Halaman

20 April 2014

Ucaptama Negeri, pelancaran SKRA 22 April

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Nana (pelatih)

Sejajar dengan Program Transformasi Kerajaan yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mewujudkan Program Transformasi Terengganu (TTP), satu program mentransformasikan pentadbiran kerajaan negeri berlandaskan gagasan `Merakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran Terengganu’ (MPPT).

TTP yang diilhamkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengenalpasti 11 Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) dengan disokong 41 Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB A Latiff Awang, berkata KPI berkenaan akan bertindak sebagai indikator pencapaian yang akan mengukur prestasi dan pencapaian kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan rakyat.

YB A. Latiff (tengah) ditemani En Ruslan diberi penerangan mengenai kerja mengedit gambar oleh Jurufoto UKOM, Zukipli Putra.


"Matlamat mewujudkan TTP buka sahaja untuk mendokong pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan di peringkat Pusat, malah juga berfungsi sebagai jentera utama yang akan membawa Terengganu mencapai status Negeri Maju pada 2020.

“Kerajaan negeri akan menggunakan kaedah dan pendekatan yang baru, sambil melihat model-model yang telah dipraktikkan oleh Kerajaan Pusat dan mana-mana yang boleh digunapakai , ”katanya ketika menjadi tetamu jemputan sempena Majlis Ucaptama negeri dan Pelancaran SKRA, di radio ManisFM, hari ini.

Majlis Ucaptama Negeri dan Pelancaran SKRA bakal berlangsung di Wisma Darul Iman, pada 22 April (selasa) ini, jam 9 pagi.

A Latiff berkata, di majlis berkenaan, Menteri Besar akan menyampaikan amanat mengenai Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu dan aspirasi kerajaan negeri untuk menjayakan gagasan negeri, MPPT.

Menurutnya, Dato’ Seri Ahmad juga akan mengulas kejayaan dan pencapaian kerajaan negeri dan mesej penting kepada 2,000 peserta yang hadir terdiri di kalangan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam, badan berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan, persatuan belia, Pertubuhan Bukan Kerajaan, warga pendidik dan Badan berkaitan Kerajaan.

“Dalam masa yang sama, Menteri Besar bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala akan melancarkan 11 SKRA di bawah TTP serta menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) . 

“Program ini mengikuti pendekatan Kerajaan Pusat menerusi GTP yang menggariskan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Nasional yang disokong 55 KPI yang terdiri daripada program dan projek yang diselaraskan pelaksanaannya selari dengan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10),” katanya.

Beliau yang mengetuai jawatankuasa tertinggi di peringkat kerajaan negeri, berharap program itu mampu membawa perubahan yang maksimum dan cepat dari aspek transformasi dalam pentadbiran dan penyampaian di peringkat kerajaan.

Sejurus di ManisFM, beliau diiringi Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), Encik Ruslan Abd Rahman meninjau Ukom bagi melihat lebih dekat operasi unit yang menjadi platform menyebar luas dan mempromosi peranan kerajaan negeri kepada masyarakat itu.


No comments: