Halaman

28 May 2009

Pratik Ilmu Tingkat Taraf Kehidupan

Oleh : SURIATI BINTI ALI


To' Puan Norliza memotong kek sempena hari ibu pada majllis perasmian sambutan Hari Ibu 2009 di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Golongan ibu terutama suri rumah perlu bijak mempratik ilmu kemahiran dipelajari bertujuan meningkatkan pendapatan sekaligus membaiki taraf kehidupan masing-masing.

Pelbagai agensi sama ada kerajaan dan swasta menawarkan pelbagai kursus, termasuk jahitan, masakan, andaman, sulaman dan ukiran semata-mata meningkatkan ilmu pengetahuan golongan itu.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud, berkata mana-mana individu yang memiliki kemahiran dalam bidang itu mampu memberi hasil lumayan jika dimanfaat sebaik mungkin serta bersemangat membaiki cara kehidupan.

“Oleh itu, mereka disarankan mempratik ilmu yang dipelajari dan jangan mensia-siakannya kerana tindakan itu hanya merugikan diri sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Ibu 2009, di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT), Kuala Terengganu, hari ini (27 Mei).

Sempena program itu, aktiviti jahitan turut diadakan bagi membantu kira-kira 50 golongan ibu berusaha mempertingkatkan ilmu dan menambah pendapatan.
Program anjuran Pembangunan Wanita Negeri Terengganu dengan kerjasama PPAT dan Pusat Kraf Epal nyata memberi pelbagai manfaat terutama berkaitan sulaman dan teknik mencantum.

To’ Puan Norliza berkata, kerajaan sama ada peringkat pusat dan negeri sentiasa memberi komitmen dan sokongan padu dengan menyediakan peruntukan khas melatih golongan itu.

“Selain kurusus kemahiran, program berbentuk seminar dan ceramah turut dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kehidupan di dunia dan akhirat.

“Wanita hari ini perlu bersemangat dan mempunyai tekad untuk bersama-sama meningkatkan keupayaan , supaya terus menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu