Halaman

31 May 2010

PENERIMA BANTUAN JKM TERENGGANU DAPAT KADAR TERTINGGI

Oleh: Nurul Faizah binti Abdullah

Terengganu adalah negeri yang paling tinggi memperuntukkan kadar bantuan kepada penerima bantuan yang layak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri iaitu antara RM200 hingga RM400 untuk setiap penerima.

Pengarahnya, Encik Zuhami Omar berkata berbanding dengan sesetengah negeri lain memperuntukan bantuan kurang dari RM 100 untuk setiap penerima yang layak.

“Keadaan ini membuktikan bahawa penerima bantuan di negeri ini memperolehi pendapatan yang lebih selesa,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau juga memberitahu setiap tahun hampir RM60 juta dibelanjakan bagi tujuan tersebut .

Katanya pada tahun ini pihaknya juga berjaya mengurangkan jumlah wang peruntukan sebanyak RM2 juta dari peruntukan kerajaan negeri berbanding pada tahun 2009, meskipun jumlah penerima bantuan pada tahun 2010 menunjukkan peningkatan.

Pengurangan wang peruntukan dari kerajaan negeri pada tahun 2010 adalah kerana kerajaan pusat menambah jumlah wang peruntukan untuk diagihkan kepada penerima bantuan yang layak.

Beliau menjelaskan bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat terbahagi kepada dua, iaitu skim bantuan am Negeri dan skim bantuan Persekutuan.

Antara jenis-jenis bantuan yang diperuntukan di bawah bantuan am negeri ialah, bantuan bulanan kepada warga tua, balu dan tanggungan, anak yatim miskin, tanggungan banduan, pusat tahanan dan pesakit.

Manakala bantuan sekaligus seperti bantuan sekolah, bantuan pemulihan bencana, dan bantuan segera bagi kes-kes seperti kes terdampar dan memerlukan bantuan segera.

Bantuan Persekutuan seperti bantuan kanak-kanak, orang Tua, Orang Kurang Upaya (OKU) yang bekerja dan tidak bekerja, pesakit terlantar dan lain-lain disalurkan melalui JKM setiap bulan.

Menurutnya, pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk membebaskan penerima bantuan daripada belenggu kemiskinan.

“Namun, bantuan yang disalurkan ini bukan bersifat warisan, sekiranya si bapa mendapat bantuan daripada JKM tidak bermakna si anak dan generasi seterusnya layak untuk mendapat bantuan. Semuanya bergantung kepada pendapatan isi rumah, “ katanya.

Encik Zuhami turut menjelaskan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak sekadar menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan, malah JKM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling, perintah khidmat masyarakat untuk pesalah juvana, pembangunan komuniti dan sebagainya.

TEGANUKITA