Halaman

09 October 2009

Mohd Ayub Telah Dibenarkan Pulang

Kuala Terengganu - 7 Oktober 2009 (RABU)

Setelah lebih seminggu berada di Kuala Lumpur, kini Mohd Ayub telah dibenarkan pulang.

Mohd Ayub 7 tahun, yang telah menjalani rawatan selepas pembedahan jantung berlubang pada 30 September lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur kini telah dibenarkan pulang pada pagi 7 Oktober 2009.

Mohd Ayub telah dibawa balik ke Kuala Terengganu dengan kenderaan yang disediakan oleh pejabat YAB Menteri Besar Terengganu.

Ketibaan Mohd Ayub di rumahnya di Kampung Simpang Tok Ku, Cabang Tiga, Kuala Terengganu pada jam 6.00 petang hari yang sama telah disambut dengan penuh kegembiraan oleh keluarga dan sanak-saudaranya.

UKOM
_________________________

Timur: Murid selamat bedah jantung

Pusat perubatan tanggung kos bedah, kerajaan Terengganu bayar ubatan


KUALA LUMPUR (BERITA HARIAN ONLINE): Impian Mohd Ayub Mansor, 7, untuk hidup normal seperti rakan sebaya lain akhirnya menjadi kenyataan apabila selamat menjalani pembedahan jantung di Pusat Perubatan Prince Court, di sini, Rabu lalu.

Kos pembedahan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu itu dibiayai sepenuhnya pusat perubatan berkenaan, manakala Kerajaan Terengganu menaja kos ubatan, makan minum, pengangkutan dan penginapan ibu bapa kanak-kanak itu sepanjang menjalani rawatan di ibu negara.

Ibu Mohd Ayub, Hariati Mohd Fauzi, 33, berkata anaknya dikesan menghidap jantung berlubang sejak kecil namun disebabkan kemiskinan keluarga, Mohd Ayub hanya menjalani pembedahan jantung, Rabu lalu selepas kisahnya disiarkan media.

“Kami tidak mampu menanggung kos pembedahan kerana suami, Mansor Embong, 39, hanya bekerja sebagai jurujual alat ganti, manakala saya tidak bekerja. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana penderitaan Mohd Ayub mendapat perhatian Kerajaan Terengganu, khususnya Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

“Selepas ini, saya berharap kehidupan Mohd Ayub lebih ceria dan aktif. Sebelum ini, dia tidak boleh begitu aktif atau lasak sebab akan cepat penat. Saya sudah tidak sabar untuk melihat dia kembali ke sekolah,” katanya ketika menerima kunjungan Ahmad di pusat perubatan berkenaan, semalam.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri pada mulanya bersetuju membiayai kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), tetapi pakar jantung Pusat Perubatan Prince Court, Dr David Khoo Sin Keat menawarkan Mohd Ayub dibedah di pusat perubatan itu yang turut menanggung kos pembedahan.

“Jadi, kita bantu dari segi kos rawatan susulan seperti kos ubatan dan berkaitan yang jumlahnya bergantung kepada keperluan kes berkenaan,” katanya sambil menambah kerajaan negeri akan membantu seorang lagi kanak-kanak dari Kampung Lubuk Lesung, Terengganu menjalani pembedahan jantung, selepas ini.