Halaman

02 May 2010

MB JUMPA RAKYAT DUNGUN DAN BESUT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Lawatan ke daerah-daerah oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said adalah suatu langkah yang berkesan bagi melihat sendiri keperluan rakyat di daerah yang dilawati.

Pada masa yang sama beliau dapat bertemu para pemimpin di daerah-daerah serta para pegawai yang ditugaskan dalam melaksanakan pembangunan, di samping menemui jentera yang paling hampir dengan rakyat iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Baru-baru ini beliau telah menemui rakyat di daerah Dungun dan sebelumnya di daerah Besut sebagai mengakhiri sesi lawatan ke daerah-daerah bagi kali ini.

Di daerah Dungun beliau mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM13.2 juta kepada Majlis Perbandaran Dungun (MPD) untuk proses menaik taraf sistem terbabit.

Dato’ Ahmad berkata, setelah mengadakan kajian serta membuat tinjauan ke beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berhadapan masalah itu, Kerajaan Negeri akhirnya memutuskan satu peruntukan segera diluluskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Ia bagi membaiki sistem perparitan sedia ada agar ia tidak memberi kerumitan kepada orang ramai ketika berhadapan musim banjir yang biasanya tiba pada penghujung tahun nanti.

Beliau berkata, dengan projek menaik taraf sistem perparitan di kawasan berkenaan, ia dapat mengurangkan masalah takungan air yang boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat yang dipercayai berpunca daripada sistem perparitan sedia ada yang kurang sempurna.

“Ini adalah lawatan saya yang terakhir bagi daerah untuk memastikan pembaikan jalan dan longkang dalam kerajaan tempatan.

Kita bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM13 juta kepada MPD bagi melaksanakan kerja pembinaan longkang dan jalan, termasuk pelebaran jalan RM35 juta.

“Ini menjadikan jumlah untuk peruntukan pembinaan longkang bagi Daerah Dungun selama dua tahun bagi 2010 dan 2011 sebanyak RM34 juta, yang tidak siap kita akan bawa ke hadapan,” katanya

“Saya percaya ia dapat menyelesaikan banyak sistem perparitan dan kita akan beri penekanan pada ‘monsoon drain’,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Dungun.

Sementara itu lawatan Menteri Besar ke daerah Besut merupakan suatu yang sungguh bermakna.

Dato’ Ahmad dan Dato’ Seri Idris Jusoh (Aahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jerteh) dalam suasana yang amat mesra bersama-sama turun padang untuk melihat keperluan rakyat serta perjalanan projek pembangunan yang perlu untuk rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali, Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad, Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar serta Adun Kota Putera, Mohd Pehemi Yusof turut bersama-sama dalam lawatan Menteri Besar.

Mereka bergandingan bahu meninjau masalah rakyat khususnya longkang, kawasan perumahan, jeti nelayan, kawasan penanaman padi serta banyak lagi.

Lawatan Dato’ Ahmad bermula jam 9.00 pagi berakhir jam 5 petang dan hanya rehat makan tengah hari antara jam 2 hingga 3 petang di kediaman Pegawai Daerah Besut.

Dalam tinjauan dari Jabi ke Hulu Besut, Jerteh, Seberang Jerteh, Kuala Besut dan Kota Putera, Menteri Besar dapat menyelami sendiri masalah yang dihadapi rakyat.

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta untuk daerah Besut bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur dan pembangunan di daerah berkenaan.

Dari jumlah itu, RM7.6 juta diperuntukkan bagi membina kemudahan sistem perparitan dan saliran lebih besar bagi mengatasi masalah banjir di daerah ini, sementara RM2.4 juta pula bagi tujuan membina jalan baru ataupun menaik taraf jalan sedia ada.

Peruntukan itu tidak termasuk dalam bajet Pihak Berkuasa Tempatan, Besut yang diumumkan sebelum ini iaitu RM2.7 juta dan tambahan RM2.3 juta.

Sebenarnya jumlah keseluruhan yang diluluskan termasuk peruntukan kelmarin sebanyak RM15 juta bagi memberi kemudahan kepada rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan ahli JKKK di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong, dekat Jertih, Dato’ Ahmad berkata, antara projek pembangunan yang akan dijalankan bermula tahun ini sehingga tahun depan adalah membesarkan dan membina longkang di semua DUN.

Selain itu, usaha akan dijalankan bagi membina saliran ke kawasan sawah padi terbiar seluas 92 hektar di Baroh Raja dekat Kampung Dengir yang sebelum ini tidak dapat diusahakan kerana masalah pengairan.

Kerajaan negeri juga akan membangunkan Hutan Lipur Lata Belatan dekat Jabi dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung.

Mengenai masalah jeti nelayan di Kuala Besut, Dato’ Ahmad memberi jaminan masalah itu akan dapat diatasi pada tempoh segera.

Demikian, Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan.

TEGANUKITA