Kuala Terengganu - 5 Julai 2009
Ilmu, amanah, cakna, keterbukaan, setia, muafakat, cemerlang, istikamah dan bersyukur menjadi sembilan teras bagi mencapai agenda `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ yang menjadi landasan utama menjayakan pentadbiran kerajaan hari ini.
Peserta terdiri daripada pegawai kanan kerajaan berbincang ketika menyertai bengkel Anjakan Paradigma Mencapai Agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan di Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Kesemua teras yang digariskan menjadi asas bagi memastikan agenda kerajaan itu digerakkan secara bersepadu oleh semua pihak dan pada masa yang sama prinsip berkenaan haruslah dihayati secara menyeluruh, bukan sahaja di kalangan jentera kerajaan tetapi juga oleh rakyat.
Demikian antara rumusan yang dicapai peserta bengkel Anjakan Paradigrama Mencapai Agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, pada hari kedua program itu, hari ini (5 Julai).
Seramai 60 peserta dari kalangan pegawai kanan kerajaan menyertai bengkel tiga hari bermula 4 Julai lalu yang bertujuan menggariskan prinsip utama agenda merakyatkan pentadbiran dan pembangunan.
Manakala tujuan kedua program, membincangkan secara terperinci setiap prinsip merakyatkan pentadbiran dan pembangunan serta menghasilkan modul utama agenda sama ada dalam bentuk dokumentasi atau modul rujukan utama yang menghuraikan secara lengkap agenda merakyat pentadbiran dan pembangunan.
Matlamat terakhir adalah supaya prinsip merakyatkan pentadbiran dan pembangunan dapat difahami dan dibudayakan oleh jentera kerajaan dan seluruh rakyat.
Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Encik Wan Ahamad Wan Muda, berkata prinsip yang digariskan haruslah berdasarkan teguran pucuk pimpinan terutama Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.
Katanya, sebagai rakyat Terengganu, mereka harus faham agenda yang mahu direalisasikan oleh Menteri Besar yang bertujuan mengutamakan rakyat dalam segala aspek sama ada pentadbiran atau pembangunan.
Malah beliau turut memetik ucapan Menteri Besar, iaitu `kalau rakyat mahu berubah, kita perlu berubah dan mesti mengubahnya’.
Bengkel berjaya menggariskan sembilan teras bagi mencapai agenda `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan'.
“Setiap program yang dilaksanakan oleh kerajaan haruslah dapat dinikmati secara terus oleh rakyat selain mendatangkan faedah kepada mereka. Sebagai contoh, program pembangunan dalam bentuk ekonomi `chain-reaction’ akhirnya dapat dinikmati secara terus oleh rakyat,” kata beliau.
Malah, sepuluh teras pembangunan sesebuah kerajaan adalah pendidikan dan sumber manusia; pembasmian kemiskinan dan penjanaan pendapatan rakyat; pembangunan sktor ekonomi secara lebih fokus; industri kecil sederhana dan keusahawanan.
Lain-lain teras pembangunan termasuklah infrastruktur, kemudahan asas dan komunikasi; penyediaan perumahan; pembangunan bandar dan pusat pertumbuhan; alam sekitar dan sumber asli; pembangunan masyarakat dan sosial serta pengurusan awam.
Katanya, fokus kerajaan negeri pada hari ini adalah memberi keselesaan kepada rakyat di semua peringkat.
Pada masa yang sama, jentera kerajaan juga harus mengambil berat dan menekankan teguran dan pesanan Menteri Besar terutama pentadbiran yang mesra rakyat; pegawai yang sentiasa turun padang untuk berjumpa rakyat; menjaga amanah; tidak menangguh kerja; memendekkan masa menunggu; disiplin dan menepati masa; kebersihan; kepentingan ilmu dan perubahan sikap.
Malah, kelemahan pekerja kerajaan akan diterjemahkan oleh rakyat sebagai kelemahan kerajaan dan jentera kerajaan harus menjalankan peranan masing-masing dengan bertanggungjawab supaya kerajaan yang ada akan terus dihormati dan mewujudkan sebuah pentadbiran yang kuat.
Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)