabat diraja dan rakyat jelata.

Terdahulu, Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berangkat menziarahi Almarhumah yang ditempatkan di Istana Maziah, bagi memberi peluang kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata memberi penghormatan terakhir.

Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta dua anakanda, memasuki ruang Istana Maziah jam 2.05 petang untuk penghormatan terakhir.



Turut menziarahi jenazah Almarhumah ialah beberapa kerabat diraja Perak dan Kelantan serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera bersama isteri To’ Puan Wan Zaharah Wan Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda.

Rakyat jelata pelbagai bangsa yang dibenarkan masuk ruang Istana Maziah jam 2.15 kelihatan bersedih di atas kemangkatan Almarhumah yang sememangnya banyak berjasa kepada rakyat sepanjang hayatnya.

Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah. Amin.



BELASUNGKAWA BUAT ALMARHUMAH TENGKU AMPUAN BARIAH

Oleh: Ruslan Rahman


Jenazah Almarhumah Tengku Ampuan Bariah tiba di LTSM pagi tadi.

Hari ini, seluruh rakyat Terengganu dari pelbagai bangsa merafakkan setinggi-tinggi takziah dan melahirkan rasa dukacita di atas kemangkatan Yang Maha Mulia, Tengku Ampuan Bariah ibni AlMarhum Sultan Hisahmuddin Shah Al Haj, bekas Tengku Ampuan Besar Terengganu.

Susasana sedih terbayang pada setiap wajah rakyat di negeri ini, kerana kehilangan seorang bekas Tengku Ampuan Besar Terengganu yang sangat-sangat dikasihi oleh sekalian hamba rakyat sewaktu berada di takhta,bahkan disayangi sehingga ke akhir hayatnya.

Ini kerana Almarhumah amat dekat di hati rakyat Terengganu terutama sewaktu menjadi Tengku Ampuan Besar Terengganu tatkala suami Almarhumah, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafibillah Shah menjadi Ketua Negeri (Sultan) bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta Jajahan Takluknya.

Almarhum Sultan Mahmud bersama Almarhumah menduduki takhta berikutan kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada tahu 1979 di mana Baginda berdua ditabalkan pada 21 Mac 1980.

Bahkan sebelum itu Almarhum Sultan Mahmud dan Almarhumah Tengku Ampuan Bariah pernah dilantik sebagai Pemangku Sultan dan Sultanah Terengganu sewaktu Almarhum Sultan Ismail dilantik sebagai Yang Di Pertuan Agong pada 21 September 1965 hinggalah 20 September 1970.

Bermakna dalam tempoh berkenaan Almarhumah YMM Tengku Ampuan Bariah amat dekat di hati rakyat, lebih-lebih lagi dengan sifatnya yang sederhana, ‘low profile”, lemah lembut dan berjiwa rakyat.

Almarhum Sultan Mahmud mangkat pada 14 Mei 1998 digantikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin yang kini merupakan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Malaysia.

Almarhumah Tengku Ampuan Bariah sewaktu menjadi Tengku Ampuan Besar Terengganu banyak kali mencemar duli berangkat menghadiri upacara-upacara bersama rakyat jelata. Misalnya hadir ke majlis-majlis berkaitan golongan wanita seperti Pergerakan Pandu Puteri, Pergerakan Wanita Islam, Puspanita dan Puteri Islam.

Almarhumah juga amat dekat di hati rakyat Selangor kerana beliau adalah bonda saudara kepada Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharifuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Alhaj.

Tengku Ampuan Bariah sepanjang hayatnya telah menyumbang masa, tenaga dan sokongan peribadi untuk berbakti kepada masyarakat dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Malah semasa hayatnya menjadi harapan menggunung Baginda untuk menaungi penubuhan pertubuhan kebajikan dan keagamaan.



Semoga roh baginda dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang mendapat makfirah (keampunan).