Murid Sekolah Kebangsaan Duyung, Kuala Terengganu, adik Abdul Syuaib Zahari, 11, menunjukkan e-Book kepada bapa saudaranya, Ismail @ Mohd Chitab Othman, 62, yang bekerja sebagai nelayan selepas majlis pengagihan e-Book oleh Menteri Besar. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Terengganu merupakan yang pertama di Asia Tenggara menggunakan e-Book kepada pelajar-pelajar sekolah rendah, demikian diberitahu oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.
Beliau memberitahu, Naib Presiden Intel Corporation, John E.Davies yang menemuinya baru-baru ini menyifatkan negeri ini setaraf ke hadapan dengan negara-negara maju yang menggunakan kemudahan komputer dalam pembelajaran, khususnya e-Book.
Dato' Ahmad menyampaikan e-Book kepada pelajar sekolah dalam kawasan DUN Manir.
“Pengiktirafan itu adalah suatu bukti bahawa apa yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri suatu pendekatan yang jauh ke hadapan dalam bidang pendidikan dan pelajaran yang disesuaikan dengan budaya dan acuan kita sendiri,’ katanya di majlis penyampaian e-Book dan bantauan pakaian sekolah, Parlimen Hulu Terengganu, di Dewan Komuniti Manir semalam (1 Jun).
Dalam majlis itu sebanyak 411 murid-murid Than Lima dari enam buah sekolah di Parlimen tersebut menerima e-Book percuma dari kerajaan negeri yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Ahmad kepada setiap orang murid bersama ibu bapa masing-masing.
Terlalu gembira selepas mempelorehi e-Book daripada Menteri Besar, adik Muhammad Syazwan,11, dari Sekolah Durian Mas, Manir, terus ke bendang untuk menunjukkan e-Book kepada ayahnya, Mohd Sulong, 48, yang berkerja sebagai petani.
Dato’ Ahmad berkata, pemberian itu kepada semua murid tanpa mengira fahaman politik keluarga mereka kerana sebagai soal pendidikan adalah soal penting dan masa depan mereka mengatasi kepentingan politik kepartian.
“Apa yang penting ialah rakyat keseluruhan, sama ada miskin atau kaya mendapat peluang pendidikan terkini dan itulah sebenarnya pendemokrasian pendidikan di negara kita pada masa ini,’ katanya.
Majlis pengagihkan e-Book kepada pelajar DUN Bukit Tunggal di Pulau Duyung.
Beliau kesal sesetengah pihak yang menuduh kononnya sistem pendidikan di negara ini sekular dan tidak selari dengan kehendak agama Islam tanpa memahami konsep ilmu dan pembelajaran sebenar dalam Islam yang menyeluruh sifatnya, termasuk untuk keperluan dunia dan akhirat.
Katanya, Nabi Muhamad sendiri semasa hayatnya pernah meminta umat Islam menuntut ilmu sehingga ke negara China, sebagai bukti menunjukkan bahawa tidak salah belajar ilmu yang berkaitan hal ehwal dunia dan moden kerana waktu itu negara China cemerlang dari segi ilmu pembuatan kertas, binaan dan perniagaan.
Murid kembar turut menerima e-Book.
Beliau juga memberi tahu penggunaan e-Book bukan sekadar salinan kepada sukatan buku teks semata-mata, tetapi melaluinya akan diwujudkan kelas-kelas maya, tutorial dan peperiksaan secara online yang akan dikawal secara terus oleh guru-guru yang juga menggunakan komputer sebagai alat dan sistem dalam pembelajaran.
“Bahkan di dalam e-Book juga dimasukkan program berkaitan keagamaan seperti panduan sembahyang, al-Quran dan tafsir, panduan mengurus jenazah dan doa-doa harian,” katanya.
Menteri Besar melihat murid menggunakan e-Book.
Beliau berharap guru-guru dan ibubapa menerima perubahan ini secara positif kerana kita perlu menyediakan generasi yang membudayakan teknologi maklumat (ICT) apabila dunia akan datang semuanya berasaskan ICT sama ada dalam ekonomi, perbankan, perubatan dan segala-galanya berteraskan penggunaan teknologi itu.
Dato’ Ahmad meminta supaya e-Book yang diberikan secara percuma itu dijaga dengan baik dan diawasi agar tidak disalahgunakan untuk tujuan lain yang tidak mendatangkan faedah.
Katanya sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan membaiki kerosakan e-Book serta melantik pegawai teknikal yang bertugas supaya tidak menimbulkan masalah dalam penggunaan e-Book.
Beliau menjangkakan e-Book itu boleh digunakan pula sehingga ke tingkatan satu, setelah murid-murid yang memperolehi e-Book ini meneruskan pelajaran mereka ke peringkat menengah.
Katanya, pada bulan Julai depan murid-murid Tahun Empat pula akan diberi e-Book percuma sebagaimana perancangan di bawah peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pembelian e-Book oleh kerajaan negeri pada tahun ini.
Pasangan kembar dari sekolah DUN Bukit Tunggal gembira menerima e-Book.
“Manakala pada tahun hadapan, kerajaan negeri bercadang untuk memberi juga e-Book kepada murid Tahun Dua dan Tiga supaya pembelajaran e-Book bermula di peringkat awal lagi,” katanya.
Sementara itu semasa berucap di majlis yang sama di Duyong bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Tunggal, beliau berkata, hasrat kerajaan negeri ialah supaya setiap rumah di negeri ini mempunyai sekurang-kurangnya satu komputer.
Di majlis itu seramai 359 murid dari tiga buah sekolah menerima bantuan e-Book . Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri.
TEGANUKITA