Kecemerlangan seseorang tidak diukur pada pencapaian akademik semata-mata sebaliknya keluhuran peribadi dan tinggi akal budi menjadi wadah dalam memertabatkan bangsa, agama dan negara.
“Pelajar hebat adalah mereka yang dapat mengimbangi antara ilmu duniawi dan ukrawi,” kata Isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud di majlis penutup Program Khas Asasi Ulul Albab (tingkatan satu) , Sekolah Menengah Imtiaz di Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Serada, Kuala Terengganu petang semalam (2 Jun).
Hadir sama, Timbalan Pengarah Yayasan Terengganu, Encik zakaria Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Imtiaz, Encik Mazlan Che Wil.
Katanya, dunia hari ini menuntut kekuatan rohani serta fizikal yang mantap dalam diri setiap pelajar untuk menghadapi cabaran dan persaingan dunia tanpa sempadan.
“Pelajar di SMI ini amat bertuah kerana berpeluang belajar banyak bahasa seperti bahasa Arab dan Mandarin selain bahasa Inggeris berbanding sekolah lain dan peluang sebegini tidak harus dipersiakan oleh pelajar,” katanya.
Katanya, program Ulul Albab ini merupakan satu usaha murni untuk melahirkan individu soleh teknorat yang hafiz al-Quran disamping memberi pendedahan kepada pelajar mengarap nilai murni bertunjangkan al-Quran.
“Saya berharap ibu bapa sentiasa memberi dorongan dan kerjasama kepada anak-anak mereka dan para guru, agar usaha melahirkan generasi Ulul Albab di bumi Terengganu Anjung Ilmu ini berjaya dicapai,” katanya.
Katanya, dengan mendokong tiga teras utama program iaitu al-Quran (Quranik), bahasa Arab (Ensiklopedik) dan Pesonaliti (Ijtihadik), elemen-elemen ini diserapkan dalam diri pelajar dengan harapan menjadikan mereka seorang professional yang dapat menyumbang kearah pembangunan dan kemajuan Islam di masa hadapan.
To’ Puan Norliza kemudiannya telah menyampaikan Anugerah Tokoh Ulul Albab kepada empat pelajar iaitu Muhamad Amin Asyraf Noor Zeli (Imtiaz Besut), Nurul Izzatie Zuraime (Imtiaz Dungun),Abdullah Muaz Majdan (Imtiaz Kuala Berang) dan Muhammad Izzat Farhan Fazri (Imtiaz Kuala Terengganu).
TEGANUKITA