Halaman

14 April 2013

Industri pelancongan suram ketika Pas perintah Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Semasa pemerintahan Pas sekitar tahun 1999, jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini tidak sehebat sekarang dan yang menjadi tanda tanya adakah disebabkan Pas kurang memberi perhatian terhadap industri ini?

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, industri pelancongan adalah suatu industri yang dinamik.

"Kekuatan atau kejayaan sesuatu produk pelancongan itu memang bergantung kepada kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pengusaha-pengusaha hotel dan juga media.

"Bantuan media sangat penting untuk mempromosikan produk pelancongan yang bukan sahaja menarik kepada pelancong tetapi jika media dengar pun tidak menarik maknanya ia tidak ada satu daya tarikan untuk diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Hidangan Terengganu (masakan ketam nipah, udang kara dan udang ketok) di Kedai Maggi Ketam Kubang Jela, Manir, semalam.

Katanya, keadaan tersebut jelas menunjukkan semasa pemerintahan Pas, industri pelancongan di negeri ini suram kerana tidak ada daya tarikan untuk ditonjolkan.

"Kerajaan negeri pada masa itu mungkin tidak mempunyai kreativiti dan juga tidak ada satu sumber untuk mempromosikan perkara-perkara baru dan destinasi-destinasi menarik di Terengganu.

"Sebagai contoh, kawasan air terjun umpamanya jika tidak ada penyeliaan seperti kebersihan kurang dijaga, sampah tidak dipungut dan sebagainya maka pelancong tidak berminat untuk berkunjung ke lokasi terbabit,” katanya.

Jelas beliau, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak, rakyat negeri ini diharap terus memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) agar keadaan sedemikian tidak berulang.

"Kerajaan BN adalah satu-satunya kerajaan yang stabil serta melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

"Hal ini terbukti dengan kestabilan politik yang ada sekarang membolehkan kita bekerja dalam suasana yang kondusif,” tambahnya.