Halaman

05 December 2012

MB bentang Bajet 2013 Isnin depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan membentangkan Bajet 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, yang akan bersidang selama empat hari mulai 10 Disember depan.

Mengikut jadual persidangan DUN Terengganu, Menteri Besar akan membentangkan Bajet 2013 pada hari pertama persidangan itu. Bajet berkenaan akan menjana ekonomi dan pelbagai program pembangunan negeri ini bagi tahun 2013.

Ini merupakan pembentangan bajet kali kelima yang akan dibentangkan Dato’ Seri Haji Ahmad sejak beliau menerajui pemerintahan negeri ini mulai tahun 2008.

Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan RM1.95 bilion bagi Bajet 2012 yang bertemakan “MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN: BAJET KESEJAHTERAAN RAKYAT” iaitu pertambahan RM62.07 juta atau 3.29 peratus berbanding Bajet 2011.

Daripada jumlah itu, RM112.2 juta digunakan bagi membiayai Perbelanjaan Mengurus manakala RM1.838 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

 

Kolej Ketengah sasar 350 pelajar tahun depan

Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mensasarkan 350 pelajar cemerlang bagi pengambilan pertama mulai tahun depan.

Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud berkata, usaha ini dirancang melalui kerjasama strategik antara Ketengah dan MARA untuk pembangunan dalam sektor pendidikan.

“Pelajar terbabit akan melanjutkan pengajian peringkat persediaan A-lever dan International Baccalaureate di kolej ini sebagai persediaan ke universiti terkemuka di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, kolaborasi antara dua agensi ini mampu bersaing di peringkat globalisasi di samping membangunkan modal insan yang akan menjadi nadi dalam memacu bidang pendidikan ke tahap global.

“Pendidikan berkualiti bertaraf dunia merupakan satu pelaburan jangka panjang yang berdaya maju dan mampu menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara,” katanya.

Kolej Ketengah dilengkapi 16 bilik kuliah, sebuah dewan utama dan auditorium, kompleks sukan serta asrama yang selesa serta tenaga pengajar yang professional dan berpengalaman dari MARA.

“Saya yakin pelajar di kolej ini nanti mampu memberi satu pencapaian ampuh dalam memacu kecemerlangan seperti lain-lain pusat pengajian tinggi di negara ini,” katanya


YIT anjur seminar 'serangan akidah di zaman globalisasi'

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan menganjurkan seminar sempena dengan sambutan Maal Hijrah 1434H bertempat di Dewan Utama, Menara YIT Kuala Terengganu esok (6 Disember)..

 Penolong Pengarah (Penyelidikan dan Penerbitan) YIT, Habibie Hamzah berkata, program ini akan mengundang beberapa ahli penal yang berpengalaman.

“Antaranya penceramah jemputan termasuklah Ustaz Fathul Bari Mat Yahya dan Dr. Zulkifli Muda yang akan membincangkan tentang serangan akidah di zaman globalisasi dan juga wasatiyyah mengikut perspektif akidah,” katanya.

Menurutnya, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat akan merasmikan majlis berkenaan yang dihadiri oleh golongan pelajar, wakil-wakil jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta serta pemimpin masyarakat.

 

Kerajaan negeri perkasa Sekolah Imtiaz

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan Terengganu akan memperkasa Sekolah-Sekolah Imtiaz di negeri ini kerana ia mampu menjana masyarakat yang mampu hafaz al-Quran serta cemerlang di bidang pelajaran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tahun ini 287 pelajar dari sekolah berkenaan mampu menghafal al-Quran dan mereka diberi RM1,000 seorang sebagai imbuhan.

 “Bagi tujuan itu kerajaan negeri membelanjakan RM287,000 bagi memberi sagu hati sebagai dorongan kepada pelajar yang telah menghafal al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pada masa ini terdapat lima buah Sekolah Imtiaz di negeri ini di mana setiap daerah kecuali Marang dan Setiu, mempunyai sekolah berkenaan.

“Kita akan memperkasakan sekolah Imtiaz sedia ada dan membina dua buah sekolah lagi iaitu di daerah Marang dan Setiu bagi membolehkan lebih ramai pelajar masuk ke sekolah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ramai ibu bapa dari negeri-negeri lain berminat menghantar anak-anak mereka belajar di Sekolah Imtiaz, tetapi setakat ini kerajaan negeri hanya memberi peluang 10 peratus pelajar luar melanjutkan pelajaran di sekolah berkenaan.

“Kita tidak bercadang untuk menambah kuota berkenaan bagi memastikan pelajar tempatan diberi lebih peluang untuk belajar di sekolah Imtiaz,” katanya.

 

04 December 2012

Anugerah kedai rakyat 1Malaysia terbatal jika langgar syarat

Oleh; Esah Abdullah

Premis perniagaan yang menerima anugerah Kedai Pilihan Rakyat 1Malaysia (KPR1M) bakal menerima tindakan ditarik balik gelaran itu sekiranya melanggar syarat penganugerahan yang ditetapkan.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan membuat pemantauan untuk memastikan perkara tersebut dipatuhi.

Menurutnya, anugerah ini pada asalnya dikenali sebagai Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2003 lagi, namun telah dibuat penjenamaan semula pada tahun ini.

 “Anugerah berkenaan sebagai mengiktiraf premis perniagaan yang menawarkan produk dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan dan kompetitif, bertepatan dengan kualiti barangan serta perkhidmatan pelanggan ditawarkan kepada pengguna,” katanya.

Katanya premis ini juga memberikan kelebihan kepada pengguna untuk mengenalpasti kedai patut dikunjungi, menawarkan produk dan kedai yang baik, bersifat mesra pelanggan supaya mereka dapat membuat pilihan dan memuaskan hati.

Di samping mengekalkan prestasi, peniaga perlu mesra pelanggan, suasana persekitaran bersih, tiada aduan daripada pengguna dan juga mengadakan promosi jualan murah yang betul (jujur).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah KPR1M peringkat Zon Timur 2012 di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, baru-baru ini.. Hadir sama, Timbalan Pengarah Pejabat KPDNKK Terengganu, Encik Ab Ghani Harun.

Pada majlis itu, 263 premis perniagaan dari Zon Timur menerima anugerah, termasuklah Terengganu 80 buah premis, Pahang ( 91), dan Kelantan (92). Menurutnya, penerima anugerah terdiri daripada enam kategori, iaitu barangan pengguna, makanan, ketrampilan, gajet, informasi dan pasaraya .

Katanya, penarafan setiap calon dibuat berdasarkan kepada undian daripada orang ramai (50 peratus) dan panel penilai juga adalah 50 peratus.

 “Percalonan dibuka sepanjang tahun dan boleh dibuat secara atas talian melalui www.1pengguna.com atau secara manual di pejabat-pejabat KPDNKK di seluruh negara. sehingga ini, 4,000 usahawan telah mengisi borang untuk percalonan bagi tahun hadapan,” katanya.

 

Pasukan Mekonomen juara Piala Coronation

Pasukan Mekonomen Sailing yang merupakan pendahulu Siri Jelajah Dunia Match Racing Alpari (AWMRT) muncul juara Piala Coronation yang berlangsung di Pulau Duyong, petang semalam.



Pelayar terkemuka Bjorn Hansen dari Sweden yang mengemudi pasukan tersebut mengetepikan tujuh saingan yang turut berentap merebut piala itu, memungut lima mata bagi mengungguli perlumbaan yang berlangsung selama hampir dua jam.

Pasukan Black Swan Racing yang dikemudi Keith Swinton muncul naib johan dengan pungutan 10 mata.

Manakala pasukan YANMAR Racing yang turut disertai Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, meraih tempat ketiga.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang berkenan berangkat pada majlis perasmian Piala Monsun 2012 yang disempurnakan Sultan Mizan, menyampaikan piala kepada pemenang.

 

UMNO DITUDUH KAFIR BEKERJASAMA DENGAN BUKAN ISLAM, PAS BEKERJASAMA DENGAN DAP BAGAIMANA PULA?

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Pengarang Teganukita. 

“Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia.

UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud.

Kesan amanat pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam.

Natijahnya, muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua Imam, perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang-orang UMNO.

Soalnya, adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.”

Di atas adalah merupakan sedut ucapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak dalam perhimpunan agung Umno baru lalu selaku Presiden Umno. Memanglah semua tahu bahawa amanat atau ucapan Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang adalah merupakan racun berbisa membawa perpecahan umat Islam seperti beberapa natijah yang disebut oleh Dato’ Seri Najib itu.

SEMBAYANG DUA IMAM

Sembahyang dua imam bukan dongeng, contohnya ini berlaku pada 17 Julai 1982 di masjid Gong Pasir, Besut. Pada tahun 1963, Dewan Ulamak Pas Kelantan menyebut: Orang Islam Umno menjadi kafir kerana bekerjasama memerintah negara dengan orang kafir, atau ringkasnya disebut sebagai ‘kafir berikat’.

Jadi persoalannya sekarang bagaimanakah dengan fatwa itu apabila Pas sendiri bekerjasama dengan bukan Islam (DAP) memerintah di Pulau Pinang, Perak sebelum ini, Selangor?

Itulah persoalan yang sebenarnya dan perkara yang berkaitan Islam tidaklah boleh dipermainkan sesuka hati, maksudnya membuat hukum dan fatwa yang mengikut selera dan kepentingan politik.

TUHAN SURUH KITA BERGADUH

Haji Hadi juga pernah mengatakan “Tuhan Jadikan Kita Untuk Bergaduh’.

Bayangkan sampai begitu sekali beliau sanggup menafsir ayat suci al-Quran surah Al-Baqarah ayat 251, dalam satu ucapannya di Bukit Kulim Marang Terengganu pada 24 September 1980, lebih awal sebelum amanat Haji Hadi di Banggol Peradong pada 1981.

PAS PARTI ALLAH?

Dato’ Abu Bakar Chik pada 13 November 1983 di Kampung Darat Batu Rakit menyebut dalam ucapannya bahawa Pas adalah Hizbullah (parti Allah) dan Umno adalah Hizbul Syaitan (parti Syaitan) dengan menafsirkan sesuka hatinya ayat 19 dan 22, surah Al Mujadalah.

Haji Hadi juga yang pada tahun 1986, waktu itu menjadi Naib Presiden Pas juga menyatakan dalam ceramahnya di Jertih Besut bahawa Pas parti Allah, dengan katanya parti yang bermatlamat mewujudkan negara Islam boleh ditafsirkan sebagai parti Allah.

Persoalannya sekarang bila Pas telah bertukar kepada memperjuangkan negara kebajikan bagaimana? Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri ketika mengulas dakwaan Pas parti Allah sebagai perbuatan menyekutukan Tuhan untuk kepentingan politik.




Projek naik taraf HSNZ hampir selesai

Oleh: Noraini Jusoh

Projek naik taraf Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang melibatkan peruntukan RM129.9 juta memasuki fasa terakhir dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Anwa Sulaiman berkata, antaranya membabitkan pembinaan Kompleks Pakar Materniti serta projek naik taraf unit kecemasan.

"Pembinaan Kompleks Pakar Materniti yang menempatkan wad bersalin serta kemudahan yang berkaitan dengan kehamilan serta kelahiran bayi dijangka siap pada 8 Mac depan.

"Apabila siap sepenuhnya nanti, Kompleks Pakar Materniti yang mempunyai blok bangunan setinggi 6 tingkat diharap dapat mengurangkan masalah kesesakan pesakit di wad bersalin sedia ada seperti sekarang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas selesai Majlis Pelancaran Kutipan Derma Kemanusian Palestin 2012, baru-baru ini. 

Katanya, projek naik taraf unit kecemasan pula di peringkat pelaksanaan kerja-kerja terakhir dan pada 6 Disember ini pemeriksaan akhir akan dilakukan oleh pihak jabatan, Kementerian Kesihatan serta kontraktor yang terlibat.

"Projek naik taraf unit kecemasan melibatkan pertambahan bilik serta kelengkapan yang lebih canggih untuk mengatasi masalah kesesakan serta ketidakselesaan pesakit,” ujarnya.

Justeru, dengan siapnya projek tersebut akan memudahkan pesakit dan orang ramai yang berurusan di HSNZ.

 

Pemimpin PAS mula gerun kritikan UMNO

Oleh: Mohammad Ishak 

Tidak ada apa yang perlu ditakuti pemimpin PAS terhadap kritikan dan ucapan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Semua yang dibangkitkan oleh perwakilan sama ada mewakili Puteri,Pemuda,Wanita dan badan induk parti hanya untuk menjaga kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu supaya tidak terjebak dengan idea yang dibawa pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO Besut,Mahadi Musa berkata, sepanjang beliau mengikuti persidangan berkenaan tidak ada perwakilan yang memaki hamun dan mencemuh pembangkang terutama pemimpin PAS.

Katanya, beliau hairan kenapa Mursyidul Am Pas,Datuk Nik Aziz Nik Mat menunuduh PAU sebagai medan untuk orang Umno memaki hamun pemimpin pembangkang termasuk Pas.

Menurutnya, pemimpin Pas mungkin merasakan diri mereka bersalah menyebabkan menuduh PAU sebagai medang untuk menyerang mereka.

“Tetapi sedarkah pemimpin Pas sebenarnya yang sering memaki hamun kepada pemimpin Umno pada setiap ceramah yang mereka adakan di seluruh negara,” katanya.

Mahadi berkata, kenyataan Nik Aziz yang menyatakan persidangan Umno kali ini penuh dengan maki hamun kerana lagak perwakilan yang mengambil bahagian sebenarnya sudah terkena kepada batang hidung pemimpin Pas.

Anehnya,katanya Mahadi, mereka yang sering melakukan perbuatan seperti itu sejak dahulu sehingga sekarang tidak pula menyhalahkan diri sendiri apabila mengutuk dan memfitnah pemimpin Umno dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Katanya, apa yang mereka lakukan termasuk mendoakan UMNO dan BN musnah serta menuduh Umno murtad, bukankah itu yang dipanggil memaki hamun.

12 pelayar mula berentap pada kejohanan Piala Monsun 2012

Seramai 12 pelayar ternama dari seluruh dunia mula berentap dalam Kejohanan Piala Monsun 2012 di Pulau Duyong, yang bermula hari ini bagi merebut keseluruhan hadiah bernilai RM1.5 juta.



Antara pelayar yang bertanding pada kejohanan yang memasuki edisi ke-8 itu ialah Bjorn Hansen dari Sweden, Laurie Jury (New Zealand), Jeremy Koo (Malaysia), Datuk Peter Gilmour (Australia) dan Johnie Bersson (Sweden).


Perasmian kejohanan tersebut disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan berangkat ke lokasi kejohanan itu, kira-kira jam 2 petang semalam.

Para peserta kejohanan itu akan berentap pada pusingan kelayakan bermula pagi ini dan esok manakala peringkat suku akhir bermula jam 10.30 pagi Jumaat.

Peringkat separuh akhir akan bermula jam 10.30 pagi Sabtu manakala acara kemuncak final akan bermula jam 3 petang hari yang sama.