Halaman

24 June 2009

MB RAI PESERTA PERSIDANGAN ANTARABANGSA CAPAM

Oleh : Ruslan bin Abdul Rahman


Dato' Ahmad bersalaman dengan peserta Persidangan Building Public Service Leadership Capacity di Awana Kijal. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Terengganu mencipta sejarah dalam pengurusan dan perkhidmatan awam global apabila telah dipilih sebagai tempat persidangan peringkat antarabangsa, Persidangan Institusi Perkhidmatan Awam Negara-negara Komanwel iaitu berkaitan kecemerlangan pengurusan pentadbiran dan perkhidmatan awam.

Persidangan yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bertaraf antarabangsa berkaitan kecemerlangan pentadbiran (good governance) iaitu ‘Commonwealth Association For Public Administration and Management’ ,CAPAM dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara ( INTAN) diadakan selama tiga hari bermula 22 hingga 23 Jun bertempat di INTAN, Kampus Wilayah Timur, di Kemaman.


Sebahagian peserta Persidangan Building Public Service Leadership Capacity yang hadir pada majlis makan malam anjuran Pejabat Menteri Besar Terengganu di Awana Kijal.

Sempena dengan itu, Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Dato'Ahmad Said telah meraikan peserta seminar itu dalam satu majlis makan malam di Awana Kijal, malam tadi (23 Jun 2009) sebelum mereka pulang ke negara masing-masing.

Antara negara-negara peserta termasuklah dari Uganda, Kenya dan Negara-Negara Commonwealth, membabitkan juga Malaysia.


Dato' Ahmad bergambar bersama peserta dan artis budaya pada Majlis Makan Malam anjuran Pejabat Menteri Besar Terengganu.

Dato' Ahmad melahirkan rasa gembira di atas kehadiran peserta antarabangsa menyertai persidangan yang penting itu bagi membincangkan isu-isu global berkaitan kepemimpinan,pengurusan, latihan, krisis, cabaran masa depan dan lain-lain berkaitannya.

Menteri Besar menyifatkan persidangan itu bersejarah lagi penting ke arah kesejahteraan dunia keseluruhannya serta masa depan masyarakatnya.

Beliau juga mengambil kesempatan memberitahu latar belakang Negeri Terengganu kepada peserta yang diraikan, termasuk mengenai keindahan, perusahaan, perindustrian dan pelaburan.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd.Sidek Hassan yang juga merupakan ahli CAPAM dan Naib Presiden CAPAM, Paul Zahra.

Para peserta juga dihiburkan dengan pertunjukan kebudayaan Terengganu dalam majlis berkenaan.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)