Halaman

23 October 2012

Bantuan sara hidup untuk warga nelayan

  Oleh: Nurul Aziela Saberi

Musim tengkujuh bakal tiba tidak lama lagi, kebanyakkan warga nelayan akan berusaha lebih gigih untuk mencari rezeki bagi membuat persediaan menghadapinya.

Pukulan ombak yang kuat membataskan kegiatan harian warga nelayan, keadaan ini lebih merusingkan nelayan yang kebanyakannya hanya bergantung kepada hasil tanggapan laut.

Bertempat di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemaman seramai 659 orang warga nelayan telah berkumpul dalam program Bantuan Sara Hidup, petang semalam.

Bantuan wang tunai sebanyak RM200 telah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan turut diiringi oleh Pengarah LKIM Terengganu, Tuan Haji Mohd Safee Mohammad.

Alias Ali, 56, bersama isterinya Khatijah Wahab 55, antara warga nelayan yang turut menerima bantuan pada petang semalam.

Hasil tangkapan mereka akan ditolak secara borong kepada pelanggan tetap mereka malah ada yang dieksport ke negara jiran seperti Singapura.

Lebih mengagumkan ibu kepada 8 orang ini tidak pernah gentar dengan pukulan ombak yang kuat ditengah-tengah lautan demi membantu suaminya mencari rezeki.


Sembilan program warnai Tasik Kenyir sempena TMT

Oleh: Aida Abd Rahman

Encik Wan Mat Amin
Tasik Kenyir bakal menjadi medan penganjuran sembilan program pelancongan berkonsep kegiatan sukan, fotografi dan rekreasi sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Encik Wan Mat Amin Wan Daud berkata program sempena TMT itu mampu menarik lebih ramai pengunjung dari seluruh dunia ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang merentasi 260,000 hektar itu.

" Sepanjang TMT 2013 nanti, Ketengah mahu menonjolkan keindahan alam semula jadi tasik itu supaya dapat diteroka sepenuhnya oleh pengunjung terutama pelancong luar, selain mereka dapat menimba pengalaman baru, sekali gus membantu mempopularkan destinasi terkemuka itu di negara asal mereka pula,"katanya.

Daripada sembilan program yang bakal dilaksanakan termasuk pembuka tirai acara, Pertandingan Memancing Jelajah Tasik Kenyir yang melibatkan lima siri, iaitu pada 10 hingga 11 Februari, 8 hingga 9 Mac, 12 hingga 13 April, 13 hingga 14 September dan terakhir, pada 22 hingga 23 November 2013.

Katanya, di tasik yang terbina hasil pembinaan Empangan Kenyir pada 1985 itu juga akan diadakan acara Kenyir Lake International Triathlon diadakan pada 10 Mac, diikuti Pertandingan Memancing 'Boat On The Road' pada April dan Festival Kenyir yang dijadualkan pada 16 hingga 20 Mei.

 Seterusnya, Kejohanan Power Boat Kenyir, Kenyir Motocross Challenge, Pertandingan Raja Serama Tasik Kenyir sepanjang Jun, diikuti Pertandingan Melukis dan Fotografi Tasik Kenyir pada 1 hingga 31 Ogos sebelum diakhiri dengan acara Kenyir Cup pada penghujung tahun.

 

Skuad hoki Terengganu bakal terima ganjaran

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Skuad hoki Terengganu yang menjuarai Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-50 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan, malam tadi, bakal menerima ganjaran setimpal hasil kemenangan mereka, sekaligus mencipta sejarah mengungguli kejohanan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, YB Haji Rozi Mamat yang turut menyaksikan kejohanan itu, berkata bentuk ganjaran kepada skuad berkenaan akan dibincangkan dalam masa terdekat dan akan diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Saya sebagai mewakili kerajaan negeri merakamkan tahniah kepada semua pemain skuad hoki dan pengurusannya kerana muncul juara Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-50.

“Ini merupakan kemenangan paling bersejarah kerana kita tidak pernah memenangi piala ini sejak ia dipertandingkan 50 tahun lalu,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas majlis penyampaian piala dan medal kepada pemain.

Sultan Pahang yang turut berangkat menyaksikan pertandingan akhir antara pasukan Terengganu dan Pahang, berkenan menyampaikan piala dan medal kepada pemain.

YB Rozi berkata, kerajaan negeri akan memberi ganjaran yang setimpal dengan kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan pemain skuad hoki.

“Sebelum ini, Menteri Besar sering memberi ganjaran kepada semua atlet yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang sukan.

“Saya yakin skuad hoki dan pengurusannya juga akan menerima ganjaran yang setimpal daripada kerajaan negeri kerana mereka menggalas tanggungjawab untuk mengharumkan nama negeri dengan sempurna,” ujarnya.

Sementara itu, kejayaan sebagai juara kejohanan tersebut membolehkan skuad Terengganu menerima habuan wang tunai RM10,000 serta piala pusingan dan medal.

Gol pertama Terengganu dijaringkan Mohd Firhan Ashari seawal minit pertama dan menyemarakkan pemain untuk beraksi garang seterusnya mendominasi permainan hingga tamat permainan.

Kecemerlangan penjaga gol Terengganu, Muhammad Hafizuddin Othman, menghampakan tuan rumah untuk memecahkan kebuntuan mendapatkan gol walaupun mereka turut mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Dua gol yang dijaringkan Faizal Shaari pada minit ke-41 dan Mohd Fitri Saari (minit ke-50) menutup terus peluang pasukan tuan rumah untuk mengalahkan pasukan Terengganu.


3,186 pelajar KAFA daerah Besut sertai khatam al-Quran



Oleh: Mohammad Ishak 

Yayasan Islam Terengganu (YIT) meneruskan tradisi penganjuran Majlis Khatam Al-Quran kepada pelajar yang belajar di Kelas Fardu Ain (KAFA) negeri ini. Majlis yang diadakan serentak di seluruh negeri Terengganu itu mencatat sejarah apabila 21,610 pelajar menyertai program berkenaan.

Di Daerah Besut majlis serupa diadakan di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja, dan disertai 3,186 pelajar dari seluruh daerah itu.

Mereka terdiri daripada pelajar Tahun 3 hingga Tahun 5 daripada 53 buah sekolah rendah di empat Dewan Undangan Negeri Besut. Program itu bertujuan memastikan kanak-kanak dapat khatam al-Quran sebelum memasuki sekolah menengah selain melengkapkan mereka dengan kefahaman kitab suci berkenaan.

Ini kerana mereka yang berada di sekolah menengah akan sukar menyesuaikan diri mengaji bersama kanak-kanak kerana mungkin mereka fikir diri sudah besar.

Pada tahun ini, 21,610 pelajar KAFA berumur tujuh hingga 12 tahun berjaya khatam al-Quran,meningkat berbanding 20,133 tahun lalu

Majlid tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai daerah Besut, A Rahim Jusoh yang turut disaksikan oleh Guru Besar dan guru guru KAFA daerah Besut.

Pada majlis itu Sekolah Kebangsaan Kuala Besut telah diumumkan sebagai Sekolah terbaik Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) manakala SK Tengku Mahmud pula memenangi Sekolah terbaik Khatam Al-Quran. 

Dalam kategori pelajar terbaik UPKK pula adik Uwyas Zulkarnaik Ghazali dari SK Alor Peroi terpilih bagi DUN Kuala Besut, Nurshafiqa Nabila Mohd Nor bagi DUN Kampung Raja, Nirina Sharfina Zaidi bagi DUN Hulu besut dan Wan Norhidayah Wan Jusoh pula bagi DUN Kota Putera.

22 October 2012

Terengganu cipta sejarah kejohanan Hoki

Terengganu mencipta sejarah apabila membenam pasukan Pahang 3-0 pada aksi final Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak ke-50 di Stadium Hoki Indera Mahkota Pahang malam ini.

Kemenangan penuh bermakna itu menamatkan penantian Terengganu selama 50 tahun untuk menjulang piala berprestij itu.

Sultan Pahang yang turut berangkat untuk menyaksikan pertandingan itu berkenan menyampaikan piala dan medal kepada pemenang-pemenang tersebut.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan,YB Hj Rozi Mamat turut hadir bagi memberi semangat dan sokongan moral kepada pemain Terengganu.

 

Biar `patah hati' , kesetiaan tetap kepada BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Masih ramai di kalangan ahli parti tetap menyokong dan bekerja bersama di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno walaupun pernah `patah hati’ selepas gagal memegang jawatan yang dicita-citakan dalam parti, kata Pengarah Strategik Umno Perhubungan Negeri Terengganu, Dato’ Rosli Mat Hassan.

Beliau berkata, situasi itu membuktikan mereka merupakan pemimpin dan ahli parti yang berjiwa besar, tidak mengingkari janji dan lafaz ikrar sebagai ahli parti selain menyemat rasa cinta dan hormat yang menebal terhadap BN dan Umno.

“Mereka juga akur dan terhutang budi kepada parti dan kerajaan yang terbukti sudah banyak berjasa serta memberi faedah kepada seluruh umat Islam dan pelbagai kaum di negara ini sejak merdeka lagi,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, rasa kecewa itu lumrah dalam setiap organisasi dan mana-mana kumpulan terhadap individu yang menaruh harapan bagi mendapatkan apa yang diidamkan, namun kerana meletakkan kepentingan parti lebih utama, mereka berupaya menyerap kekecewaan itu dengan bekerja secara profesional.

 “Dalam satu organisasi besar, ia merupakan perkara biasa, tetapi kita berharap semua pemimpin dan ahli kembali bersatu di bawah satu bumbung dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi parti, bukan kerana kepentingan peribadi.

 “Perkara ini harus menjadi ikutan dan contoh kepada negeri lain, di mana kepimpinan parti peringkat bahagian sentiasa akur keputusan pucuk pimpinan dan bergerak seiring dalam memberi sokongan kepada kepimpinan tertinggi.

 Selain itu, Dato’ Rosli tidak menolak kadangkala wujud persepsi negatif terhadap parti disebabkan perasaan tidak berpuas hati terhadap sesuatu keputusan dan pandangan kerana kepentingan hendak menjadi calon, hendak dihargai serta dihormati semua ahli.

 “Dalam hal ini kita berharap walaupun mereka meletakkan kepentingan peribadi satu perkara yang penting, pada masa yang sama mereka masih lagi menjadikan parti sebagai asas utama perjuangan.

“Saya yakin dan percaya, pemimpin dan ahli parti yang setia pada parti keramat ini akan bekerja dan memberi komitmen padu pada parti tanpa mengira siapa yang mengepalai mereka,”katanya.

 

Kesedaran, kemampuan dan memahami konsep galak umat Islam lakukan ibadat korban

Oleh:Noraini Jusoh 

Faktor kesedaran, kemampuan dan memahami konsep korban itu sendiri merupakan elemen penting yang menyebabkan kian ramai umat Islam melakukan ibadah korban masa kini, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

“Walaupun harga lembu, kambing dan biri-biri pada awal 80-an dulu lebih murah berbanding sekarang, faktor kewangan menyukarkan umat Islam melaksanakan ibadat korban.

“Bagaimanapun keadaan tersebut telah berubah kerana masyarakat hari ini lebih ramai yang berkemampuan dan mempunyai kesedaran untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik,” katanya ketika sidang media Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi 2012 anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, Hari Raya Aidil Adha yang bakal disambut pada 26 Oktober bersamaan 10 Zulhijjah ini sentiasa dinanti oleh seluruh umat Islam di dalam dan luar negara bagi menyemarakkan sambutan perayaan itu dengan amalan mengerjakan ibadat korban.

 “Apabila membelanjakan apa yang dimiliki untuk membantu golongan yang memerlukan, kita perlulah ikhlas agar apa yang kita lakukan itu akan diberkati Allah s.w.t. begitu juga dengan ibadah korban ini.

“Selain itu, pengagihan daging korban juga perlu diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan seperti golongan fakir miskin,"ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri turut memeriahkan sambutan hari raya dengan menyediakan sejumlah peruntukan untuk penduduk mengadakan aktiviti gotong-royong menyediakan daging korban, sekali gus berusaha untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai erti korban yang sebenar di kalangan umat Islam.

 

Memulihara khazanah Kampung Cina

Oleh; Esah Abdullah

Melalui gabungan 35 pengkaji dari Taylor's Universiti, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Unversiti Lim Kokwing (ULK) berjaya menghasilkan projek lembaran kertas kerja penggiatan semula Kampung Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan Dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, pembentangan yang dilakukan pengkaji mengenai Kampung Cina adalah bertujuan memulihara khazanah berharga yang ada di kawasan itu.

Menurutnya, program yang mengambil masa selama lima hari itu membabitkan kajian berkenaan budaya, ekonomi dan sosial yang diamalkan di Kampung Cina, berdasarkan maklumat daripada kajian selama tiga tahun yang dijalankan oleh Taylor's Universiti.

 “Peserta diberi masa selama lima hari untuk mengadakan perbincangan dan pembentangan bersama golongan mahir berkenaan pemuliharaan, pelajar, penduduk tempatan, penguatkuasa dan pengunjung di kampung terbabit.

 “Gabungan daripada buah fikiran pakar dan pelajar dapat melahirkan satu idea yang bernas kerana melalui perbincangan itu, kita akan mendapat kesefahaman dan ianya terbaik untuk mengadakan satu dasar baru untuk pemuliharaan dan pembangunan di kawasan ini.

 “Kita boleh mengemukakan hasil perbentangan itu kepada dua badan agensi seperti Majlis Perbandaran Kuala Terengganu dan Pagawai Tinggi Perancang Bandar dan Desa untuk melihat apa yang boleh diperbaharui untuk pembangunan Kampung Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa hadir pada pembentangan Kertas Kerja penggiatan semula Kampung Cina.

Dato’ Toh Chin Yaw berkata, perancangan yang bakal dilaksanakan itu mendapat kerjasama daripada pemilik tanah di kawasan ini untuk penambahbaikan yang boleh memberi kesan positif kepada sektor perlancongan.

Sementara itu, Pensyarah Asas Alam Semulajadi dan Seni Bina Taylor’s Universiti, Puan Normah Sulaiman yang juga merangkap Ketua Projek bengkel komuniti tersebut berkata, kajian ini dapat memberi pendedahan kepada peserta untuk bekerja di lokasi bagi melahirkan buah fikiran dalam menyelesaikan masalah yang ada.

 “Jika mereka turun ke lokasi kajian, mereka dapat mengenalpasti masalah yang ada berkenaan bangunan yang diubahsuai dalam memberi gambaran baik kepada pelancong mengenai struktur asal bangunan itu, selain dapat mengkaji sejarah yang ada,’ katanya.

Bagi Pensyarah Penyelarasan Sungai, Kajian Seni Budaya dan Sosial, Nor Hayati Hussain berkata, kajian berkenaan bertujuan mengenalpasti isu pembangunan kepada bangunan bersejarah yang tidak terkawal.

“Melalui pembentangan yang dibuat oleh pengkaji, kami dapat mengenalpasti masalah yang ada di perkampungan ini. Antara masalah yang dihadapi oleh pengunjung di kawasan ini adalah membabitkan kawasan pejalan kaki yang dicemari kenderaan yang banyak,” katanya.

 

Pasukan hoki Terengganu cipta sejarah ke final

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pasukan hoki lelaki Terengganu mencipta sejarah apabila mara ke pertandingan akhir Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak ke-50, selepas menundukkan juara bertahan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Hoki Kuantan, Indera Mahkota, semalam.

Terengganu yang berjaya mengekalkan rentak cemerlang sebagai kuasa sukan negara, akan beraksi menentang pasukan tuan rumah, Pahang dalam aksi final di stadium yang sama, jam 8.30 malam ini.

Sebelum itu, pasukan Pahang turut menewaskan lawannya Negeri Sembilan pada aksi peringkat separuh akhir dengan jaringan 3-2.

Pada aksi separuh akhir, pasukan Terengganu mengejutkan Kuala Lumpur dengan jaringan seawal minit ke-30 menerusi Faizal Saari.

Pertandingan sengit antara kedua-dua pasukan tersebut menyaksikan juara bertahan itu menyamakan kedudukan 1-1 melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Mohd Zahid Yusoff.

Terkejut dengan jaringan penyamaan itu, pemain Terengganu terus mengasak lawan bagi mencari gol kemenangan dengan melancarkan serangan demi serangan.

Kegigihan pemain Terengganu ternyata tidak sia-sia apabila gerakan cantik Mahinder Singh membuahkan hasil apabila dia berjaya menjaringkan gol pada minit ke-60.

Kejayaan Terengganu mara ke final itu telah memahat sejarah kerana ini merupakan kali pertama pasukan ini berjaya mara ke pertandingan akhir dalam tempoh 15 tahun.

Peminat pasukan hoki Terengganu diminta datang ke Stadium Hoki Kuantan bagi memberi sokongan moral kepada pasukan kita dan diharapkan Terengganu menempa sejarah dengan muncul juara kejohanan ini.




Wakil Rakyat Rhu Rendang tidak hirau nasib penduduk

Oleh: Aida Abd Rahman

Nasib penduduk yang kurang bernasib baik dan miskin di Dewan Undangan negeri (DUN) Rhu Rendang dan Parlimen Marang tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh wakil rakyat Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, menyedari kebajikan penduduk harus diutamakan menyebabkan peranan itu dipikul pemimpin yang dilantik Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno bagi memastikan penduduk di kawasan pembangkang itu tetap mendapat pembelaan serta tidak dibiarkan terkontang-kanting tanpa tempat bergantung harapan.

Terbaru, Pegawai Pembangunan DUN, Haji Nik Dir Nik Wan Ku dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Rusila, Encik Rozeli meninjau masalah yang menghimpit dua keluarga yang terpaksa tinggal di rumah usang dan hampir runtuh terletak di DUN itu, semalam.

 Haji Nik Dir turun padang melihat sendiri rumah Encik Mohd Aiman Yap, 31, yang tinggal bersama isteri, Puan Ngah Mohd dan enam anak yang masih kecil, di Kampung Gong Rusila.

 Encik Mohd Aiman yang hanya bergantung kepada sumber rezeki sebagai penganyam tikar dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan tidak mampu membaiki kerosakan rumahnya yang kian uzur dan rosak akibat dimakan anak-anai sejak beberapa bulan lalu.

 Manakala rumah kedua, milik Encik Mohd Ismail, 44, yang tinggal bersama isteri dan anak yang masih kecil turut mengalami nasib serupa dan memerlukan peruntukan besar bagi membaiki kerosakan rumah untuk mereka sekeluarga berteduh dan dapat tinggal lebih selesa.

 Mereka gembira apabila dilawati PP DUN dan mengharapkan bantuan segera dapat diberikan bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka sejak sekian lama itu. 

Kedua-dua penduduk juga kesal dengan sikap wakil rakyat yang dipilih majoriti penduduk pada Pilihan Raya Umum lalu di mana mereka sepatutnya membela nasib rakyat, bagaimanapun terbukti gagal menjalankan amanah sebagai pemimpin yang bertanggungjawab.