Halaman

21 July 2011

Ijtima’ wanita saudara kita

Oleh: Esah Abdullah

Meningkatkan kefahaman terhadap agama suci Islam dan memantapkan bacaan al-Quran serta memperteguhkan amalan solat lima waktu antara matlamat Ijtima’ wanita (saudara kita) yang berlangsung di Merang Suria Resort, Setiu, selama dua hari bermula esok.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Wanita Terengganu, Hajah Salmah Mohd Zain berkata, antara pengisian pada Ijtima’ itu ceramah dan motivasi bertajuk ‘Kenal dan Cintai Allah serta Nabi Muhamad S.A.W.

Antara pengisian lain katanya turut diadakan kuliah agama, bacaan yasin serta solat berjemaah di bawah bimbingan pegawai daripada Yayasan Islam Terengganu (YIT).

“Seramai 40 peserta wanita Saudara Kita dari seluruh negeri telah mengesahkan penyertaan masing-masing dan bersama menjayakan Ijtima’ yang merupakan aktiviti tahunan Wanita Perkim,” katanya kepada Teganukita.

Menurut Hajah Salmah, majlis berkenaan akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat petang esok.




Insentif kemenangan, biasiswa RM2.3 juta untuk atlet Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM2.3 juta sebagai insentif dan biasiswa kepada atlet pelajar, Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 serta pemain bola sepak Terengganu berikutan pencapaian membanggakan yang dihasilkan sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM600, 000 diperuntukkan sebagai bayaran awal skim biasiswa kepada atlet pelajar di sekolah sukan termasuk Sekolah Sukan Bukit Nenas (Setiu), Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Padang Midin dan SMK Sultan Sulaiman melibatkan lebih 200 pelajar yang belum mendapat sebarang penajaan lain.



Sementara itu, kira-kira RM900,000 diagihkan sebagai insentif kemenangan Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011 , manakala peruntukan kira-kira RM800,000 sebagai hadiah kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak Terengganu berikutan kejayaan menjulang Piala FA musim ini.

“Tahniah kepada atlet Sukma Ke-14. Tahniah juga kepada pemain bola sepak kerana menjuarai Piala FA dan memenanginya dalam keadaan dramatik sekali. Begitu juga, ucapan terima kasih kepada atlet muda dan bakat baru yang masih belajar di mana kerajaan bersedia memberikan biasiswa kepada mereka bermula 1 Jun yang akan diberikan hari ini.

“Ini merupakan antara usaha-usaha kerajaan Terengganu bagi memartabatkan atlet anak Terengganu dalam bidang sukan, sebagaimana yang saya sebutkan sejak kali pertama Terengganu menjuarai Sukma (2008), Insya-Allah Terengganu menjadi kuasa baru sukan negara kita,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ketika berucap di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Malaysia Ke-14 dan Piala FA 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin Hussin.

Menteri Besar berkata, kejayaan itu juga menyebabkan ada segelintir pihak luar Terengganu mengiktiraf kehebatan dan kemajuan Terengganu dengan menyatakan hasrat supaya pelajar bukan berasal dari Terengganu memasuki sekolah di negeri ini agar turut cemerlang dalam bidang sukan.



“Justeru itu, kerajaan negeri tidak pernah lokek untuk memberi sebarang pengiktirafan kepada atlet kita yang berjaya. Hari ini kita berbangga dengan Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa dalam acara berbasikal serta seorang atlet memanah yang juga anak Terengganu kerana bakal membawa cabaran Malaysia ke Sukan Olimpik London 2012,” katanya.




Yayasan Felda komited beri kemahiran kepada anak-anak peneroka

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Yayasan Felda komited dalam usaha memberi kemahiran kepada anak-anak peneroka di seluruh negara bagi memastikan generasi baru Felda tidak tercicir daripada menjalani pelbagai kursus kemahiran.

Penasihat Khas Felda, Pejabat Perdana Menteri, Tan Sri Mohd Yusof Nor, berkata pihaknya akan membantu mengikuti pelbagai kemahiran mengikut minat masing-masing, jika mendapat maklumat anak peneroka tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pengajian sedia ada.

“Kita tidak mahu ada anak peneroka yang tertinggal daripada mendapat kemahiran daripada mana-mana institusi atau pusat latihan kerana pucuk pimpinan negara mahu mereka diberi peluang itu,” katanya.



Beliau berkata demikian pada majlis meraikan pesakit Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, tengahari ini.

Hadir sama Pengarah HSNZ Dr Tengku Ramelah Tengku Senik dan pegawai kanan hospital berkenaan.

Yayasan Felda memberi sumbangan barangan makanan dan wang tunai kepada 130 pesakit di hospital itu yang bernilai RM39,000 bagi membolehkan mereka melakukan persiapan menyambut Ramadan dan Hari Raya Puasa.



Selain itu, yayasan berkenaan turut menyumbang RM5,000 kepada Tabung Kebajikan Hospital tersebut bagi kebajikan pesakit.

Tan Sri Mohd Yusof Nor, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada misi Yayasan Felda untuk melaksanakan kerja-kerja amal dan kebajikan.



YPKT pasang CCTV di Taska

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam usaha menjaga keselamatan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bawah kelolaannya.



Pengarah YPKT, Encik Mohd Sharuddin Mustaffa berkata, setakat ini pihaknya telah memasang 16 Kamera Litar Tertutup (CCTV) di premis Taska di pusat-pusat bandar.

“Setiap premis Taska YPKT berada dalam kawasan berpagar dan sentiasa berkunci beserta pintu premis yang dipasang besi penghadang serta sentiasa berkunci,” katanya kepada Teganukita.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan agar setiap taman asuhan perlu ada pengawal keselamatan bagi menjamin keselamatan penghuninya berikutan insiden pencerobohan sebuah Taska di Selangor baru-baru ini.

Encik Mohd Shafaruddin berkata, sehingga ini YPKT mempunyai 66 buah Taska seluruh negeri dan belum bercadang untuk menggunakan khidmat Pegawai Keselamatan di setiap premis miliknya.

“Dengan apa yang telah kita lakukan seperti memasang CCTV, pasang besi penghadang setiap pintu dan tingkap serta setiap premis dilengkapi pagar, saya harap tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.

Selain itu katanya, kadar yang dikenakan terhadap ibu bapa bagi seorang anak hanya RM180 sebulan di mana kadar ini sangat rendah berbanding apa yang terdapat di pusat bandar seperti Kuala Lumpur dan sebagainya.

Namun katanya, beliau tidak mengenepikan cadangan sesetengah pihak agar ada Pengawal Keselamatan di setiap Taska di negara ini kerana keadaan dan suasana yang tidak dijangkakan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.




Hadiah iringi tiga anak Terengganu ke Olimpik 2012

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiga anak Terengganu yang berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik 2012 bakal mendapat habuan awal daripada Kerajaan Terengganu sebelum berangkat membawa cabaran negara ke kejohanan dunia itu nanti.



Selain atlet berbasikal kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa, seorang lagi anak negeri yang mengesahkan penyertaan dalam temasya itu adalah atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad .
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan berita gembira itu sempena Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Malaysia Ke-14 dan Piala FA 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin Hussin.

“Justeru itu, kerajaan negeri tidak lokek untuk memberi pengiktirafan kepada atlet kita yang berjaya. Hari ini kita berbangga dengan Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa dalam acara berbasikal serta Khairul (Khairul Anuar Mohamad) seorang atlet memanah yang juga anak Terengganu bakal membawa cabaran Malaysia ke Sukan Olimpik London 2012.

“Kita berharap mereka berlatih bersungguh-sungguh dan tahun depan sebelum mereka berangkat ke Sukan Olimpik London 2012, kerajaan negeri akan mengumumkan sesuatu sebagai hadiah kepada mereka,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai `hadiah’ yang bakal diterima itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata pihaknya hanya akan mendedahkan perkara itu apabila tiba masanya kelak.



Terengganu jangka terima pelaburan RM3.5 bilion

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan terus menggandakan usaha dan memastikan peranan yang lebih komited bagi memacu pembangunan negeri maju menjelang 2020.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pada masa sama Terengganu akan terus mendukung gagasan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan serta penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.

Menurutnya, dalam meraih pertumbuhan ekonomi negeri, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada penggunaan sumber yang cekap di dalam sektor yang memiliki daya saing bagi menarik pelaburan ke negeri ini.

"Pada tahun 2010, ekonomi negeri telah berkembang pada kadar 5.5 peratus dan pada tahun ini dijangka berkembang pada kadar 6 hingga 6.5 peratus.

“Kerajaan negeri meluluskan pelaburan sebanyak RM2.33 billion pada tahun lalu, Manakala bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sebanyak RM1.11 bilion dengan mewujudkan 1,843 peluang pekerjaan dan menjangkakan menerima RM3.5 bilion pelaburan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis istiadat pengurniaan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-49 Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah, di sini semalam (20 Julai). .

Dato’ Ahmad turut memberitahu kerajaan negeri juga komited dalam meningkatkan punca pendapatan isi rumah melalui program bina pendapatan dan bina upaya.

"Pendekatan berstrategi dan bersepadu yang telah diambil terbukti memberi impak kepada golongan sasar keluar dari belenggu kemiskinan di mana kadar kemiskinan negeri pada 2010 menurun kepada 2.4 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 4.6 peratus manakala kemiskinan tegar sifar telah dicapai pada tahun tersebut.

“Menjelang 2013, sebanyak 10,000 unit rumah akan dibina melibatkan 40 projek di seluruh negeri dan pada masa ini sebanyak 22 projek perumahan telah dilaksanakan melibatkan 6,737 unit dengan kos RM660 juta,” katanya.

Kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pihak swasta dan agensi kerajaan bagi memikul tanggungjawab bersama dalam melaksanakan projek perumahan bagi menyediakan kediaman yang lebih sempurna kepada rakyat.




Skuad Terengganu berlepas ke London malam ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Skuad bola sepak Terengganu bakal berlepas ke London malam ini sebagai ganjaran selepas memenangi trofi Piala FA 2011 pada 11 Jun lalu.

Sebelum itu, mereka terlebih dahulu menerima habuan berupa wang tunai RM10,000 setiap seorang daripada kerajaan negeri di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Malaysia Ke-14 dan Piala FA 2011, di Wisma Darul Iman, malam tadi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata percutian pasukan yang diketuai kapten, Mohd Mazuki Yusof bersama beberapa pegawai termasuk jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim ke London selama seminggu sebagai suntikan semangat dan pengiktirafan atas kejayaan membanggakan skuad berkenaan.

“Kita harap dengan ganjaran yang kita berikan, pemain akan terus meningkatkan imej sukan bola sepak ke tahap lebih baik. Malah, kita mahu mereka berusaha bersungguh-sungguh dan dapat memenangi Piala Malaysia pula nanti,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin Hussin.

Menteri Besar berkata, sebanyak RM800,000 diperuntukkan sebagai insentif kemenangan dan menaja percutian melibatkan tiket dan penginapan mereka ke London.

Katanya, percutian skuad Terengganu ke London sebagai menunaikan janji kerajaan negeri sebelum ini sekiranya pasukan `Peteh Ganu Peteh’ itu berjaya memenangi piala berkenaan.

Malah,katanya jika tiada sebarang halangan, pihak pengurusan juga akan mengambil peluang berada di negara asing itu untuk mengatur perlawanan dengan mana-mana pasukan negara itu.

Dalam perlawanan 11 Jun lalu, Terengganu menamatkan kemarau selama 11 tahun untuk menjulang Piala FA selepas menumpaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung penuh dramatik, di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemain gantian, Ahmad Nordin Alias yang masuk menggantikan Ismail Faruqi muncul wira pasukan Penyu apabila berjaya menjaringkan gol penentuan kemenangan pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1 selepas tempoh 90 minit berakhir.

20 July 2011

Tiga Exco, empat pegawai kanan kerajaan negeri terima gelaran Dato’

Oleh: Suriati Ali



Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan empat pegawai kanan kerajaan negeri menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Dato’ sempena Ulang Tahun Ke-49 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini.

Mereka ialah Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, YB Encik Noorbahri Baharuddin manakala tiga Exco terdiri daripada YB Haji Yahya Khatib Mohamad, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said dan YB Encik Toh Chin Yaw.



Penerima lain ialah Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Tuan Mamat Tuan Ngah; Pegawai Daerah Dungun, Datuk Mustofa Abdul Rahman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda.

Turut menerima D.P.M.T ialah dua ketua jabatan Persekutuan iaitu Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Haji Hamzah Ngah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan.



Istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan pingat kehormatan itu berlangsung di Istanah Maziah pagi ini dan disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).


259 orang terima darjah kebesaran Ulang Tahun Keputeraan Sultan Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali



Seramai 259 orang menerima darjah kebesaran dan pingat kehormatan Negeri Terengganu Darul Iman, sempena Ulang Tahun Ke-49 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Ibrahim Muhamad dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor mengetuai senarai penerima tersebut yang dilangsungkan di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Kedua-dua mereka menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T) yang membawa gelaran Dato’.

Manakala empat orang lagi menerima Darjah Dato' Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (D.S.M.Z.) yang membawa gelaran Dato. Mereka ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kota Baharu, Tuan Ahmad Zaidi Ibrahim; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Che Zolkples Embong; Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan Industri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Jailani Johari dan Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan, Kementerian Kesihatan Dato’ Dr Abdul Rahim Mohamad.

Seramai 24 orang menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang juga membawa gelaran Dato’.



Penerimanya ialah Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, YB Encik Noorbahri Baharuddin dan tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu iaitu YB Haji Yahya Khatib Mohamad, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said dan YB Encik Toh Chin Yaw.
Penerima lain ialah Pengarah Eksekutif Syarikat MHD Ind (M) Sdn Bhd, Tengku Nasruddin Tengku Ibrahim; Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Terengganu, Isa@Ghazali Endut; Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Tuan Mamat Tuan Ngah; Pegawai Daerah Dungun, Datuk Mustofa Abdul Rahman; Pengarah Kor Amor Jabatan Arah Kor Amor Diraja Markas Tentera Darat, Brig. Jen. Datuk Adnan Abu Bakar, Panglima 8 Briged Kem Pangkalan Chepa Kota Baharu, Brig. Jen. Mohamad Zaki Hamzah, Pengerusi Eksekutif Intake Eighteen Security Sdn Bhd Mejar Jen (B) Datuk Khairuddin Abu Bakar dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof Dr Aziz Deraman.


Turut menerima D.P.M.T ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda; Penasihat Ekonomi kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Mustapha Ahmad S. Marican; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Hamzah Ngah, Dekan Perubatan dan Sains Kesihatan dan Pakar Perunding Neorologi Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu, Prof Dr Mohd Zubaidi A. Latif, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan, Pegawai Agama Istana Negara Abdul Aziz Yacob, Pengarah Urusan Novafields Development Sdn Bhd, Nordia@Ramlan Ibrahim, pengerusi syarikat, Tengku Din Tengku Mohamad, Pengerusi Eksekutif Mohd Ali Abas & Co, Mohd Ali Abas, pengarah urusan, Koh Tat Kim dan pengerusi eksekutif, Tow Kong Liang.



Seramai 11 orang menerima Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.M.Z), termasuk Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat; Ketua Pegawai Eksekutif Kolej TESDEC, Haji Mohd Akil Mat; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Zawawi Wan Ismail: Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Terengganu Shaikh Ahmad Ismail, Pengarah Pilihan Raya Terengganu, Haji Mohd Noor Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman.

Manakala 13 orang menerima Darjah Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) termasuk Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Haji Wan Mustafa Wan Hasan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mustafar Khalid, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Harun Mohamad, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Zainal Abidin Husin, Pegawai Daerah Marang, A. Rahman Che Ali dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Seramai 11 orang menerima Darjah Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (A.M.Z.) antaranya Pengarah Belanjawan Negeri Terengganu Mohd Shukri Azam, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Samiun Salleh dan Pengarah Kemas Negeri Terengganu Nor Hazelina Hashim.

Penerima lain ialah Ketua Pegawai Tadbir Istana Negara, Fariza Azura Mohd Husain, Ketua Pegawai Keselamatan Istana Negara, Supt Jamalullail Ahmad, Penyelia Istana Terengganu Kuala Lumpur, Kapt Nurshrulhami Johari, juruterbang pesawat VP Mas & Charter Kapt Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, dan penyelia Istana Negara, Mejar Mastura Mohd Saad.

Seramai 17 orang pula dianugerahi Darjah Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T.) antaranya tiga atlet lumba basikal negara iaitu Mohd Azizulhasni Awang, Anuar Manan dan Fatehah Mustafa.

Penerima A.M.T. lain ialah pegawai keselamatan kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Nurulhuda Mohd Salleh, pembantu keselamatan pejabat Sultan Terengganu, Syed Jaafar Syed Mohamad dan pembantu tadbir istiadat pejabat Sultan Terengganu, Shafee Omar.

Sembilan orang pula dianugerahi Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C.), 142 Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.), tujuh Bintang Lama Berjawatan (B.L.B.) dan 19 orang pula dianugerahi Pingat Lama Berjawatan (P.L.B.).

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan pingat kehormatan itu berlangsung di Istanah Maziah pagi ini dan disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Masjid anjur solat hajat sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Masjid-masjid di seluruh negeri menganjurkan solat hajat dan bacaan surah Yaasin malam tadi sempena sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-49 Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta para pembesar negeri menyertai program yang sama di Masjid Tengku Tengku Zaharah, Kuala Terengganu, selepas solat Maghrib.

Majlis tersebut dipimpin Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abd Aziz.



Pada pagi ini majlis pengurniaan bintang darjah kebesaran dan pingat kehormatan negeri Terengganu Darul Iman, diadakan di Istana Maziah.