Halaman

14 May 2014

YB BN perihatin nasib keluarga mati lemas.

PERIHATIN…Ahli Parlimen Setiu, Mohd Zulkifly Jusoh bersama isterinya (tudung kuning)sedang mendengar cerita daripada seorang ibu yang baru kehilangan anak yang meninggal dunia akibat lemas di Pantai Bari, Penarik, Setiu, baru-baru ini.

Perihatin dengan nasib yang menimpa Faridah Mohd Nor, 42, Zulkifly hadir ke rumah surirumah itu di Kampung Bahagia, Bintang, kelmarin bersama isterinya untuk memberi semangat dan perangsang kepada Faridah dan keluarga supaya tabah menghadapi dugaan dari Allah.

Isteri YB tenangkan Faridah
Dalam kunjungan itu juga, Zulkifly memberi sumbangan peribadi sejumlah wang bagi meringankan beban keluarga itu untuk mengadakan tahlil arwah.

Khamis lepas seorang pemuda, Iskandar Yusof, 22 ditemui lemas di celah batu di Pantai Bari, Penarik ketika mandi di pantai itu bersama beberapa orang rakannya.- Aminudin Ismail.

 

13 May 2014

MENTERI BESAR BARU MASUK PEJABAT ESOK 14 MEI


Menteri Besar, Dato' Hj Ahmad Razif Abd Rahman akan memasuki pejabat dan memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar di pejabat lamanya di tingkat enam, Wisma Darul Iman esok 14 Mei.

Memberitahu Unit Komunikasi Negeri, beliau menyatakan lebih kurang jam 7.45 pagi  esok beliau akan ketik kad perakam waktu kehadiran.

Beliau dijangka menemui wartawan dan mengadakan sidang akhbar selepas memasuki pejabat.
Oleh: Ruslan AR

BN Kekal Memerintah: Roslee Daud kembali BN- Mohd Jidin.

Oleh: Aminudin Ismail. 

KEMELUT politik Terengganu yang menjadi bualan hangat seluruh Malaysia hari ini hampir pasti mencapai kemuncaknya apabila difahamkan BN akan terus kekal memerintah Terengganu untuk sehingga akhir penggal ini.

Kenyataan ini diperkuatkan lagi apabila, Teganukita menghubungi seorang pemimpin kanan UMNO Terengganu yang juga ADUN Permaisuri, Dato' Mohd Jidin Shafee yang mengesahkan bahawa Adun Bukit Besi Roslee Daud menarik balik surat perletakan keluar UMNO.

"Petang tadi (13hb Mei) Roslee ada beritahu tahu saya beliau akan menarik balik (Surat perletakan sebagai ahli UMNO), kini hanya tinggal dua sahaja yang masih menjadi ahli bebas iaitu Kijal dan Ajil.

"BN tetap kekal (mentadbir Terengganu)...hampir selesai dah kepada asal, sikit-sikit lagi je...merajuk manja (sikit-sikit)," kata Mohd Jidin yang memberi keyakinan bahawa pemerintahan BN Terengganu akan kembali kepada asal.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman difahamkan akan membuat sidang akhbar pertamanya di Wisma Darul Iman, esok. (14Mei)

Sehingga kini, dua Wakil Rakyat BN menyertai bebas menjadikan ADUN BN 15, PAS 14, PKR 1.

Kini beberapa Wakil Rakyat BN Terengganu berada di Kuala Lumpur untuk bertemu Perdana Menteri esok.

 

Petronas anjur kem UPSR

Seramai 444 murid Tahun Enam dari 18 sekolah di enam negeri menyertai Kem Motivasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) anjuran Petronas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini sejak Jumaat lepas.

Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata program empat hari itu membabitkan murid-murid dari Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Melaka dan Johor.

Beliau berkata program itu dijalankan di bawah Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) bagi membantu meningkatkan mutu pendidikan para pelajar yang tinggal di kawasan operasi Petronas.

"Ini merupakan satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas dan murid yang dipilih datangnya dari keluarga kurang bernasib baik serta dikategorikan sebagai pelajar 'harapan lulus'," katanya pada sidang media selepas menutup Kem Motivasi itu, kelmarin.

 Melalui program itu, murid-murid dilatih dan dibimbing mengenai teknik menjawab soalan oleh perunding khas.

 PSIP merupakan program sepanjang tahun anjuran Petronas sejak 2002 yang melibatkan 3,000 pelajar setiap tahun bagi memfokuskan kepada tiga subjek utama iaitu Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

 

Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman disambut meriah sebaik tiba di rumahnya di Seberang Takir, Kuala Terengganu selepas majlis angkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Dato' Ahmad Razif mencium tangan ayahandanya sebaik tiba di rumahnya di Seberang Takir selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.





12 May 2014

MB TERENGGANU BERTUKAR

KUALA TERENGGANU 12 Mei - Dato' Seri Haji Ahmad Said hari ini dilaporkan  meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. 

Dato' Seri Haji Ahmad Said dipercayai menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan Terengganu hari ini, sementara penggantinya dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu malam ini. 

Tengku Adnan yang mengesahkan mengenai perletakan jawatan Ahmad Said itu berkata, beliau berada di negeri itu untuk mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Dewan Undangan (ADUN) Negeri Terengganu berhubung perkara tersebut.

 "Memang Ahmad Said meletak jawatan. Beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua ADUN akur dengan keputusan Presiden parti," katanya di sini hari ini

Sertai Pertandingan Azan dan Iqamah Dun Langkap.

Oleh: Aminudin Ismail. 

ORANG ramai yang boleh mengalunkan azan dan iqamah dengan baik dipelawa untuk menyertai Pertandingan Azan Dan Iqamah Tertutup DUN Langkap yang akan diadakan selama hari iaitu 26 dan 27hb Mei ini.

Jurucakap penganjur berkata, pertandingan anjuran Pejabat Dun Langkap dan Permai Café & Group itu akan diadakan di perkarangan pejabat Dun itu iaitu berhadapan Masjid Sungai Tong.

“Pertandingan dibahagikan kepada empat kategori iaitu tujuh hingga Sembilan tahun, 10 hingga 12 tahun, 13 tahun hingga 15 dan kategori dewasa 17 tahun ke atas,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan itu boleh dapatkan borang penyertaan di pejabat Dun Langkap di Pekan Sungai Tong dan Permai Café di Bandar Permaisuri atau hubungi 0148022713.(En.Roma).

 

UMNO KE ARAH TRANSFORMASI PEMIKIRAN BARU DAN KEKALKAN KELUHURAN PERJUANGAN- KATA YB A.LATIFF AWANG, KETUA BAHAGIAN MARANG


Umno memerlukan transformasi pemikiran baru, semua ahli hendaklah berfikiran positif bagi memperkasakan Umno, terutama bagi menawan pemikiran generasi Y, kata Ketua Umno Bahagian Marang, YB A.Latiff Awang.

Katanya, transformasi Umno seharusnya merangkumi  transformasi minda, gaya dan bentuk pengurusan yang cekap dan transformasi  kea rah mendapat sokongan rakyat dan rakan strategik.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Ulangtahun ke 68 Umno.

“Umno perlu membina dan memperkasakan perjuangan dan membentuk keyakinan rakan-rakan strategik  parti dan rakyat keseluruhan,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar kepimpinan Umno di semua peringkat  meletakkan KPI dalam setiap tindakan dan Umno tidak boleh berfikiran jumud, melainkan perlu perubahan paradigma dalam cara berfikir, yakni di luar kotak kebiasaan, di samping pemimpin dan ahli yang berhati luhur.

YB A.Latiff yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi portfolio berkaitan transformasi kerajaan,  komunikasi dan multi media negeri  berkata, Umno mesti menjiwai rakyat, orang Melayu khususnya dan para pemimpin di semua peringkat perlu turun padang sentiasa bersama rakyat sama ada di kampung mahupun di bandar.

“Umno perlu terus relevan dan konsisten dalam perjuangan membela nasib bangsa Melayu dan Umno  mesti melakukan transformasi yang berkesan, stail pengurusan parti  yang lebih cekap dan berinovasi di semua peringkat pusat, negeri, bahagian, Dewan Undangan Negeri dan cawangan-cawangan” ujarnya lagi.

Beliau berharap program-program parti yang dianjurkan dengan gerak kerja yang berkesan dan menarik hati pengundi-pengundi dengan membentuk imej dan identiti yang mulia dan cemerlang.




11 May 2014

Penyiar tiga negara susuri Tasik Kenyir.

SUSURI...sebahagian daripada penyiar dari tiga buah negara mengambil peluang menyusuri Tasik Kenyir dan melawat beberapa tempat menarik sekitar tasik itu, selepas menjayakan Program Budaya Tiga Serumpun yang diadakan di Pengkalan Gawi, Kenyir, semalam.

Antara aktiviti yang diadakan semalam ialah rakaman berbalas pantun untuk program hari raya, tarian kebudayaan, persembahan 'strompers' dari pelajar Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan beberapa aktiviti lain.

Program itu dirasmikan oleh Dato' Jailani Johari, Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Multimedia. 

Beberapa penyiar luar yang ditemui tertarik dengan keindahan Tasik Kenyir dan gembira kerana dapat mengunjungi tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara itu.

Rombongan seramai 13 penyiar dari Indonesia dan Brunei akan pulang 13haribulan selepas lima hari berada di Terengganu- Aminudin Ismail.

Bergambar kenangan selesai rakaman program.

Acara berbalas pantun di Pengkalan Gawi.

Penambahbaikan demi kejayaan parti : Din Adam

Oleh: Aida Abd Rahman

"Perteguhkan roh perjuangan parti di semua peringkat seluruh Terengganu kerana masih belum terlambat untuk melakukan penambaikan dalam parti demi kejayaan pada pilihan raya akan datang. "

Demikian ulasan Ketua Bahagian Umno Dungun, Datuk Din Adam kepada Teganukita sempena ulang tahun Umno ke-68, hari ini.

"Kita semua harus bersedia melakukan pembaharuan, memuhasabah diri dan melakukan penambahbaikan bagi memastikan Umno lebih kuat dan padu di mana hasilnya dapat dilihat pada pilihan raya akan datang.

"Biar parti yang menjadi tunjang bangsa Melayu ini terus kukuh dan subur di kalangan bangsa dan agama kita, malah ia juga menjadi sumber kekuatan bagi mendepani cabaran masa depan yang lebih terarah dan gemilang. Pada masa yang sama kita tidak meminggirkan bangsa lain dalam rumpun kemajmukan kaum di negara kita,” katanya.

Beliau menyifatkan Umno satu parti keramat yang perlu bersifat lebih terbuka, demokratik dan mendengar suara akar umbi supaya usaha memperkasakan parti mampu direalisasikan tanpa meminggirkan mana-mana pihak dalam setiap gagasan dan perancangan.

Katanya, setiap kepimpinan dan juga ahli Umno harus memiliki jati diri dan matlamat yang jelas dalam perjuangan masing-masing demi memartabatkan parti.

“Umno akan terus kekal relevan dan sentiasa memenuhi aspirasi rakyat sepanjang zaman. Parti sejagat ini sudah terbukti melakukan banyak transformasi di peringkat Pusat sejajar dengan peredaran semasa demi menjaga kepentingan rakyat khususnya kaum Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Din berkata, kesepakatan dan penyatuan amat penting di semua aspek dan peringkat demi melihat gerakan perjuangan parti itu terus memberi refleksi yang cemerlang dan unggul kepada kehidupan dan pembangunan umat dan juga bangsa.