Halaman

20 July 2011

Belia perlu manfaat kelebihan alam semulajadi setempat

Oleh: Aida Abd Rahman

Golongan belia seharusnya memanfaatkan alam semulajadi dan bentuk muka bumi di kawasan masing-masing supaya dapat menyemarakkan aktiviti yang mampu membina kesihatan fizikal dan minda golongan itu.

Pengerusi Persatuan Belia Fajar Menyingsing (Beladau Kepong), Mohd Afendi Abdullah, 23, berkata kelebihan geografi kampungnya yang terletak di tepi sungai memberi kelebihan untuknya serta kepimpinan setempat merangka pelbagai program berfaedah yang dapat memberi faedah kepada penduduk termasuk golongan muda.

Terbaru, persatuannya dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Beladau Kepong beragnding bahu menganjurkan Program Berakit `Sungaiku, Hidupku’ sepanjang lapan kilometer bermula dari Sungai Kampung Tiruk dan berakhir di Sungai Kampung Baladau Kepong, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Katanya, program berakit yang bakal menjadi acara tahunan dan program tradisi masyarakat itu bukan sahaja memupuk budaya mencintai sungai dan memulihara daripada pencemaran, malah turut merapatkan hubungan antara peserta serta penduduk kampung yang terlibat.

Program julung kali itu berjaya menarik penyertaan 30 rakit melibatkan 310 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat yang bersaing untuk merebut hadiah bagi kategori Rakit Berhias dan Rakit Laju.

Johan bagi Kategori Rakit Laju dimenangi Pasukan Citra Sari (Beladau Kepong), tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Pemuda Beladau Kepong dan JKKK Kampung Banggol Cempedak. Hadiah kepada pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, YB Haji Alias Abdullah.

Sementara tempat pertama bagi kategori Rakit Berhias dimenangi JKKK Beladau Selat, manakala tempat kedua, JKKK Banggol Kemang dan ketiga Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu DUN Alor Limbat.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Trivecosta Negeri, Dato’ Wan Zahari Wan Ngah. Pemenang bagi kedua-dua kategori mendapat RM500 (tempat pertama), diikuti RM400 dan RM300 masing-masing bagi tempat kedua serta ketiga.




19 July 2011

YPKT lahir 8,928 graduan jahitan

Oleh: Esah Abdullah



Seramai 8,928 graduan dalam industri jahitan berjaya dilahirkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dalam tempoh 11 tahun (2005-2011).

Pengarah YPKT , Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa bekata, sehingga ini terdapat 32 Kelas Jahitan Komuniti (KJK) di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri dan tujuh Akademik Jahitan Daerah (AJD).

“Kerajaan telah membelanjakan RM700,000 setahun untuk kos pengurusan KJK dan AJD yang diadakan dua sesi dalam setahun,” katanya di majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Pelatih Jahitan Sesi 1/2011 YPKT di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai petang ini.



Penyampaian Sijil Tamat Latihan telah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut , YB Haji Nawi Mohamad.

Encik Shafaruddin berkata, KJK dan AJD memberi peluang kepada semua golongan suri rumah, ibu tunggal dan belia lepasan sekolah untuk memdapat kemahiran dalam bidang jahitan.

“Walau pun jumlah yang dikeluarkan kerajaan agak tinggi namun kesungguhan yang ditunjukkan oleh peserta kursus menggunakan kemahiran jahitan berjaya meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.



Selain itu beliau melahirkan keyakinan, mereka yang berpeluang mengikuti latihan di YPKT bukan sekadar mendapatkan sijil semata-mata tetapi secara ikhlas untuk mendapatkan ilmu untuk membina kerjaya masa depan.

Katanya, YPKT turut menawarkan pinjaman kepada pelatih untuk memulakan kerjaya dalam bidang jahitan dan setakat ini 64 orang telah membuat pinjaman berjumlah RM224,000.



“Kita tahu mereka tentu tidak mampu untuk menyediakan peralatan jahitan dan pihak YPKT sentiasa menawarkan pelbagai khidmat nasihat serta pinjaman kewangan kepada mereka,” katanya.




Sasar peningkatan purata hari penginapan pelancong sempena TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri mensasarkan enam hari dan 5.5 hari sebagai purata hari penginapan pelancong asing dan domestik ke negeri ini bagi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 berbanding 4.8 hari dan 3.4 hari yang direkodkan pada TMT 2008.

Sasaran itu sejajar dengan hasrat untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negeri sebanyak 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada penghujung 2013.

Peningkatan purata hari penginapan (2013) itu juga dijjangka mendorong kepada peningkatan jumlah perbelanjaan pelancong asing kepada RM500 dan pelancong tempatan kepada RM350 seorang, berbanding RM330 (pelancong asing) dan RM200 (pelancong tempatan) pada 2009.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata, kerajaan negeri mengisyhtiharkan 2013 sebagai TMT dengan mensasarkan peningkatan pelancong sebanyak 20 peratus.

Pada program TMT 2008 sebanyak tiga juta pelancong direkodkan berkunjung ke seluruh Terengganu.

"Kita akan mempertingkatkan lagi usaha untuk menambah kedatangan pelancong dan menambah kadar purata hari penginapan pelancong ke negeri ini.

“Peningkatan purata hari penginapan pelancong asing dan domestik pada TMT 2013 pastinya mendorong kepada memacu ekonomi negeri,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan terus memperkasakan produk pelancongan sedia ada di samping memberi nilai tambah semua tempat peranginan yang ada.

Datuk Abdul Rahin berkata, Tasik Kenyir di Hulu Terengganu yang mempunyai 10 buah pulau kecil yang dibangunkan sebagai destinasi tarikan pelancongan akan menjadi faktor utama pelancong untuk mengunjungi Terengganu.

Pada masa yang sama, Gunung Berembun dan Air Terjun Chemerong, Dungun juga akan dijadikan sebagai antara produk pelancongan berikutan kekayaan warisan alam semulajadinya yang masih kekal, selain menjadi air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara.



Rangka program sasar pengeluaran ikan dua tan metrik setahun

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu memberi perhatian khusus terhadap pembangunan akuakultur bagi merealisasikan objektif sasaran pengeluaran ikan negara kepada dua juta tan metrik setahun.

Sasaran itu termasuklah mengekalkan sumbangan perikanan laut pantai sebanyak 900,000 tan metrik, akualkultur sebanyak 600,000 tan metrik dan laut dalam 500,000 tan metrik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha'ari Idris,berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan merangka beberapa program bagi memajukan sektor itu dan mencapai hasrat yang digariskan.

Antara program yang dirangka termasuk khidmat pengembangan teknologi akuakultur, pembangunan industri perikanan kepada nelayan dan galakan pemindahan teknologi.

"Langkah itu diambil bertujuan untuk menjadikan penternak dan usahawan akuakultur mendapat pendapatan minimum bersih RM3,000 sebulan.

"Selain itu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) membelanjakan sebanyak RM1.4 juta dalam bidang akuakultur sejak tahun 2006 hingga 2011 dan antara projek yang dijalankan termasuk pembenihan ikan marin dan penetasan dan asuhan ikan," katanya pada majlis perasmian Seminar Pementapan Akuakultur Pertubuhan Peladang 2011, di Setiu, semalam.

YB Haji Asha'ari berkata, seramai 1,592 orang terlibat dengan industri akuakultur yang melibatkan hampir 10,000 sangkar ikan dan udang di seluruh Terengganu.

Katanya, daripada jumlah itu, Besut dan Setiu merupakan daerah yang mempunyai paling ramai golongan penternak yang terlibat dengan industri itu.



Transformasi Mazuki berbaloi

Oleh: Aida Abd Rahman

Jika tidak menjadi pemain bola sepak profesional, pemuda tinggi lampai yang cukup dikenali umum ini mungkin sedang berkhidmat sebagai pegawai polis berikutan minat yang mendalam terhadap perkhidmatan awam itu ketika di bangku sekolah lagi.

Cita-cita untuk berkhidmat dalam bidang itu juga menyebabkan Mohd Mazuki Yusof, 30, bersama seorang rakan meneruskan pelajaran ke Tingkatan Enam Bawah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu sejurus menamatkan pelajaran di SMK Chendering pada 1994.

Bagaimanapun, impian menyarung pakaian seragam itu tidak menjadi realiti dek peluang yang ibarat `bulan jatuh ke riba’ yang menawarkan beliau untuk menyertai skuad bola sepak negara dalam kejohanan Piala Milo Bawah 18 tahun setahun kemudian.
Hasrat bergelar Inspektor polis juga terpaksa dilupakan, biarpun rakan baiknya sudahpun mengesahkan jawatan dalam profesional perkhidmatan awam itu sejurus menamatkan pelajaran di Tingkatan Enam Atas.
Keputusan yang dibuat pemuda berasal dari Kampung Aur Chendering 15 tahun dulu itu tidak sia-sia, malah beliau yang dilantik sebagai Kapten Terengganu sejak 2007 itu kini berada di landasan sebenar sebagai pemain bola sepak profesional.
Pernah berkelana ke Melaka bagi mewakili skuad Telekom Melaka sepanjang 2005 hingga 2006, namun dua tahun berhijrah bagi melebarkan sayap dalam bidang itu memberi pengalaman berbeza buatnya.

Namun, bapa kepada sepasang cahaya mata comel Mohamad Muhaimin dan Qaseh Mia Areesya, itu memutuskan untuk berbakti kepada negeri kelahiran sendiri kerana banyak kelebihan, apatah lagi keluarga tersayang berada di depan mata.

“Bukan saya tidak mahu mencuba nasib lebih lama di tempat orang, tetapi apabila di kampung halaman sendiri dengan keluarga tersayang berada bersama menyebabkan saya lebih fokus dan komitmen terhadap sukan ini lebih bermutu dan mantap,” kata pemuda yang melayari bahtera rumahtangga bersama suri pilihan, Shahida Emilia Muhamad, 30, sejak 2004 itu.

Selain isteri dan anak-anak yang memahami tugasannya yang mengemudi skuad bola sepak, Mazuki juga turut mengagumi dua individu yang menjadi watak penting menjadikanya sebagaimana hari ini.

Arwah bapanya, Yusof Mamat, sepanjang hayatnya sehingga saat-saat akhir sebelum meninggal dunia kira-kira enam bulan lalu akibat penyakit jantung, bersama-sama dengan ibunya, Wook Taib, sering memberi perangsang tanpa jemu.

Malah, setiap kali perlawanan secara langsung bersiaran melalui kaca televisyen, ibu dan juga arwah bapanya berubah menjadi cemas dan tidak mampu menonton aksi anak kelima daripada sembilan beradik itu.

“Mak dan arwah ayah memang jadi hilang arah. Dia selalu mendoakan yang terbaik dan bimbang kejadian buruk menimpa saya, sebab itu mereka tidak boleh menonton sebarang perlawanan bola sepak yang melibatkan saya. Malah, mereka juga tidak sanggup pasukan Terengganu kalah,” kata pemuda yang lahir 3 Januari 1981 itu lagi.

Dari sisi lainnya, mazuki kini menyimpan hasrat untuk terus menyumbang tenaga bersama skuad Terengganu selagi khidmatnya diperlukan serta kudratnya masih mampu memberi kelebihan untuk pasukan Peteh yang kini di bawah kendalian Irfan bakti abu Salim.

Hasil adunan pengurusan pasukan yang sistematik dan pemain yang member komitmen padu, Terengganu Berjaya menempatkan diri antara pasukan terbaik dalam Liga Malaysia.
Malah, 11 Jun juga menjadi detik paling manis dalam karier bola sepaknya, apabila membawa pulang Piala FA hasil kemenangan menentang negeri tetangga, Kelantan dalam perlawanan yang penuh dramatik.

“Melihat sokongan peminat, laungan mereka yang menambahkan semangat saya dan anak buah untuk terus mengasak kubu lawan. Alhamdulillah, rezeki menyebelahi Terengganu dan tiada siapa berhak menafikan kejayaan itu,” katanya sambil tersenyum puas.

Beraksi di posisi pertahanan, Mazuki kini mengimpikan koleksi kemenangan selaku juara Liga Malaysia pula, selepas menjuarai Piala FA dan Piala Malaysia pada 2001 ketika bersama skuad Terengganu.

“ Walaupun sasaran itu kelihatan sukar digapai, saya tetap optimis kerana dalam sukan bola sepak, apa sahaja boleh berlaku, asalkan semua rakan sepasukan gigih mahu memburu kejayaan dalam setiap perlawanan sehingga ke tiupan wisel yang terakhir,” katanya.



Sekolah Orang Asli sertai Smart English

Oleh; Esah Abdullah

Dua buah sekolah Orang Asli dan sekolah di pulau adalah antara yang diberi peluang menyertai pertandingan Smart English dan Speech Choir bagi merebut Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDRSM) tahun ini.

Program Smart English bagi murid sekolah rendah dan Speech Choir bagi pelajar sekolah menengah bertujuan merangsang minat mereka agar berusaha meningkatkan kemahiran dan kecekapan berbahasa Inggeris serta menggunakannya dengan tepat dan berkeyakinan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDRSM, Dato’ Prof Emiritus Dr Abdul Rahman Embong berkata, penyertaan tahun ini diperluaskan mencakupi semua sekolah termasuk sekolah di pulau, sekolah Orang Asli selain sekolah elit dan sekolah harian.

“Keupayaan menguasai Bahasa Inggeris (BI) baik lisan mahupun tulisan akan membantu mereka untuk melangkah ke tahap lebih tinggi samaada di dalam atau di luar negara,” katanya di majlis penutup Program Pengukuhan BI Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan Sekolah-Sekolah Terengganu 2011 di Universiti Malaysia Terengganu semalam.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Hadir sama, Tengku Seri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baderulzaman; Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang.

Katanya, program ini bukan setakat terbuka kepada pelajar yang baik pencapaian dalam BI sebaliknya pelajar yang sederhana dan rendah pencapaiannya turut diberi peluang.

“Yayasan percaya perhatian khusus kepada pelajar sederhana dan rendah pencapaiannya dalam BI dapat menyuntik minat dan semangat lebih mendalam serta menyemarakkan gelombang belajar ke semua sekolah termasuk pendalaman,” katanya.

Menurutnya, program usahasama YDRSM dan Jabatan Pelajaran Terengganu serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi rakan dengan menyediakan kemudahan dalam kampus UMT sebagai tempat pertandingan akhir dan majlis penutup.

“Program yang mula diperkenalkan tahun lalu ini telah mendapat perhatian banyak pihak termasuk dari luar negara dan kehadiran pemimpin, pegawai, guru dan pelajar dari Maros, Sulawesi Selatan, Indonesia hari ini amat dialu-alukan,” katanya.




18 July 2011

SMK Sultan Mahmud 2 johan Speech Choir Kumpulan

Oleh: Esah Abdullah



Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenaan berangkat ke majlis penutup dan pengurniaan hadiah Program Pengukuhan Bahasa Inggeris Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan Sekolah-sekolah Terengganu 2011 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.



Turut hadir Tengku Seri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baderulzaman; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Dato’ Prof Emiritus Dr. Abdul Rahman Embong.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mahmud 2, Besut muncul johan kategori Speech Choir Kumpulan Aspirasi sekaligus membawa pulang piala, wang tunai, sijil penghargaan dan medal.



Manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Kapas, Kuala Terengganu johan bagi kategori Smart English turut menerima piala, wang tunai, sijil dan medal.

Baginda Yang di-Pertuan Agong kemudiannya berkenaan mengurniakan hadiah kepada pemenang-pemenang dalam pertandingan berkenaan.




UMNO Mempunyai Matlamat Perjuangan Yang Jelas

Oleh: Harun Hassan



Jenama yang baik mempunyai makna dan maksud yang jelas, apabila kita menyebut Alif-Min-Nun-Wau ianya menghasilkan perkataan yang membawa maksud BERIMAN. Perkataan ini mempunyai makna atau erti yang jelas.

Maka, dengan berpandukan tujuan ini kita akan mengatur langkah dan haluan yang betul dan tepat untuk menuju kepada matlamat hidup kita. Kemanisan perjuangan untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara akan terasa di hati dan tiada lagi keraguan untuk bertindak.

Apa yang penting ialah kita perbaiki diri dari hari ke hari dengan menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dilarang oleh agama.

Beriman adalah merupakan matlamat yang perlu ada bagi setiap insan yang hidup di atas muka bumi ini.

Semua manusia yang dilahirkan mempunyai tujuan hidup yang jelas di atas muka bumi ini. Orang-orang yang berjaya, kesemuanya sudah berjaya mencari tujuan hidup yang sebenar. Mereka mengambil masa dalam mengkaji aspek sebenar kehidupan mereka dan mereka usahakan segala tujuan hidup mereka.

UMNO adalah merupakah wadah perjuangan yang jelas di mana kita boleh memberikan sumbangan dan sokongan yang berterusan tanpa sebarang keraguan ke atas segala usaha murni yang dijalankan.

Kehidupan Ini.

Hidup ini, jika tidak disertakan dengan tujuan yang jelas, segala tindak tanduk kita akan terjejas dan mungkin menjadi kesilapan dalam kehidupan. Tetapi, jika anda mempunyai tujuan yang jelas, segala perkara yang dilakukan akan menuju ke arah satu tujuan iaitu kesempurnaan. Jangan sekali-kali kita biarkan hidup kita ini dijadikan alat atau hamba untuk melakukan kerosakan misalnya bertolong-tolongan untuk mewujudkan suasana tidak aman di dalam negara.

Tujuan Yang Jelas.

Islam mengajar kita tentang seni sebuah kehidupan yang disertakan tujuan yang jelas mengapa kita berada di bumi ini iaitu semata-mata untuk menjadi hamba kepada Nya.

Dia telah menggariskan panduan hidup menjadi manusia yang berjaya di dunia dan juga di akhirat kelak. Kita diibaratkan seorang yang sesat di tengah perjalanan, lalu diberikan sebuah peta untuk menunjuk arah yang perlu kita lalui untuk sampai ke sebuah destinasi yang kita impikan. Begitu juga dengan kehidupan, kita yang tidak boleh lari dari Islam itu sendiri. Allah memberikan kita panduan melalui al-Quran untuk kita fahami dan mengamalkannya agar dalam kehidupan kita di dunia ini yang membawa kita ke arah syurga-Nya yang tidak terhitung kenikmatannya.

Berpijak Di Bumi

Perjuangan Islam tidak berubah pernah berubah dari dahulu hingga sekarang dan ianya tidak akan berubah kerana desakan atau kepentingan duniawi atau kerana agenda pilihan raya.

Hidup tanpa tujuan, ibarat layang-layang yang terputus talinya. Terbang jauh di udara tetapi tidak tahu ke mana arah yang ingin disempurnakan. Percaya dan yakinilah bahawa segala yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah Nabi itu adalah benar dan petunjuk sepanjang zaman. Pelajarilah, fahamilah dan ikutilah segala yang dituliskan di dalam kitab suci al-Quran. Mudah-mudahan, Allah swt memberikan kita hidayah dan iman yang kuat untuk kita terus berjuang untuk berjalan merentasi masa yang semakin singkat ini.

Apa yang diperjuangkan oleh UMNO selama ini adalah melaksanakan apa yang dituntut oleh agama Islam. Perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan, serta memastikan kebajikan rakyat terbela dalam memajukan ummah tanpa sebarang diskriminasi terhadap kaum yang lain.

Islam meraikan tujuan di dunia.

Islam menyuruh kita agar tidak juga melupakan kebahagian kita di atas muka bumi ini. Jika anda ingin menjadi seorang doktor, pastikan tujuan anda untuk menjadi doktor itu selaras dengan al-Quran. Islam ini lengkap dan sempuran malah ia sangat mudah untuk dipraktikkan di dalam kehidupan. Tiada satu pun yang tertinggal dalam memberi panduan dalam segenap aspek kehidupan manusia. Teruskan mengejar impian anda tetapi mestilah ianya halal dari sudut Islam. Kedamaian telah dikurniakan ke dalam kehidupan maka kita hendaklah memakmurkan kehidupan ini dengan menjaganya dari berlaku kerosakan, huru-hara atau ketidakselesaan.

Kukuhkan tujuan hidup.

Pengukuhan tujuan hidup ini hendaklah dibuat secara istiqamah dalam memastikan ianya dilaksanakan semata-mata untuk mencapai kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan agama, bangsa dan negara.

Katakanlah sentiasa pada diri kita bahawa tujuan hidup kita adalah untuk menjadi orang yang beriman kerana perkataan ini benar-benar menyentuh hati apabila anda membacanya dengan hati yang tulus dan ikhlas.

Ingatlah apabila disebut sahaja perkataan UMNO, dalam bahasa Arab ianya jelas membawa maksud beriman dan orang-orang yang beriman sentiasa menghubungkan tali persaudaraan.


Program pengukuhan BI untuk pelajar

Oleh: Esah Abdullah

Program Pengukuhan Bahasa Inggeris telah berjaya memberi impak kepada pelajar dalam menambah kecintaan mereka secara menyeluruh terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, lebih signifikan lagi bila pihak Yayasan DiRaja Sultan Mizan dan Jabatan Pelajaran negeri membuat penambahbaikan secara menyeluruh bagi program kali kedua tahun ini.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan seiringan untuk menjadikan pendidikan sebagai satu pelaburan penting untuk mengoptimunkan potensi setiap warga agar dapat mencapai aspirasi negara,” katanya.

Menteri Besar berkata demikian di majlis penutup Program Pengukuhan Bahasa Inggeris Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan Sekolah-sekolah Terengganu 2011 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutup dan Pengurniaan Hadiah kepada pemenang.

Hadir sama, Tengku Seri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baderul Zaman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Dato’ Prof Emiritus Dr. Abdul Rahman Embong.

Katanya, bagi mencapai hasrat tersebut kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan RM250 juta bagi bidang pendidikan tahun ini.

“Pelbagai insentif disediakan untuk mencapai peningkatan dalam bidang pendidikan termasuk peruntukan khas bagi pencapaian peperiksaan awam, pengagihan e-book, serta mewujudkan kelas dan peperiksaan maya ,” katanya.

Selain bantuan kecemerlangan pendidikan katanya, peluang juga diberi kepada pengetua dan guru besar sekolah yang cemerlang untuk mengadakan lawatan penanda aras ke luar negara.

“Alhamdulillah, pencapaian dalam semua peperiksaan awam bagi anak Terengganu menunjukkan peningkatan yang membanggakan saban tahun dan selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan negeri anjung ilmu,” katanya.




KONVENSYEN BN TERENGGANU JUMAAT INI

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Konvensyen Barisan Nasional (BN)Terengganu akan diadakan pada 22 dan 23 Julai ini, bagi tujuan mengumpul pandangan dan idea, khususnya ke arah kecemerlangan dalam pilihan raya umum ke 13 dengan tema “BN DI HATIKU”.

Menurut sumber Biro Penerangan Umno Terengganu yang menjadi pelaksana konvensyen tersebut bersama-sama dengan parti-parti komponen (MCA, MIC dan Gerakan), Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan merasmi dan menyampaikan ucaputama pada 22 Julai di sebelah malam.

Dijangka seramai 1,200 peserta konvensyen berkenaan membabitkan ahli-ahli jawatankuasa Umno Bahagian , jawatankuasa parti komponen yang terdapat di Terengganu serta juga pihak veteran BN dan bekas-bekas wakil rakyat BN.

Tema BN DI HATIKU dipilih bagi menggambarkan betapa pentingnya BN terus diberikan mandat oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang bagi tujuan menyelamatkan negara dan membawa kesejahteraan untuk rakyat.

Ketua Penerangan Umno, YB Dato’ Ahmad Haji Maslan akan menyampaikan ucapan penutup konvensyen berkenaan pada 23 Julai, jam 4.00 petang.