Halaman

11 April 2010

Hargai Tanah Warisan

Oleh: Esah Abdullah

KUALA TERENGGANU, 11 April - Pengorbanan dan susah payah generasi dahulu yang menggunakan tulang empat kerat membersih kawasan hutan untuk dijadikan kawasan pertanian yang diwarisi oleh anak cucu mereka hari ini perlu dihargai.

“Semua pihak harus menjaga dan menggunakan sebaik mungkin tanah peninggalan orang tua kita,” kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri di majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah di Dewan UMNO Kuala Nerus, Pekan Batu Enam, Kuala Nerus hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh dan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kuala Terengganu, Haji Mat Arshad Mohamad.

Dato’ Mohd Nasir berkata proses pemberian geran berkenaan tertangguh sejak lebih 40 tahun dulu menyebabkan ada beberapa kes pemilik asal sudah meninggal dunia dan hari ini tanah itu diwarisi pula kepada anak-anak dan juga isteri.

“Disebabkan pelbagai masalah, pemberian geran tanah hanya baru dapat diselesaikan sekarang dan saya ingat ketika menjadi Ketua Pemuda (UMNO Bahagian) pada tahun 80-an dulu perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat,” katanya.

Beliau seterusnya mengajak semua yang menerima geran tanah supaya sentiasa bersyukur kerana masih berpeluang memiliki tanah berikutan pada masa akan datang tidak ada lagi tanah untuk diagihkan.

“Dengan harga tanah yang melambung sekarang, jangan pula selepas ini ada yang sanggup menjualnya untuk mendapat wang yang banyak kerana kita perlu menghargai susah payah orang dulu hendak mendapatkan tanah ini,” katanya

Dato’ Mohd Nasir kemudiannya menyerahkan geran tanah kepada 83 peserta dari Baroh Tok Jiring (26 orang), Rancangan Tanah Pinggir (RTP) Batu 14 / 18 (12 orang) dan RTP Bukit Sudu (45 orang),

TEGANUKITA