Halaman

21 April 2014

Kemungkinan tukar jurulatih : Wan Ahmad Nizam

Oleh: Aida Abd Rahman

Kecewa dengan prestasi pasukan negeri, Terengganu dan T-Team, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) , Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid mahu mengambil tindakan tegas bagi memulihkan kemerosotan yang sedang melanda kedua-dua pasukan itu.

Beliau yang enggan mendedahkan punca kejatuhan itu, berkata pihaknya sudah mengarahkan pengurusan kedua-dua pasukan untuk meneliti segala aspek termasuk mutu kejurulatihan.


“Saya sudah mengarahkan pengurusan pasukan mengambil serius perkara ini. Jika kita lihat dalam dua tiga perlawanan yang mungkin tidak bagus kita akan mengambil suatu tindakan.

 “Tindakan itu termasuk memanggil jurulatih teknikal, merehatkan dan mungkin menukarkan (jurulatih) dan ini bergantung kepada suasana. Kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Majlis Perjumpaan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukan Malaysia Ke-17 2014 Perlis Bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Susulan itu juga, beliau turut mengadakan Mesyuarat Pengurusan PBSNT hari ini bagi meneliti dan mengarahkan beberapa perkara, diikuti pertemuan dengan seluruh pemain Terengganu, pagi esok.

Katanya, kejatuhan pasukan di kancah Liga Super kebelakangan ini, sangat mendukacitakan seluruh pengurusan, penyokong dan juga peminat apatah lagi Terengganu pernah berada di takhta liga untuk awal musim lalu.

Datuk Wan Ahmad Nizam berkata, teguran sudah dibuat kepada pengurusan dan pemain, bagaimanapun PBSNT masih memberi `ruang’ supaya semua pihak membetulkan kelemahan dan mengambil tindakan sewajarnya supaya pasukan mampu bangkit selepas tempoh rehat Liga Super selama dua minggu ini.

Tumpuan kini lebih terarah kepada prestasi skuad Penyu yang mula merudum sejak episod kekalahan 2-1 kepada Sarawak diikuti seri 2-2 dengan pasukan Selangor PKNS dan terbaru, Sabtu lalu tumpas kepada pasukan tercorot Perak 2-0 di laman sendiri.

Apabila kancah liga bersambung semula, Terengganu akan menentang pasukan kedua liga, Selangor, di Stadium Shah Alam pada 4 Mei ini.



No comments: