Halaman

08 April 2010

Sidang Dewan Undangan Negeri ke-12 (hari ketiga)


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menurunkan tandatangan kepada salah seorang pelajar yang datang mengikuti perjalanan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


KUALA TERENGGANU, 7 April 2010 -


Peruntukan Khas Wujud Tandas BMW

Peruntukan khusus dan mencukupi bagi menjaga dan menyelenggara tandas awam seluruh negeri yang diperuntukkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuktikan kerajaan negeri serius menjaga kebersihan kemudahan awam itu.

Bagaimanpun, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, melahirkan rasa kesal dan sedih dengan mentaliti rakyat terutama orang Islam masih rendah kerana gemar mengotorkan tandas awam dan juga tandas di masjid yang menjadi tempat ramai pelawat dari luar Terengganu singgah ketika bersolat.

Dato’ Ahmad (BN-Kijal) yang juga Pengerusi Kerajaan Tempatan berkata dua perkara yang harus ditekankan daalam aspek menjaga kebersihan tandas iaitu pengurusan dan penjagaan serta mentaliti pengguna kemudahan itu sendiri.

“Kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan yang besar untuk menyelenggara semua tandas awam peringkat daerah sebab itu ada satu dua kes terpencil seperti ini yang saya minta diberi laporan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu kalau betul tandas awam yang dijaga oleh majlis daerah ini tidak dijaga dengan sempurna,” kata beliau sebagai mengulas soalan tambahan dikemukakan YB Haji Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) dalam persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) ke-12 (Hari Ketiga), di Wisma Darul Iman, hari ini (7 April).


SUK, Dato' Mazlan Ngah berbual dengan ahli DUN ketika sesi rehat.

Haji Abdul Wahid sebelum itu mempersoalkan kebersihan tandas awam dan merujuk rungutan seorang rakannya dari luar negara mengenai tahap kebersihan tandas awam di Penarik, Setiu yang tidak mencapai tahap BMW atau bersih, menawan dan wangi.

Menteri Besar turut kesal dengan sikap segelintir wanita yang tidak bijak ketika menggunakan tandas apabila ada di kalangan mereka sanggup membuang lampin pakai buang bayi dan tuala wanita di dalam mangkuk tandas mengakibatkan memerlukan masa sehingga dua minggu hingga sebulan untuk membersihkan semula tandas berkenaan.

Dato’ Ahmad berkata, jika hanya kerajaan memperuntukkan belanja yang khas dan mencukupi untuk kerja menjaga dan menyelenggara tandas, tetapi sikap masyarakat tidak berubah sehingga dengan mudah mengotorkan kemudahan awam itu, usaha untuk menjadikan kemudahan awam itu bersih pasti tidak berhasil.

“Kalau jaga macam mana pun, (tukang bersih) paling belakang kotor balik..tiada makna. Kita belanja ratusan ribu setahun jaga tandas, malah tiada negeri lain yang buat seperti Terengganu belanja khusus untuk menjaga tandas kecuali Terengganu,” katanya.

Beliau turut mengambil contoh apa yang pernah diperkatakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana banyak kejayaan sudah dicapai dalam pembangunan, tetapi pada masa yang sama masih juga gagal

“Sebab itu Tun Dr Mahathir pernah menyebut, dia boleh mengubah negara kita dari segi fizikal sebagai sebuah negara setaraf dengan negara maju..kita ada Twin Tower, hebat-hebat pembangunnanya, cerdik pandai..tetapi dari segi mentaliti oang kita masih lagi di tahap dunia ketiga,” katanya.


Pelajar sekolah sempat merakam kenangan bersama Menteri Besar.


Manfaat Naik Taraf MPD

Sebelum itu, Dato’ Ahmad ketika menjawab soalan YB Haji Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Sura) berhubung kemudahan yang boleh dimanfaat oleh penduduk hasil naik taraf Majlis Daerah Dungun kepada Majlis Perbandaran Dungun (MPD), berkata banyak faedah yang diperolehi termasuk pertambahan kakitangan dan peluang mengisi lebih banyak jawatan di majlis perbandaran itu.

Faedah kedua katanya melibatkan soal perbelanjaan dan peruntukan tahunan yang lebih tinggi membolehkan lebih banyak kemudahan serta infrastruktur asas dapat disediakan kepada rakyat seperti jalan, parit dan longkang, selain menambah keceriaan bandar berkenaan.


YB Ramlan Ali (kanan) sempat bergurau dengan YB Pas.

“Dengan naik taraf MPD sudah tentu secara nyata dapat dilihat dari segi fizikal seperti lampu, lanskap dan kecerian bandar.

“Sebagai contoh pada 2008 -2009 sahaja, MPD menerima peruntukan RM26, 144,290.80 bagi menyediakan segala kemudahan yang diperlukan, sesuai dengan naik taraf MPD termasuk juga kemudahan lain yang dibuat dari semasa ke semasa,” katanya.


Jangan Satu Kes, Semua Tidak Bagus- YAB Menteri Besar

Selain itu, Dato’ Ahmad meminta YB Wan Hassan supaya mengambil pendekatan yang baik dan bertindak rasional, walaupun terdapat satu kes kerosakan jalan di Sura sebagaimana yang dipertikaikan wakil Pas-Sura berkenaan ketika mengemukakan soalan tambahan kepada beliau.

“Jangan kerana satu kes jalan pecah (rosak) menyebabkan keseluruhan sistem itu tidak boleh dipakai. Inilah satu pendekatan yang tidak bagus, tidak baik sedangkan manfaat (naik taraf) lebih besar, peruntukan lebih besar diberikan.


Apa yang dibincangkan antara Dato' Ahmad (Wakil Kijal) dan Wahid Endut (Wakil Wakaf Mempelam) dan Dato' Seri Hadi Awang (Wakil Rhu Rendang) ketika berehat di lobi Dewan Undangan Negeri.

“Mungkin kerana banjir jalan pecah dan mungkin awal tahun peruntukan belum sampai untuk membaiki jalan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya pihak pembangkang tidak menjadikan isu kecil dan hanya kerana satu jalan di Sura (rosak) menyebabkan semua sistem jalan dan pembangunan di MPD itu tidak bagus.

Mahasiswa Wajar Diberi Komputer Riba

Kerajaan negeri diminta memberi perhatian kepada mahasiswa yang berjaya melanjutkan pelajaran diperingkat tertinggi supaya turut memberi kemudahan komputer riba percuma seperti mana yang dilaksanakan terhadap pelajar Tahun 4 dan 5 sebelum ini.

Dato’ Rosol Wahid (BN-Ajil) berkata, dia memuji pendekatan kerajaan negeri yang mengagihkan e-Book kepada pelajar berkenaan di mana tahun ini membabitkan peruntukan RM50 juta. Pada masa sama, diharapkan dapat mengeluarkan sedikit belanja untuk mahasiwa.

“Saya yakin jumlah yang bakal dikeluarkan untuk membeli komputer riba tidak begitu besar iaitu anggaran RM5 juta hingga RM10 juta sahaja, berbanding kos yang diperutukkan untuk membeli e-Book.

“Diharapkan pihak kerajaan menimbang cadangan yang dikemukakan ini sebaik mungkin supaya mahasiswa lebih semangat untuk menimba ilmu dan secara tidak langsung membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya ketika sesi perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.


Pelajar memenuhi tempat duduk pemerhati melihat perjalanan secara langsung Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Cadangan Akan Dikaji

“Cadangan yang dikemukakan Dato’ Rosol Wahid (BN-Ajil) untuk memberi kemudahan computer riba kepada mahasiswa akan dikaji dan jika bersesuaian, tidak salah dilaksanakan.

“Pendekatan itu akan diperbincangkan selepas selesai pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun 4 dan 5,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said secara ringkas kepada pemberita selepas sesi perbahasan.

TEGANUKITA