Halaman

03 July 2012

KDN anjur taklimat isu keselamatan, 10 Julai

Oleh: Aida Abd Rahman

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempelawa mereka yang berminat supaya menghadiri Program Taklimat Isu-isu Semasa (Keselamatan) bertempat di Auditorium Taman Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu di Kuala Ibai di sini pada 10 Julai ini.

Program itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Terengganu di mana ia merupakan yang pertama diadakan di bahagian Zon Timur sebelum diteruskan di dua negeri lagi di pantai timur iaitu Pahang dan Kelantan.

Timbalan Setiausaha Komunikasi Korporat KDN, Puan Zuraidah Zainuddin berkata tujuan program itu diadakan adalah bagi memberi persepsi kesedaran keselamatan negara semasa terhadap pemimpin masyarakat sebelum diturunkan kepada masyarakat umum mengenai usaha kerajaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Orang ramai ataupun mana-mana agensi yang berminat berpeluang mendengar sendiri penerangan semua isu yang terkandung dalam NKRA yang akan dikupas secara terperinci, malah mereka juga boleh berinteraksi dengan mengajukan soalan.

"Kita baru sahaja selesai jelajah peringkat Zon Selatan di mana destinasi seterusnya akan mulakan jelajah pertama di sini bagi Zon Timur sebelum diteruskan ke dua lagi negeri pantai timur lain iaitu Pahang dan Kelantan,"katanya.

Beliau berkata pihaknya mengganggarkan seramai 500 orang dari kalangan kakitangan jabatan kerajaan dan swasta, pelajar universiti dan wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan mengikuti program itu.

Katanya, taklimat akan disampaikan oleh panel jemputan antaranya wakil Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; wakil panel Jabatan Imigresen Malaysia serta wakil KDN Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam.

"Program dijadualkan bermula pukul 8 pagi dan mereka yang berminat boleh terus datang ke auditorium berkenaan pada hari berkenaan," katanya.

Artis 'pencen' masuk PAS jadi lebih 'Islamic' selepas kutuk BN, Kerajaan?

Oleh FAUZI MOHD

Sejak mula berpakat secara 'luar tabie' bersama PKR dan DAP pada tahun 2008, PAS semakin 'galak' mendekati golongan artis dan selebriti tempatan bagi dipergunakan sebagai 'pelaris' dalam program parti serta ceramah, kononnya parti itu mendapat sokongan golongan tersebut.

Antara artis 'kabur' yang telah dipergunakan ialah Bob Lokman, Aishah, Hairie Othman, Abby Abadi, Dayangku Intan dan beberapa lagi selebriti yang bergerak dari satu pentas ke satu pentas ceramah yang dianjurkan PAS.

Menariknya, golongan artis dan selebriti itu langsung tidak menyedari bahawa mereka sedang dipergunakan PAS untuk meraih sokongan rakyat, dan lebih malang lagi apabila mereka disuntik doktrin kononnya perjuangan parti itu adalah sebuah pejuangan “Islam” sebenar.

Sejak zaman berzaman sebelum ini, golongan artis dan selebiriti sering dikutuk, dicaci dan dimaki hamun oleh PAS di pentas-pentas ceramahnya serta golongan itu dianggap sebagai “terpesong” dari landasan Islam.

Ada yang dikecam hebat sehingga dilarang dan disekat sama sekali untuk mengadakan persembahan di negeri Kelantan.

Ketika itu, siapakah yang membela golongan artis dan selebriti tempatan kalau bukan kerajaan Barisan Nasional?

Dan sehingga kini, kewujudan golongan seni itu diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia apabila wakil mereka, Tan Sri Jins Samsuddin telah dilantik sebagai senator bagi menyuarakan suara golongan itu di dewan rakyat.

Artis-artis yang berceramah di pentas-pentas PAS sebelum ini menjelaskan bahawa mereka tidak berminat sama sekali untuk menceburi bidang politik dan hadir berceramah di situ bagi memenuhi jemputan pihak penganjur.

Kata mereka, mereka tidak berminat dengan dunia politik dan hanya tertarik kepada Islam, serta mahu mendekatkan diri dengan agama setelah “berhijrah” dan mendakwa diberi “hidayah” oleh Allah SWT.

Persoalannya, apakah mereka fikir pentas ceramah PAS itu adalah pentas “Islam” sebenar?

Sekiranya mereka tidak berminat dengan politik, mengapa mereka perlu berada di pentas-pentas PAS secara berulang-ulang kali sedangkan PAS ialah adalah sebuah parti politik dan bukannya mewakili agama Islam.

Sekiranya golongan artis dan selebriti benar-benar berminat untuk “berhijrah” serta mendekati Islam secara jujur dan ikhlas, sewajarnya mereka tidak akan memilih PAS sebagai platform untuk mereka berbuat demikian.

Sewajarnya mereka patut mendekati Islam menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan-Jabatan Agama Islam yang berkecuali serta tidak berpihak kepada mana-mana parti politik di negara ini.

JAKIM dan jabatan-jabatan agama Islam mempunyai pegawai-pegawai agama yang bertauliah dan jangan terkejut sekiranya terdapat mereka yang menyokong PAS, PKR dan Pakatan Rakyat di dalam agensi kerajaan yang menjaga hal ehwal Islam dan umatnya itu.

Menariknya, para pegawai dan kakitangan yang menyokong PAS di dalam agensi kerajaan itu langsung tidak didikriminasikan atau dibuang kerja kerana tidak menyokong kerajaan BN.

Ini adalah kerana Islam itu adalah syumul dan memberikan kebebasan kepada mana-mana individu untuk menyokong mana-mana parti politik pilihan mereka, dan cara pendekatan itulah yang digunapakai oleh BN.

Justeru itu wajarlah dikatakan bahawa JAKIM dan jabatan-jabatan tersebut lebih tepat digunakan oleh golongan artis dan selebriti untuk mendekatkan diri dengan Islam dan tidak bercampur aduk dengan fahaman politik yang bersifat duniawi.

Nampaknya, “hidayah” yang kononnya diberi Allah SWT kepada segelintir artis dan selebriti itu bukanlah “hidayah” ke arah Islam, malah ia lebih tepat untuk dianggap sebagai “hidayah” yang penuh dengan “nafsu politik”!


Terengganu terima waran RM2.48 juta naik taraf 40 surau sekolah

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu menerima waran di bawah Projek Transformasi Luar Bandar berjumlah RM2.48 juta bagi tujuan menyelenggara, mengubahsuai serta menaik taraf surau di 40 buah sekolah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, jumlah itu tidak termasuk peruntukan berjumlah lebih RM177,000 untuk tiga lagi surau yang belum menerimanya.

Katanya, waran itu dikeluarkan bagi projek Pakej Rancangan Khas (PRK) untuk negeri Terengganu yang secara keseluruhannya berjumlah lebih RM8 juta.

"Di bawah program ini juga, peruntukan sebanyak RM1.35 juta turut diluluskan bagi tujuan pembinaan lapan lagi surau sekolah yang baru di negeri ini," kata beliau.

5,000 belia meriahkan Pesta EURO 2012 di Dataran Shahbandar

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra


Lebih 5,000 belia memeriahkan pesta menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2012 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu awal pagi semalam.

Program anjuran My Geng BN dan Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Terengganu itu lebih bermakna dengan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sektar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw yang menonton perlawanan tersebut sehingga tamat.

Siaran langsung perlawanan menyaksikan pertemuan juara bertahan, Sepanyol menentang Itali tersebut disiarkan menerusi satu skrin gergasi milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

 Ketua Pemuda UMNO Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki berkata, sebelum kemuncak kemeriahan itu, pelbagai acara memeriahkan program itu sejak pukul 5 petang seperti futsal ‘3 On 3’, PS Football, cabutan bertuah dan persembahan bakat muda tempatan.


02 July 2012

Dato’ Rosnah rasmi mesyuarat Perwakilan Puteri Kuala Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dato’ Rosnah Abdul Rashid Shirlin akan merasmikan Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu bertempat di Dewan Tunku Abd. Rahman Kuala Terengganu Jumaat ini (6 Julai).

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Perhubungan Terengganu merangkap Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, kira-kira 800 perwakilan daripada 72 cawangan akan hadir ke mesyuarat itu.

“Mesyuarat perwakilan berlangsung sebelah pagi manakala petangnya, Dato’ Rosnah akan berkunjung ke rumah ahli Puteri yang uzur di bawah Program Puteri Perihatin,” katanya.

Menurutnya, beberapa buah rumah akan dikunjungi termasuklah rumah bekas ahli jawatankuasa Puteri Bahagian Kuala Terengganu, Puan Hartini Maridun di Taman Permint Jaya, Chendering yang mengidap penyakit saraf dan Ketua Puteri Cawangan Gong Tok Nasek, Puan Hanifah Sidek yang mengidap kanser payu dara.

Sementara itu, perasmian mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kemaman akan diadakan serentak dengan Pergerakan Wanita dan Pemuda pada 14 Julai bertempat di Dewan Berlian, Kemaman oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil.




Wajah baru Tasik Kenyir

Oleh FAUZI MOHD

Tasik Kenyir yang terbentang di tengah belantara melukiskan keindahan alam semulajadi menyerlahkan hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun menghiasi panorama 340 pulau-pulau daripada rabung bukit-bukau yang bertaburan di tasik buatan manusia seluas 65,417 hektar.

Keistimewaan Tasik Kenyir bukan semata-mata kerana kejernihan air di dadanya, spesies-spesies kayu berharga seperti Keruing, Meranti, Resak dan Kapur serta pelbagai lagi menjulang awan, menaungi habitat hidupan liar eksotik di bawahnya.

Bagi pencinta alam, tasik yang terbentuk hasil pembinaan Empangan Kenyir pada tahun 1985 itu penuh keunikan dan misteri gua-gua belum selesai dibongkar seperti Gua Bewah dan Gua Taat.

Penemuan rangka manusia yang diiktiraf sebagai tertua di negara ini berusia 16,000 tahun di Gua Bewah memasyhurkan lagi nama Tasik Kenyir di kalangan ahli sejarah dan pakar arkelogi.

Di atas kekuatan itu, Kerajaan negeri yakin Terengganu akan mengalami limpahan pelancong sehingga mencecah 10 juta orang setahun apabila dua komponen utama pembangunan Tasik Kenyir iaitu Kenyir Island Hopping (KIH) dan Zon Bebas Cukai beroperasi sepenuhnya sekitar tahun 2015.

KIH cetusan idea Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said melibatkan pembangunan 10 taman dalam tiga fasa bermula 2008 hingga 2015.

Fasa pertama (2008-2012) melibatkan pembinaan Taman Burung, Taman Tropika, Taman Orkid dan Taman Rama-Rama diikuti fasa kedua (2012-2014) meliputi Taman Botani, Taman Rambutan dan Taman Helicornia serta fasa ketiga (2013-2015) terdiri daripada Taman Eko, Taman Kaktus dan Taman Anggur.

Taman Burung yang dihuni lebih 18 spesis burung, itik dan angsa dibangunkan di Pulau Terengganu Mati seluas 1.7 hektar telah siap pada 2010 dengan kos pembangunan fizikal berjumlah RM5.5 juta dan kos sistem elektrik solar RM2.1 juta.

Di Pulau Tekak Besar, Taman Tropika seluas 5.5 hektar diliputi lebih 102 spesis tumbuhan, buah liar, buah eksotik dan buah nadir dengan kos projek RM7.6 juta.

Sementara itu, lebih 3,000 spesis orkid liar dan hibrid pula bakal mewarnai tiga pulau seluas 2.7 hektar iaitu Pulau Selimbar Hilir, Pulau Selimbar Hulu serta Pulau Belit yang dibangunkan dengan kos RM8.6 juta termasuk RM1.2 juta kos pembinaan dua jambatan.

Taman Rama-Rama di Pulau Lubuk Geras seluas 1.5 hektar melibatkan kos pembangunan fizikal RM7.4 juta dan kos sistem elektrik solar RM4.05 juta bakal menempatkan sehingga 5,000 ekor rama-rama daripada 50 hingga 80 spesis.

Sementara itu, pembangunan Zon Bebas Cukai merangkumi dua lokasi penting iaitu Pengkalan Gawi melibatkan pembinaan terminal utama, jeti penumpang dan jeti kargo manakala Pulau Bayas dibangunkan Kenyir Trade Centre (KTC) yang dijangka mula beroperasi pada 2014.

Kompleks pentadbiran bernilai RM3.06 juta dan Kuarters Kastam Diraja Malaysia (RM23.44 juta) di Pengkalang Gawi adalah menyokong kepada Zon Bebas Cukai dari aspek pengawalan dan penguatkuasaan.

Pulau terbesar di Tasik Kenyir, Pulau Bayas yang berkeluasan kira-kira 700 hektar telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada September 2010 untuk dijadikan kawasan bebas cukai mengikut Seksyen 3 Akta Bebas Cukai 1990.

Pembangunan di KTC dengan kos RM100 juta melibatkan lima pakej utama iaitu (1) Terminal utama, (2) Pusat membeli-belah, (3) Sistem pencawang elektrik, (4) kerja-kerja infra (seperti jalan dan stesen buggy) dan (5) Sistem air dan kumbahan.

Ke arah merealisasikan hasrat itu, projek penyambungan kabel elektrik sepanjang 23.5 kilometer dari PPU Kuala Ping ke PPU Pulau Bayas dilakukan dengan kos projek RM34.6 juta termasuk pampasan izin lalu.

Pembangunan terancang itu telah menarik beberapa pelabur termasuklah kemudahan hotel 200 bilik bertaraf tiga bintang oleh Bayas Resources Sdn. Bhd. bernilai RM85 juta dan pembinaan Kenyir Eco Sport Tourism Island bernilai RM500 juta di Pulau Serindik.

Walaupun penjelmaan wajah baru Tasik Kenyir sedang berjalan, jumlah kemasukan pengunjung ke tasik itu bertambah saban tahun iaitu pada tahun 2007 mencatatkan 92,199 pelancong, 2008 (133,569), 2009 (189,388), 2010 (225,570) dan 2011 (275,241).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, zon berkenaan bakal menjadi pemangkin cukup kuat bagi melonjakkan industri pelancongan negeri.

“Keutamaan akan tetap diberikan kepada rakyat negeri ini untuk turut serta, namun melalui peluang yang terbuka kelak, mereka perlulah meneroka secara kreatif penglibatan dalam industri pelancongan,” katanya baru-baru ini.



Sokongan rakyat terhadap BN semakin kuat

Oleh: Suriati Ali

Sokongan rakyat terutama peringkat akar umbi di negeri ini dilihat semakin kuat kerana mereka menyedari keupayaan Barisan Nasional (BN) yang telah membawa satu anjakan pembangunan kepada Terengganu berbanding masa lalu.

Tanggapan pihak tertentu kononnya rakyat di negeri ini semakin menolak UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) disifatkan satu kenyataan yang tidak berasas dan menyimpang dari fakta yang sebenar.

Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, YB Khazan Che Mat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata pihaknya menyifatkan kenyataan seperti ini hanyalah cubaan pihak-pihak tertentu yang semakin gelisah dengan arus sokongan semasa BN yang terus bersemarak.

"Malah dengan keupayaan BN yang ditunjangi UMNO mentadbir negeri dan membela nasib rakyat secara menyeluruh membuatkan golongan yang tersepit ini tidak senang duduk sehingga memaksa mereka mencipta dakyah palsu sedemikian rupa.

“Kita menafikan sekeras-kerasnya pelbagai dakwaan karut yang datang daripada pembangkang, mereka gemar menidakan apa yang dilaksanakan kerajaan kerana mahukan perhatin,” kata ketika berucap di satu majis baru-baru ini.

Katanya, pembangkang bimbang bantuan dan kebajikan yang ditaburkan kepada rakyat akan memberi kesan negatif terhadap puak itu.

“Kita percaya rakyat di negeri ini akan menilai rekod pentadbiran kerajaan yang ada sekarang berbanding fitnah yang dilemparkan.

"Sebab itu kita tidak hairan dengan fitnah dan dakwaan tanpa asas yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

YB Khazan yakin selagi BN berjaya mentadbir dengan baik dan peka terhadap tuntutan rakyat, segala tohmahan yang dilemparkan tidak akan meninggalkan kudis.


Dato’ Seri Shahrizat jumpa wanita Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil akan membuat lawatan sehari ke Terengganu pada 7 Julai ini.

Majlis perjumpaan dengan jentera Wanita UMNO berlangsung di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man jam 10 pagi manakala sebelah petang beliau dijangka bertemu jentera wanita daripada parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Gerakan.

Disamping bertemu dengan pemimpin kanan jentera wanita lapan bahagian, beliau turut mengatur pertemuan hati ke hati dengan semua pengerusi perayu undi di peringkat peti-peti undi seluruh negeri.

Lawatan tersebut bertujuan memantau persiapan jentera wanita di negeri ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.




Hari terbuka IQ Terengganu 13-14 Julai

Oleh: Aida Abd Rahman
Institut al-Quran (IQ) Terengganu Kampus Padang Midin, Kuala Terengganu akan menganjurkan Hari Terbuka dan Majlis Khatam al-Quran, di kampus itu selama dua hari bermula 13 Julai ini.

Pengarahnya, Encik M.Rozi Bidin dalam satu kenyataan kepada media, berkata program itu sempena Majlis Konvokesyen Pelajar IQ dan Peserta Kelas al-Furqan sesi 2011 lalu.

Katanya, perasmian majlis itu bakal disempurnakan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah pada sebelah pagi yang turut disusuli dengan persembahan nasyid dan silat, selain pameran dan aktiviti jualan.

Manakala sebelah petangnya pula diadakan pertandingan tilawah terbuka, Klinik al-Quran, demonstrasi pencegahan jenayah, diikuti Malam Kesenian Islam, sementara opada 14 Julai pula diadakan pertandingan hafazan, mewarna dan juga khat.






Peserta Kenya dominasi cabaran `Terengganu Mount Berembun Green Challenge 2012'

Oleh: Aida Abd Rahman
Peserta dari Kenya ternyata mengungguli tempat utama cabaran `Terengganu Mount Berembun Green Challenge 2012’ bagi kategori terbuka lelaki dan wanita, di Hutan Lipur Air Terjun Chemerong, Dungun, yang tamat semalam (30 Jun).

Dengan kemenangan itu, Wanbul Paul Kimani dan Cynthia Keter Kambul membawa pulang RM1,500, medal dan barangan produk `Adventure’ selepas berjaya muncul johan dengan mengatasi 328 keseluruhan peserta pertandingan itu.

Wanbul menamatkan larian dengan catatan masa 2 jam 17 minit dan 39 saat untuk meninggalkan rakan senegara, Josept G.Tau Kariuki yang muncul naib johan dengan merekod masa 2 jam 20 minit dan 13 saat. Sementara tempat ketiga juga peserta dari Kenya Johndan Kiplimd Maru (2:21:53).

Manakala Cynthia menamatkan cabaran dengan masa 3 jam 6 minit dan 14 saat mengenepikan peserta tuan rumah, Foo Kam Miew dan Hafizah Mohd Arshad, masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga dengan merekod masa 3 jam 15 minit dan 48 saat dan 3 jam 43 minit 32 saat.

Bagi kategori veteran pula dimenangi Malek Musa (2:20:06), diikuti naib johan Ho Yney Khuen (2:24:22) dan tempat ketiga, Mohamad Omar (2:29:51).

Pemenang tempat kedua hingga kesepuluh turut menerima hadiah masing-masing berjumlah RM1,000 hingga RM200 seorang medal serta barangan `Adventure’.
Majlis perasmian dan pelepasan peserta disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, manakala perasmian penutup dan penyampaian hadiah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Dato’ Din Adam.

Dato’ Abdul Rahin berkata kerajaan negeri menyambut baik acara berprestij ini yang berjaya menarik 328 peserta termasuk 25 peserta luar negara seperti dari Kenya, Thailand, Singapura, United Kingdom.

Katanya, kerajaan berhasrat untuk terus menganjurkan acara rekreasi dan ekstrim ini pada tahun depan sekali gus menjayakan Tahun Melawat Terengganu 2013.

“Pertandingan anjuran Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Persatuan Kembara Negara bagi tahun kedua itu bertujuan mempromosikan Gunung Berembun yang kaya dengan khazanah alam semula jadi dan menjadi aset Terengganu yang perlu dihayati oleh semua pihak sama ada bagi menjalankan sukan rekreasi, pelancongan, sejarah, perhutanan, alam sekitar serta pendidikan,” katanya.

Gunung Berembun yang berketinggian 1,108 meter (3,405 kaki) terletak di kawasan Hutan Lipur Sungai Chemerong di dalam Hutan Simpan Pasir Raja Dungun, Terengganu turut mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara, iaitu setinggi 305 meter.