Halaman

27 May 2009

Bantuan Pendidikan Ubah Nasib Diri

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad menyampaikan bantuan pendidikan Yayasan Terengganu kepada pelajar STPM.
- Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kerajaan negeri akan memastikan semua anak Terengganu mendapat bantuan sewajarnya dalam aspek pendidikan supaya mereka mampu menempa kejayaan dan mengubah nasib diri serta keluarga pada masa depan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata demikian ketika berucap di depan 826 pelajar yang bakal menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menerima bantuan pendidikan Yayasan Terengganu berjumlah RM1,000 seorang, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (26 Mei).

“Tahun lepas 700 lebih mendapat bantuan ini, hari ini 835 pelajar akan dapat dan saya mahu bertemu dengan setiap wajah-wajah yang akan naik ke pentas.



“Malah, bagi saya melalui pendidikan sahajalah kita boleh mengubah nasib kita dan keluarga kita,” katanya yang kemudiannya menyampaikan sumbangan itu kepada semua pelajar yang hadir.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber
Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman, Pengarah Pendidikan Negeri, Haji Ariffin Embong dan Pengarah Yayasan Negeri, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail.

Sebanyak 15 SMK seluruh Kuala Terengganu mendapat bantuan itu termasuk SMK Padang Midin (96 pelajar); SMK Ibrahim Fikri (79 orang); SMK Sultan Sulaiman (60 pelajar); SMK Sultan Ahmad (74 pelajar); SMK Tengku Bariah (70 pelajar) dan SMK Dato’ Razali Ismail (dua orang).

Seorang pelajar golongan kurang upaya, Aminuddin Hassan, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara yang turut mendapat bantuan itu, berazam mahu menguatkan semangat dan tidak menjadikan kecacatan sebagai penghalang buatnya menempa kejayaan dalam pelajaran.


Sebahagian 835 pelajar STPM yang menerima bantuan pendidikan Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu. Walaupun cacat, saya juga mahu berjaya seperti manusia normal yang lain dan tidak menjadikan kecacatan mata saya sebagai halangan,” katanya yang mengidap kanser mata sejak berusia dua tahun lagi.

Manakala Mohd Shafik Yusof, 19, dari SMK Sultan Ahmad akan memanfaatkan bantuan yang diterimanya terutama bagi membeli kelengkapan dan buku sebagai persediaan rapi menempuhi STPM.

“Saya gembira dapat bantuan ini dan berazam belajar bersungguh-sungguh bagi mencapat hasrat dan memenuhi impian keluarga yang mahu melihat kejayaan saya,” kata anak ketiga daripada enam beradik yang tinggal di Kampung Sungai Kiat itu.

Sementara pelajar SMK Padang Midin, Nor Fazwani Mohd Nordin, 19, berkata bantuan itu memberinya semangat mencipta kejayaan dalam STPM, selain menjadikan kata-kata Menteri Besar bahawa jika lebih banyak berusaha mampu memberikan hasil lebih baik sebagai inspirasi kepadanya.

Anak keempat daripada enam beradik berhasrat menggunakan bantuan itu untuk melengkapkan diri dengan ilmu bagi menempuhi STPM tidak lama lagi dan mengikut jejak langkah kakak serta abangnya yang bertugas serbagai pendidik satu masa nanti.

“Saya rasa bertuah kerana berada di negeri yang mana kerajaannya cukup cakna dan peka dengan keperluan dalam aspek pendidikan serta menjana modal insan.

“ Bantuan diberi akan saya manfaatkan sebaik mungkin kerana wang itu menjadi modal saya mencipta keuntungan pada masa depan dalam merealisasikan cita-cita murni bergelar seorang guru,” kata anak Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Baru Serada itu lagi.

Sementara Al-Wafi Hashim dari SMK Sheikh Abdul Malek pula bersyukur dengan bantuan kerajaan negeri yang dapat meringankan bebanan pelajar yang bakal menempuhi STPM dalam tempoh lima bulan lagi.

“Saya akan lakukan yang terbaik dan itu menjadi impian saya sejak dulu lagi. Malah, semakin bertambah dengan sokongan semua pihak termasuk kerajaan Terengganu yang sememangnya cakna soal pendidikan,” kata pelajar yang menetap di Kampung Petaling, Tepoh itu.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.