Halaman

31 May 2010

TERENGGANU MELANGKAH GAGAH KE SUKMA KE TIGA BELAS DI MELAKA

Oleh: Nurul Faizah Abdullah

Kontinjen Sukma XIII Terengganu bersedia untuk mengulangi kejayaan cemerlang yang dicapai dua tahun lalu dan mengharumkan nama Terengganu di arena sukan pada kejohanan Sukma ke 13 yang bakal diadakan di Melaka bermula 10 hingga 19 Jun ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Encik Rosdi Awang memberitahu pihaknya berusaha untuk memberikan yang terbaik dan mengekalkan kejuaraan Terengganu sebagai juara Sukma XIII di temasya sukan Malaysia itu nanti.

“Setakat ini, para atlit dipersiapkan dengan latihan yang konsisten di sini, dan menyertai beberapa kejohanan peringkat kebangsaan sebagai persediaan untuk mewakili negeri ke Sukma XIII.

Malah, Terengganu turut menghantar atlit untuk beberapa acara yang berpotensi bagi merangkul emas seperti basikal, tinju, sepak takraw, ekuestrian dan silat ke luar negara melalui program attachment training,” katanya ketika ditemui di Gerbang Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.

Menurutnya, program tersebut melibatkan beberapa buah Negara seperti Thailand, Indonesia dan Australia.

“Malah, pihak Majlis Sukan Negeri juga turut mendapatkan khidmat jurulatih asing dari China untuk acara gimnastik dan lawan pedang, Thailand bagi acara sepak takraw dan tinju, dan Indonesia bagi acara lawan pedang.

Selain jurulatih yang dibawa dari luar negara, pihak kami juga menggunakan khidmat jurulatih tempatan,” katanya.

Selain sesi latihan yang berterusan, pihak MSN juga sentiasa mengadakan pertemuan dengan para atlit untuk meningkatkan semangat dan motivasi mereka.

“Beberapa siri kem motivasi diadakan untuk memperkuatkan mental dan emosi mereka seperti yang diadakan di Pusat ICT,Telok Kalong, Kemaman dan di Kem Rasa, Kerteh.

Terengganu mensasarkan 66 emas dan menjuarai sekurang-kurangnya lapan acara yang dipertandingkan pada kejohanan Sukma XIII kali ini dan berharap lebih banyak rekod baru bakal dicipta oleh atlit-atlit Terengganu di kejohanan sukan tersebut.

“Pihak kami berharap, seluruh rakyat Terengganu sama-sama berdoa akan kejayaan para atlit yang bakal berjuang untuk mengharumkan nama Terengganu di arena sukan dan sebaris dengan atlit-atlit profesional yang sedia ada, “ katanya.

TEGANUKITA