Halaman

03 July 2009

Keluarga Bomba Mati Lemas Dibantu

Oleh : Mohd Shuhaimi bin Ahmad

Setiu - 2 Julai 2009

Keluarga anggota bomba yang mati lemas ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat di Tasik Kenyir, baru-baru ini, mendapat pembelaan apabila menerima sumbangan RM10,000 daripada kerajaan negeri hari ini (2 Julai).


Dato' Ahmad menziarah balu Aladi Hassan, Madziyah dan anaknya di Bandar Permaisuri, Setiu. -Foto SHUHAIMI AHMAD.


Sumbangan tersebut disampaikan sendiri Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, kepada Madziyah Mohd Ladar, 39, di kuarters guru Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh , Setiu.

Madziah yang juga seorang guru adalah balu kepada Aladi Hasan, 41, yang mati lemas selepas tali pada badannya tersangkut pada tunggul kayu di tasik berkenaan.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berasal dari Kelantan bersama anggota unit selam lain menjalankan operasi mencari Halmi Shukri Hashim, 28, yang dipercayai terjatuh dalam Tasik Kenyir.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri berharap sumbangan itu dapat meringankan beban keluarga Alahyarham Aladi dan pihaknya akan memenuhi permintaan balunya untuk bertukar ke negeri asalnya iaitu Perlis dalam tempoh terdekat.



Sementara itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada bekas pemain Piala Razak, Rosli Awang, yang mengalami lumpuh sejak tahun lalu, di rumahnya di Gong Badak.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar mengumumkan kerajaan negeri memutuskan untuk melantik sebuah syarikat bagi menjalankan siasatan punca kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh bulan lalu.

Beliau berkata, syarikat dari United Kingdom itu diberi tempoh tiga bulan selepas dilantik, untuk menyiapkan laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, kini pihak kerajaan sedang menentukan kos kajian serta syarat dan terma, bagi membolehkan tanggungjawab itu diserahkan kepada syarikat berkenaan.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu(UKOM)