Halaman

18 May 2010

Kompleks Tabung Haji Terengganu Siap 2012

Oleh: Esah Abdullah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan majlis Pecah Tanah Kompleks Tabung Haji Terengganu, di Gong Badak, Kuala Terengganu hari ini (18 Mei).

Berkenan berangkat sama, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman; Menteri Besar Dato’ Ahmad Said; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor.

Kompleks Tabung Haji (TH) yang bertaraf tiga bintang dibangunkan di kawasan seluas 3.2 hektar dengan kos RM69.3 juta ini dijangka siap pada pertengahan 2012.

Terletak 12 kilometer dari Bandaraya Kuala Terengganu dan satu kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ini dilengkapkan 182 bilik, dewan bankuet serbaguna, kolam renang tertutup untuk wanita, taman air kanak-kanak serta beberapa kemudahan lain.

Dato’ Seri Jamil Khir dalam ucapan di majlis itu melahirkan rasa terimakasih kepada kerajaan negeri kerana telah menyerahkan kawasan tapak untuk dibangunkan kompleks TH yang akan memberi banyak manfaat kepada jemaah di negeri ini begitu juga Pahang dan Kelantan.

“Kompleks yang direkabentuk khas bersesuaian untuk kegunaan kegunaan semasa dengan dewan ketibaan khas untuk jemaah, tempat berdaftar dan imigresen, tempat pemeriksaan bagasi serta dewan berlepas,” katanya.

Kompleks ini akan dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh TH iaitu TH Properties Sdn Bhd dan akan digunakan untuk urusan operasi penerbangan haji bagi jemaah dari Wilayah Pantai Timur secara terus ke Jeddah dan Madinah tanpa perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Menurut Dato’ Seri Jamil, di luar musim haji dewan ini dapat digunakan sebagai dewan jamuan yang boleh memuat sehingga 1,000 orang disamping kemudahan lain seperti bilik mesyuarat, restoran dan kolam renang.

“Dengan adanya kompleks ini, proses mengurus para jemaah akan lebih teratur dan kawasan sekeliling yang luas dapat mengelak kesesakan trafik yang biasa berlaku apabila rombongan keluarga menghantar jemaah ke dewan berlepas,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pembinaan kompleks ini juga merupakan sasaran baru TH dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya yang lebih tertumpu kepada pasaran ekuiti.

“Dengan kadar permintaan penempatan yang tinggi dan berterusan kompleks ini dijangka dapat menjana pendapatan berulang untuk TH di samping dapat mengurangkan pendedahan TH terhadap pasaran saham yang mudah terpengaruh dengan emosi para pelabur dan ekonomi antarabangsa,” katanya.

Katanya, walaupun perkhidmatan pengurusan jemaah TH diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi dan negara-negara Islam lain sebagai yang terbaik di dunia, ini tidak bermakna TH terus berpuas hati, sebaliknya sentiasa mengambil inisiatif lain untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatannya.


TEGANUKITA