Halaman

26 April 2014

PERDANA MENTERI SERAH LIMA PELAN PENGURUSAN ALAM SEKITAR


"Pelan itu adalah bagi pemuliharaan, pemeliharaan dan pembangunan Taman Negara yang merentasi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan; Taman Negara Endau-Rompin yang merentasi negeri Pahang dan Johor; Tasik Chini di Pahang yang juga merupakan Rizab Biosfera Unesco yang pertama di Malaysia; SETIU WETLANDS DI TERENGGANU "


Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak hari semalam (25 April) menyerahkan lima Pelan Pengurusan Alam Sekitar untuk pembangunan lestari taman-taman negara dan negeri di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kepada kerajaan negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor.

Kenyataan yang dikeluarkan Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini, pelan itu adalah bagi pemuliharaan, pemeliharaan dan pembangunan Taman Negara yang merentasi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan; Taman Negara Endau-Rompin yang merentasi negeri Pahang dan Johor; Tasik Chini di Pahang yang juga merupakan Rizab Biosfera Unesco yang pertama di Malaysia; Setiu Wetlands di Terengganu dan Tanah Tinggi Lojing di Kelantan.

``Pelan itu merupakan hasil kajian yang dilaksanakan oleh ECERDC untuk memastikan pembangunan yang seimbang di ECER, demi memastikan projek pembangunan sosioekonomi yang dilaksanakan turut mengambil kira kepentingan alam sekitar.

 ``Dokumen tersebut menggariskan pelan-pelan pengurusan bagi memacu usaha pemuliharaan dan pemeliharaan taman-taman negara dan negeri di ECER,'' kata kenyataan itu.

Dato’ Seri Mohd Najib yang juga merupakan Pengerusi ECERDC menyampaikan dokumen-dokumen berkenaan kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di pejabat Perdana Menteri di sini.

 Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Mohd Ali Hamsa. Taman Negara yang terletak di ECER merupakan hutan hujan tropika tertua di dunia yang dianggarkan berusia lebih daripada 130 juta tahun.
Ia memiliki kepelbagaian biodiversiti hutan hujan iaitu antara yang terkaya di dunia.

``Dalam usaha memacu transformasi sosioekonomi di wilayah ini, adalah amat penting bagi ECER untuk memastikan bahawa kelestarian alam sekitar dan aset semula jadi wilayah ini akan terus kekal terpelihara,'' menurut kenyataan itu

No comments: