Oleh: Aida Abd RahmanBadang kelahiran Seberang Takir, Kuala Terengganu mengukir momen paling magis dalam profesionnya apabila angkatan 171kilogram (kg) dalam acara clean & jerk pada Sukan Malaysia (Sukma) Pahang, bulan lalu berjaya memadamkan rekod lama 170kg bekas atlet negara, Mohd Hidayat Hamidon pada Kejohanan Kebangsaan di Pulau Pinang sembilan tahun lalu.Keupayaan Abdul Mubin Rahim, 21, merangkul kilauan emas bagi kategori berat badan 77kg untuk mencipta rekod baru kebangsaan itu, memahat nama sebagai olahragawan di temasya berkenaan.
Atlet elit kebangsaan Majlis Sukan Negara (MSN) menerima pendedahan awal dalam sukan lasak terbabit bermula di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir ketika berusia 13 tahun sebelum diserapkan menjalani latihan secara intensif di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur dua tahun kemudian.
Minat dan cintanya yang mendalam menyebabkan dia mencari inisiatif mengadakan latihan apabila berada di rumah dengan menggunakan tin berisi simen yang dihasilkan sendiri bagi memantapkan fizikal dan stamina.
“Saya juga sering mengangkat barang-barang berat ketika di rumah. Malah, setiap kali menukar tong gas yang kosong saya juga akan mengangkatnya setinggi mungkin kerana selain membantu ibu, saya juga mahu membuktikan kekuatan sendiri,” tuturnya sambil berselang tawa kepada Teganukita, baru-baru ini.
Keupayaan Mubin meningkatkan prestasi mencuri tumpuan penggiat sukan itu, apatah lagi sukan yang kurang popular di kalangan belia berbanding acara lain seperti bola sepak dan futsal itu sedang ketandusan bakat baru.
Ruang yang terbentang buat anak keenam daripada 13 beradik itu digunakan dengan sebaiknya untuk merangkul posisi paling selesa, demi melenyapkan keraguan keluarga terutama kedua orang tuanya, Rahim Ali, 54 dan Zawiah Abd Rahman, 50, bahawa pemilihan karier sejak di bangku sekolah itu ada asasnya.
Pendedahan demi pendedahan dalam Kejohanan Angkat Berat Remaja yang dianjurkan secara sirkit tiga kali setahun menjadi medan mengasah pengalaman dan meningkatkan tahap angkatan sebelum penglibatannya dijulang untuk mewakili negara di Sukan Komanwel New Delhi bagi kategori 85kg dua tahun lalu.
Pentas Sukma menjadi medan Mubin melebar langkah dalam acara kegemarannya itu yang dimulai dengan Sukma ke-11 Kedah, di mana penglibatan pertama di temasya 2006 itu tidak menghadirkan sebarang pingat, sebelum penyertaan di Sukma Terengganu 2008 berjaya meraih emas selepas mengumpul mata tertinggi 115kg bagi acara snatch dan 156kg bagi acara clerk & jerk.
Sementara Sukma ke-13 Melaka dua tahun lalu pula menyaksikan pemuda yang lahir tanggal 6 Januari 1991 itu mengegarkan arena angkat berat untuk membolot dua emas menerusi angkatan 140 kg acara snatch dan 175kg acara clerk & jerk bagi kategori berat 85kg.
Aksi Mubin itu berjaya meleburkan rekod dipegang sejak 11 tahun lalu untuk memperbaharui rekod baru dan terus dipertahankan sehingga kini, sebelum dia melakar hatrik meraih emas bagi kategori berat 77kg di Sukma Pahang lalu.
“Sebelum ini, saya tidak pernah teruja untuk menyertai penutup Sukma. Bagaimanapun, memandangkan ini adalah pentas Sukma terakhir saya, saya turut serta bersama rakan lain bagi meraikan kejayaan Terengganu yang muncul juara buat kali keempat berturut-turut.
“ Tidak sangka pula, cakap-cakap mengatakan saya mungkin akan menaiki pentas menerima anugerah olahragawan daripada Perdana Menteri benar-benar menjadi kenyataan. Itu sesuatu yang sangat manis dan berbaloi sepanjang karier saya,” katanya yang mendedikasikan kejayaan kepada jurulatih, Mohd Azrul Che Mat serta seluruh keluarganya.
Tanpa kelibat ibu dan bapa di lokasi pertandingan berikutan tiada kemudahan pengangkutan sendiri untuk membawa mereka, bukan halangan untuk atlet itu meresap doa, semangat dan harapan orang tuanya menerusi perbualan telefon sebelum pertandingan, bagi membuktikan kejaguhannya.
“Syukur Alhamdulillah. Penat lelah, perjuangan saya dan pengorbanan masa untuk memberi tumpuan penuh terhadap sukan ini sehingga tiada masa untuk berhibur dan lepak seperti rakan sebaya yang lain akhirnya berbaloi,” kata atlet yang muncul antara penerima insentif tertinggi daripada Kerajaan Terengganu berjumlah RM23,500 termasuk RM10,000 ganjaran khas sebagai olahragawan.
Menurut Mubin lagi, dia berhasrat untuk terus menetap di kampung dan mencari pekerjaan tetap bagi membantu ibu bapa dan keluarganya yang hidup serba sederhana serta hanya bergantung kepada pekerjaan bapa sebagai tukang rumah, sambil meneruskan misi dalam arena angkat berat itu.