Halaman

29 June 2009

Pendidikan Penentu Maruah Negara

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Kuala Terengganu - 26 Jun 2009


Dato' Seri Idris berbual mesra dengan peserta Seminar Pendidikan Kolej Profesional Mara dan Kolej Mara di Felda Residence, Kuala Terengganu. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kalau mahu mewujudkan sebuah Negara yang maju dan bermaruah perlulah ada rakyat berpendidikan yang menjurus dalam bidang sains teknologi.

“Penekanan harus diberikan terhadap kualiti dalam apa juga bidang yang dilaksanakan,” kata Pengerusi Mara, Dato’ Seri Idris Jusoh ketika merasmikan Seminar Pendidikan Kolej Profesional Mara (KPM) dan Kolej Mara (KM) Kali Ke-5 di Felda Residence, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, untuk melahirkan pelajar-pelajar yang hebat mereka perlu didedahkan dengan cara belajar dan cara berfikir yang lebih berkesan.

Sebahagian warga pendidik Mara yang hadir pada Seminar Pendidikan Kolej Profesional Mara dan Kolej Mara di Felda Residence, Kuala Terengganu.

“Kita nak pastikan kualiti pembelajaran perlu dipertingkatkan agar mampu menempatkan diri mereka ke Pusat-pusat Pengajian Tinggi yang hebat dan ternama dunia,” katanya.

Berubah yang dimaksudkan adalah terhadap semua aspek sama ada kurikulum dan cara pembelajaran atau infrastruktur dimana perkara seumpama ini boleh membantu meningkatkan tahap pencapaian para pelajar.

“Intitusi perlu memain peranan untuk memastikan pembangunan modal insan mampu dilaksanakan dn berfungsi dalam tiga aspek utama iaitu pendidikan, penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Oleh itu katanya, tanggungjawab institusi pendidikan tinggi hari ini semakin besar dan mencabar bagi memastikan graduan yang dilahirkan mencapai tahap modal insan mentaliti kelas pertama, budaya kerja berkualiti disamping mengekalkan nilai-nilai etika dan moral yang tinggi.

Tambah Dato’ Seri Idris, pembangunan modal insan perlu pendekatan yang holistik dan seharusnya memberi penekanan kepada pembangunan pengetahuan serta kemahiran di bidang sains, teknologi dan keusahawanan.

“Peranan pendidik sebagai jurutera sosial dan agen perubahan sangat dituntut demi mencapai matlamat Negara kerana dibahu pendidiklah terletaknya tanggungjawab dan harapan membina Negara Malaysia yang maju dan dinamik,” katanya.

Seminar pendidikan yang berlangsung selama tiga hari bermula sejak 24 Jun itu telah menghimpunkan 113 peserta daripada KPM dan KM seluruh Negara dengan membawa tema ‘Pembangunan Modal Insan Inovatif dan Berkeupayaan Teknologi’.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)