Halaman

21 November 2013

Paras sungai di Setiu susut sedikit hari ini.

Dalam...pemandangan Sungai Setiu di Kampung Buruk jam 12 tengahari tadi.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Kekurangan taburan hujan malam tadi menyebabkan paras air beberapa sungai di daerah Setiu menunjukan sedikit penurunan.

Tinjauan Teganukita tengahari tadi di Sungai Chalok mendapati paras air sudah menampakan penurunan berbanding semalam, bagaimanapun ianya masih diperingkat bertahan hari ini berikutan hujan sejak pagi tadi sehingga awal petang.

Manakala Sungai Setiu pula tidak banyak berubah berbanding semalam, airnya masih belum mencecah ke paras bahaya iaitu kira satu hingga dua meter lagi untuk melimpahi tebing.

Banyak..Sungai Tarom hampir melimpahi tebing tengahari tadi.
Bagaimanapun, Sungai Tarom , dekat sini menampakan sedikit peningkatan pada hari ini berbanding semalam iaitu hanya kira-kira satu meter lagi untuk melimpahi tebing.

Sungai Tarom adalah paling cepat melimpah sekiranya berlaku hujan berterusan dan kawasan yang terbabit dengan sungai itu ialah Kampung Buluh Hilir dan Kampung Tasek.

Ramalan cuaca meramalkan hujan di peringkat kuning berlaku di beberapa tempat di daerah Besut dan Setiu, hari ini yang boleh mengakibatkan kawasan rendah dinaiki air.

Tinjauan juga mendapati, pencari ‘ikan darat’ sudah mula menjual hasil tangkapan mereka di beberapa tempat dan ianya menjadi sumber pendapatan sampingan golongan petani berikutan tidak dapat mengusahakan tanaman mereka sepanjang musim tengkujuh ini.

Manakala penjual gerai tepi jalan raya di sekitar Chalok sudah mula menjual pelbagai jenis ubi antaranya ialah ubi kayu dan ubi keledek dan sambutanya amat mengalakan dari penguna jalan raya Kuala Terengganu ke Kota Baharu.

 

YB Muhammad Pehimi dilantik Exco baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, YB Haji Muhammad Pehimi Yusof dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) yang baru, di Majlis Pelantikan dan Melafaz Sumpah Jawatan Exco, di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini.

Berkenan berangkat ke majlis itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Tengku Sri Temenggong Raja dan Setiausaha Dewan Pangkuan DiRaja, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu, Tengku Bentara Raja dan Ketua Istiadat, Dato’ Bentara Luar.

Istiadat pelantikan diteruskan dengan Menteri Besar mengadap Sultan Mizan dan menyembah nama Exco baru itu.



Seterusnya, YB Haji Muhammad  Pehimi melafaz sumpah serta menandatangani sumpah jawatan itu.

Turut hadir, semua Exco, Adun dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Pelantikan Exco baru berkenaan sebagai mengisi kekosongan jawatan tersebut berikutan kematian Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri pada 23 Jun lalu.






TUNAIKAN AMANAH & TANGGUNGJAWAB

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Langkah UMNO meminda Perlembagaan empat tahun lalu bagi membolehkan lebih ramai perwakilan memilih pemimpin parti itu merupakan keputusan paling tepat dalam usaha mentransformasikan parti.
Hasilnya sudah terlihat dan kalau dibuat ‘postmortem’ atau bedahsiasat sekalipun pasti didapati cara ini lebih baik, kalau ada sedikit sebanyak kelemahan ia perlulah diperbaiki di masa akan datang.
  Sambil menyifatkan UMNO kini sebagai parti yang menjuarai demokrasi terbuka, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, pemilihan parti kali ini amat bersejarah kerana melibatkan lebih ramai perwakilan selain berjaya menarik minat masyarakat di dalam serta luar negara.
  "Bukan mudah untuk melakukan transformasi yang melibatkan sejumlah besar perwakilan serta persediaan logistik. Dato’ Seri Mohd Najib berkata, beliau sebenarnya bertekad menjadikan UMNO sebagai sebuah parti paling ke depan dalam proses menegakkan demokrasi terbuka selain dalam masa sama menjadi model kepada parti-parti lain.
  Dalam pada itu, ditegaskan, beliau mengambil ketetapan tidak mencampuri urusan pemilihan parti dan menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa pemilihan parti untuk membuat sebarang keputusan.
 Kuasa memilih pemimpin kepada 146,500 anggota di peringkat akar umbi adalah suatu yang menunjukkan kekuatan demokrasi dalam parti. Transformasi yang dilakukan parti keramat orang Melayu itu bertujuan untuk memperkasa anggota di peringkat akar umbi, justeru mereka perlu bijak menggunakan kuasa yang diberikan itu. Sebelum pindaan Perlembagaan Umno pada 2009, seseorang yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti perlu terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 Bahagian Umno.
  Dan hanya perwakilan Bahagian yang terpilih sahaja mengundi untuk memilih pemimpin tertinggi parti. Pada Oktober lalu, perwakiolan Umno di peringkat akar umbi memilih pemimpin yang layak memegang jawatan di peringkat bahagian hinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi, sayap dan naib presiden.
  Kita semua bersyukur kerana UMNO, parti keramat bangsa Melayu telah berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab melakukan proses pemilihan barisan kepimpinan dengan baik dan sempurna. Ini adalah bukti transformasi politik yang dilaksanakan telah diterima baik oleh ahli akar umbi UMNO.
  Sebenarnya ini adalah kejayaan ahli akar umbi UMNO yang berjaya membuktikan kematangan politik yang tinggi.
  Transformasi ini telah memberikan ahli akar umbi UMNO ruang untuk bersuara, dan mereka telah menterjemahkan suara mereka didalam bentuk pemilihan yang baru berlalu. Buat pertama kali dalam sejarah politik negara, barisan kepimpinan UMNO dipilih secara langsung oleh ahli akar umbi.
  Tiap ahli kini boleh berbangga selain pimpinan di peringkat Bahagian bahawa pemimpin mereka yang duduk di Majlis Tertinggi UMNO adalah pilihan ahli sendiri; lebih ramai ahli atau perwakilan ada saham dalam pemilihan yang baru berlalu. Sebenarnya tiada istilah menang atau kalah dalam pemilihan UMNO kali ini. Ia adalah persoalan memikul amanah dan tanggungjawab. Kepada mereka yang baru diberi mandat oleh ahli, kita ucapkan tahniah, dan bersyukurlah. Jauhi sikap takbur, angkuh, sombong dan meninggi diri kerana itu adalah sifat yang tidak disuruh oleh agama kita, Islam Yang Maha Suci.
 Malah sifat itulah sebenarnya yang ditidak setujui dan disukai oleh akar umbi. Sebaliknya, pastikan amanah yang diberi dipikul dan dilaksanakan dengan sempurna demi untuk memperkasakan agama, bangsa dan negara.
  Jangan sesekali menganggap jawatan itu sebagai jambatan untuk habuan, kedudukan atau jawatan, tetapi adalah satu amanah yang perlu disempurnakan dan akan dipertanggungjawabkan kelak. Kepada mereka yang tidak terpilih dalam pemilihan ini, sumbangan anda sekalian tetap diperlukan dan pasti akan dihargai oleh UMNO.
 Kalau dahulu kita pemimpin dan orang mengikut kita, maka kini bersedialah pula kita menjadi pengikut dan ahli yang setia.
  Kalau dahulu orang menolong mengangkat kita, maka bersedialah untuk mengangkat dan membantu orang lain, terutama pelapis untuk meneruskan perjuangan parti kita. Suara dan sumbangan saudara/ saudari akan tetap diberi tempat dan perhatian kepimpinan di dalam perjuangan UMNO.
  Tiap ahli UMNO semua peringkat sebenarnya berada didalam satu keluarga besar UMNO. Tiada istilah menang atau tewas bagi mana-mana calon. Yang menang ialah UMNO kerana berjaya dalam transformasi politik disaat yang mencabar ini. Tiap ahli UMNO semua adalah pemenang.
  Oleh itu sudah tiba masa tiap ahli merapatkan saf dan bersatu dalam perjuangan. Ukhwah dan kesatuan yang berteraskan kepada perjuangan membela agama, bangsa dan negara adalah sumber kekuatan UMNO. Begitulah juga di peringkat negeri Terengganu, apa yang penting ialah Umno/BN perlu bersiap dari sekarang mengatur strategi dan langkah untuk menawan kembali kerusi yang terlepas kepada pihak lawan.
 Jangan biarkan pembangkang terus menguasai, tetapi kepada mereka yang telah diberikan amanah, inilah masanya untuk berpadu dan dalam satu pasukan bekerja demi masa depan Umno dan BN kukuh dan cemerlang.

300 penduduk terima agihan projek Touch Point


Idris menyampaikan peralatan memasak kepada peserta.

Oleh: Mohammad Ishak 

Golongan berpendapatan rendah tidak pernah diabaikan dalam setiap pengagihan dan bantuan yang disalurkan oleh jabatan dan agensi kerajaan negeri ini, sebaliknya mereka sentiasa diberi keutamaan dalam pemberian bantuan.

Nasib 300 golongan terbabit dari daerah Besut adalah antara yang beruntung kerana mereka diberi perhatian menerusi program “Touch Point” apabila Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kawasan Gerai,turut melaksanakan pengagihan bantuan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Ehsan, Umno Bahagian Besut, yang dirasmikan Menteri Pendidikan II,Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut membuktikan mereka tidak pernah dipinggirkan oleh pihak terbabit.

Pengurus LPP Gerai, Hasmadi Hassa berkata, penerima terbabit menerima peralatan memasan dan memancing yang disampaikan sendiri oleh Idris pada majlis berkenaan.

Katanya, penerima termasuk pemuda dan puteri diberi peralatan berkenaan bagi memudahkan mereka menjalani aktiviti berasas ekonomi melalui projek masing-masing.

Hasmadi berkata, dengan adanya kemudahan peralatan itu penerima dapat memanfaatkannya untuk membuat kuih dan kemudahan lain.

Idris ketika berucap pada majlis itu, mahu golongan pemuda dan puteri lebih aktif dalam aktiviti ekonomi kerana ia mampu menjana pendapatan diri dan keluarga.

Isu alam sekitar jadi agenda utama

Oleh: Suriati Ali

 Isu kesedaran alam sekitar dan keperluan melindunginya menjadi agenda penting dalam pentadbiran kerajaan, terutama dalam membuat keputusan yang membabitkan pembangunan.

 Langkah itu cukup penting bagi memastikan keharmonian pelaksanaan setiap projek supaya alam sekitar tidak terjejas atau tidak akan mendatangkan masalah kepada persekitaran dan kesihatan masyarakat setempat.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pertimbangan seumpama itu cukup penting memandangkan kini bilangan penduduk semakin bertambah, kekurangan kawasan projek perumahan dan industri.

Katanya, keadaan itu pasti menjadi semakin mencabar di masa depan dan jika tidak dapat dielakkan, secara tidak langsung boleh mencetuskan pertembungan antara keperluan pembangungan dan penjagaan alam sekitar.

. “Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan usaha sama pelbagai pihak yang pasti dapat membantu mencapai kesejahteraan dan pembangunan seimbang.

 “Saya percaya bahawa kesedaran mengenai alam sekitar akan lebih berkesan jika dipupuk dari seawal usia,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Alam Sekitar (`Eco Care’), di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman, semalam.

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Eco Care.

Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu kerajaan negeri akan memastikan pembangunan di negeri ini terutama di kawasan perindustrian , bebas daripada sebarang pencemaran.

“Pihak kami bersedia menerima sebarang maklumat dan akan segera bertindak sekiranya mendapat tahu mana-mana pihak terbabit dengan isu pencemaran.

“Pada masa sama, berharap agar Eco Care dapat memainkan peranan utama dalam memberi kesedaran pemeliharaan alam sekitar, selain menerap nilai-nilai tidak suka pada pesekitaran kotor di kalangan pelajar,” katanya.

 

Bazlan tinjau perparitan di kawasanya.

Tinjau..Bazlan (depan) meninjau sebuah kawasan sawah padi.
Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar ehsan: Mazlan Mustaffa (Pejabat Dun Batu Rakit).

BATU RAKIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman mengambil masa kira-kira dua jam meninjau perparitan dan saliran beberapa kampung di kawasannya, petang semalam.

Cakna..Bazlan mahu kerjasama PDKT.
Antara kampung yang dilawati beliau bersama Penghulu Mukim dan beberapa penduduk itu ialah di sekitar Kampung Pengkalan Atap, Kampung Kubur Timah, Kampung Hilir Darat, Kampung Terap Pecah Rotan dan Kampung Darat.

"Dengan kerjasama yang diberikan oleh Pejabat Daerah Kuala Terengganu (PDKT), saya berharap agar setiap permasaalahan yang berlaku bila tiba musim hujan akan dapat diatasi dengan berkesan," katanya.

Limpah..seorang penduduk menerangkan sesuatu kepada penghulu mukim.
Dalam pada itu, Bazlan mengingatkan semua penduduk mengambil langkah berhati-hati sepanjang musim tengkujuh ini dan memantau setiap pergerakan anak-anak kecil mereka supaya tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.


20 November 2013

Sultan Terengganu berkenan merasmikan Eco Care

Oleh: Suriati Ali



 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Pusat Pendidikan Alam Sekitar (`Eco Care’), di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman hari ini.



Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

 Keberangkatan baginda berdua disambut Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Zubir Embong.



Hadir sama , Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato' Ahmad Razif Abd Rahman; Naib Presiden Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Petronas, Puan Raiha Azni Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemical Group Berhad (PCG), Dr Abd Hapiz Abdullah.

 Eco Care merupakan pusat pendidikan dan infomasi pertama di pantai timur yang memberi pengetahuan mengenai penjagaan alam sekitar serta pemuliharaan kawasan paya bakau di sepanjang Sungai Kerteh, Kemaman.

Pusat yang dibiayai sepenuhnya PCG dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) itu dijangka mampu menjadi sebuah pusat pendidikan bersepadu yang menumpukan kepada pelaksanaan program pendidikan dan kurikulum alam sekitar.

 






Sultan Mizan menitahkan supaya khazanah hutan terus dipulihara

 Oleh: Suriati Ali

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya khazanah hutan di Terengganu terus dipulihara supaya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh generasi akan datang.

 Titah baginda, inisiatif penanaman semula pokok bakau di kawasan tertentu, termasuk kawasan paya bakau Kerteh sudah tentu dapat membantu kerajaan mengekalkan hutan bakau secara kekal.

 “Program-program yang dapat meningkatkan penglibatkan masyarakat umum terutama pelajar universiti dengan secara sukarela memulihara hutan itu sewajar dirangka dengan kadar segera.

 “Hutan bakau merupakan satu ekosistem unik yang menjadi habitat kepada pelbagai spesis flora, fauna daratan dan hidupan marin,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam pesembahan ucapan sempena Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Alam Sekitar (Eco Care) di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman, hari ini.



 Sultan Terengganu turut bertitah sikap manusia yang sering mengganggu keseimbangan ekologi secara keterlaluan, antara faktor berlakunya bencana alam.

 “Tindakan yang dilakukan semata-mata berdasarkan kepentingan komersial, mahu untung lebih boleh mencetuskan pelbagai ketidakseimbangan ekologi.

“Akhirnya, negara dan rakyat menjadi mangsa pecemaran alam dan kesihatan juga boleh terjejas. Jika perkara itu berlaku, terpaksa pula membayar harga perubatan di mana hospital mahu pun klinik,” titah baginda.

Titah baginda, beta berharap agar agensi tertentu seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut bersama-sama memberi sumbangan dan komitmen dalam perkara itu.

“Beta yakin usaha menanam semula dan memulihara tumbahan ini merupakan pendekatan mitigasi yang proaktif dan perlu diberi keutamaan kepada semua pihak.

“Di samping itu, beta juga ingin menyarakan agar kesedaran awam mengenai fungsi hutan bakau dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa,” titah baginda.


 









Paras air Sungai Chalok mula meningkat.

Meningkat..Paras air Sungai Chalok jam 3.30 petang tadi

Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Hujan sejak semalam sehingga hari ini menyebabkan beberapa sungai utama di Setiu mulai naik tetapi belum kepada tahap membimbangkan yang boleh menyebabkan banjir.

Tinjauan Teganukita mendapat antara sungai yang mula naik paras airnya ialah Sungai Setiu, Sungai Guntung, dan Sungai Calok dan beberapa sungai kecil yang lain.

Sungai Chalok yang sebelum ini mudah menyebabkan banjir tetapi sejak ia diperdalamkan dan pembinaan jalan baru sepanjang pekan Calok Kedai, paras air masih belum ke paras bahaya walaupun hujan sejak semalam.

Seorang penguna jalanraya, Amir Mohd Zin, 25, berkata sejak siapnya jalan baru di Pekan Chalok Kedai, dia tidak bimbang lagi tersekat banjir kerana kawasan itu sudah ditinggikan.

“Dulu, kawasan berhampiran SMK Chalok sering berlaku banjir dan air melimpahi jalan setiap kali musim tengkujuh tetapi sejak jalan baru ini di buka dua tahun lalu, keadaanya sudah berubah,” katanya.

Tinggi..jambatan baru di Chalok Kedai.
Selain itu, katanya, usaha kerajaan mendalamkan dan melebarkan Sungai Calok juga menyebabkan beberapa kawasan rendah sekitar Calok ini tidak lagi sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat berterusan. Sementara itu,

Ahli Dewan Undangan (Adun) Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor menasihati penduduk yang sering terlibat dengan banjir supaya membuat persediaan lebih awal dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah.
Jalan di Chalok Kedai yang dinaiktaraf.

 

PAMERAN HAIWAN BERBISA MENDAPAT SAMBUTAN PENGUNJUNG

Oleh: Ruslan AR 

Pameran Haiwan Berbisa 2013 yang bermula 18 November di Muzium Negeri Terengganu telah mendapat sambutan yang baik dari para pengunjung dengan kehadiran hampir setiap masa pameran.
  Beberapa spesis ular seperti tedung, kapak, sawa, orok-orok telah dipamerkan selain kala jengking, ikan yang bersengat, obor-obor dan sebagainya yang dikatogerikan sebagai berbisa.
 Apa yang paling menarik minat ialah pertunjukan bermain dengan ular yang juga turut diadakan untuk ditonton secara dekat oleh para pengunjung.
 Bayaran masuk dikenakan RM5 kepada orang dewasa dan RM2 kepada kanak-kanak.
 Pameran dijangka berakhir pada 31 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Negeri, YB Ghazali Taib sewaktu merasmikannya berkata, pengelolaan pameran begini mampu memenuhi cita rasa masyarakat umum.
 Beliau berharap orang ramai dari dalam dan luar Terengganu, terutama sempena cuti sekolah dapat mengunjungi pameran yang sungguh unik itu.
 Menurut Pengarah Muzium, Haji Mohd Yusof Abdullah pameran ini merupakan kesinambungan kepada  Pameran Haiwan Berbisa yang pernah diadakan oleh Muzium Negeri Terengganu dalam tahun 2010.  Pameran yang lalu itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelawat yang terdiri daripada pelawat dalam dan luar negeri di mana hampir 100 ribu pelawat telah mengunjunginya dan beliau berharap sambutan yang sama atau lebih lagi pada kali ini.
 Katanya sejajar dengan pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013 oleh kerajaan negeri, Muzium Negeri Terengganu sebagai salah satu tempat tumpuan pelancong, turut mengambil bahagian dalam usaha menarik pelancong ke negeri ini dengan menyediakan beberapa produk yang menarik kepada mereka.
  Oleh itu katanya, pameran Haiwan Berbisa ini yang diadakan dalam musim cuti akhir penggal persekolahan untuk memberi peluang seluruh keluarga melawat pameran ini.