Halaman

07 June 2010

Kelapa pandan dan nenas beri pulangan lumayan

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri mensasarkan 400 hektar ladang kelapa pandan dapat diwujudkan di daerah Setiu yang diusahakan secara berkelompok oleh golongan miskin bagi menjana pendapatan lebih baik.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, sehingga ini seluas 200 hektar sudah dikenal pasti di Kubang Puyu, Langkap dan usaha ke arah menjadinya satu realiti akan dimulakan secepat mungkin.

“Kerja-kerja menanam anak pokok kelapa mungkin dimulakan awal tahun depan apabila kerja pembersihan kawasan dan pembinaan perparitan dilaksanakan hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Berkelompok Tanaman Nenas di Kampung Bukit Kecil, Setiu petang semalam (6 Jun).

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri merangkap Ahli Dewan Undangn Negeri (DUN) Langkap, Haji Ashaari Idris; Pengarah Pertanian Terengganu, Haji Md Yusof Maidin dan Pegawai Daerah Setiu, Haji Mohd Akil Mat.

Katanya, 100 hingga 110 pokok mampu ditanam bagi setiap hektar dan dengan harga borong buah kelapa antara RM1 hingga RM1.50 setiap sebiji, peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) mampu menjana pendapatan lumayan.

Sehubungan itu katanya, seramai 80 orang terbabit mengusahakan tanaman nenas secara berkelompok di kawasan seluas 72 hektar di Kampung Bukit Kecil telah mengeluarkan hasil.

“Dalam projek fasa ke dua tahun ini dijangka seluas 14 hektar membabitkan 14 pserta baru sudah memulakan projek dan dalam fasa tiga 18 hektar lagi dibuka,membabitkan 18 peserta,” katanya.

Katanya, setiap hektar mampu memuat 35,000 pokok nenas dan sehingga ini kos keseluruhan projek mencecah hampir setengah juta membabitkan kerja-kerja membina perparitan bersih tapak, baja dan benih pokok dan pagar.

“Saya harap peserta tidak menunggu bantuan daripada kerajaan lagi selepas mendapat hasil jualan pertama bagi memberi peluang orang lain yang baru memulakan projek pula dibantu,” katanya.

Katanya dalam fasa pertama projek tanaman nenas ini mampu mengeluarkan 1,600 metrik tan buah ennas dengan nilai pengeluaran RM1,6 juta dan purata pendapatan peserta sekitar RM1,112 sebulan.

Menteri Besar turut meluluskan peruntukan RM350,000 untuk membina pagar dan parit di samping melengkapkan peralatan di bangunan kilang memproses produk nenas seperti kordial, sos dan sebagainya yang diusahakan oleh isteri peserta sendiri.

TEGANUKITA