Halaman

17 May 2010

Maidam kumpul RM16 juta empat bulan pertama

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya memungut RM16 juta wang zakat manakala RM17 juta diagihkan kepada golongan fakir miskin bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Encik Wan Harujan Sulaiman, berkata walaupun agihan wang zakat lebih tinggi daripada perolehan, ia adalah lebihan wang zakat akhir tahun lepas yang masih belum sempat diagihkan.

"MAIDAM masih mempunyai kira-kira RM15 juta wang zakat yang belum sempat diagihkan pada akhir tahun lepas. Wang berkenaan kita agihkan pada tahun ini kepada fakir miskin," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada program MAIDAM Bersama Masyarakat Hulu Terengganu yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang, baru-baru ini.

Pada majlis itu, 120 orang fakir miskin diberi agihan wang zakat antara RM250 dan RM300 seorang, bantuan persekolahan untuk anak-anak orang miskin, bantuan membaiki rumah dan bantuan peralatan masjid.

Wan Harujan berkata tahun ini, MAIDAM menyasarkan untuk memungut antara RM60 juta dan RM65 juta sumbangan zakat perniagaan, zakat pendapatan serta zakat emas berbanding sebanyak RM74 juta yang diperoleh tahun lepas dan RM66 juta pada 2008.

TEGANUKITA