Oleh: Aida Abd Rahman Akhirnya Terengganu layak ke final Piala FA selepas menewaskan pasukan jiran, Pahang, 2-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua yang penuh dramatik, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu, malam tadi.
Pasukan Peteh yang turun ke gelanggang berbekal kemenangan 3-2 pada separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Jumaat lalu mengesahkan kemaraan ke final dengan kemenangan agregat 5-2 bagi berdepan Kelantan yang layak dengan agregat 6-2.
Lebih 15,000 penonton membanjiri stadium untuk menyaksikan pertembungan dua pasukan Pantai Timur itu. Malah, sebanyak 8,000 keping tiket habis dijual dalam tempoh dua jam sebaik kaunter di SSINS dibuka kira-kira jam 9 pagi semalam.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang turut menyaksikan perlawanan itu berjanji akan memberikan ganjaran kepada semua pemain sekiranya muncul juara pada perlawanan akhir Piala FA antara Terengganu dengan Kelantan, pada 11 Jun ini.
Katanya, bentuk ganjaran itu hanya akan diumumkan sebaik sahaja piala berkenaan benar-benar berada dalam genggaman Terengganu.
“Saya berharap jurulatih, Irfan Bakti (Abu Salim) dapat mengenal pasti punca kelemahan di barisan serangan sehingga gagal memanfaatkan dua peluang terbaik dalam perlawanan tadi.
“Pada masa yang sama, saya harap pemain tidak mudah letih, mereka perlu memperkuatkan stamina dan latihan supaya dapat mengekalkan kekuatan dan ketangkasan sepanjang di padang,” katanya yang turun memberi sokongan bersama isteri,To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan anak-anak.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat dan isteri.
Menteri Besar yang ditanya mengenai ramalan jaringan dalam perlawanan final nanti, bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berharap Terengganu mampu membawa pulang piala itu sebagai hadiah buat peminat dan seluruh rakyat Terengganu.
Sementara itu, perlawanan yang berlangsung dalam suasana terkawal, banyak dikuasai tuan rumah. Malah, beberapa percubaan untuk menghasilkan gol juga gagal termasuk peluang terbaik yang hadir pada minit keenam melalui Abd Hadi apabila rembatan kaki kirinya tersasar walaupun hanya berdepan penjaga gol Pahang, Mohd Rospazul Azuar.
Bagaimanapun, kesilapan penjaga gol Pahang, Mohd Rospazul yang menyambar kaki Abd Hadi dalam kotak penalti pada minit ke-35 akhirnya membawa padah apabila Terengganu dihadiahkan sepakan penalti yang kemudian disempurnakan Abd Hadi untuk gol pembukaan.
Tuan rumah sekali lagi mempersiakan peluang apabila Joseph Kalang Tie gagal melakukan penyudah dengan baik bola hantaran Ashaari Samsudin, pada minit ke-55.
Ketika perlawanan masih berbaki lima minit, gol kedua terhasil menerusi pemain gantian, Mohd Alim yang baru beberapa minit memasuki padang berjaya menyempurnakan hantaran Ahmad Nordin Alwi untuk menyingkirkan Pahang dengan keputusan muktamad 2-0.