Halaman

15 July 2010

Generasi Kedua Orang Asli Miliki Rumah Baru

Oleh : Aida Abdul Rahman dan Wan Haironniza Wan Naim

Generasi kedua masyarakat orang asli Sungai Pergam, Kemaman bakal memperolehi tanah tambahan sebanyak 400 ekar dan 40 buah rumah baru dan kerja-kerja pembinaan akan bermula pada tahun 2011.

Kesemua mereka berjumlah 469 orang dan merupakan penganut agama Islam. Menteri Besar Dato’ Ahmad Said menyampaikan berita baik ini kepada penduduk orang asli itu, sempena majlis ramah mesra beliau dengan orang-orang asli di kampung tersebut baru-baru ini.

Katanya, kerajaan mengeluarkan kos sebanyak RM33,000 bagi satu unit rumah baru tersebut dan ini merupakan salah satu manifestasi kerajaan negeri dalam merakyatkan pentadbiran dan pembangunan bagi masyarakat orang asli.

Dijangkakan pembinaan tersebut akan siap dalam setahun dan kerajaan menyediakan rumah diperbuat dari batu kepada mereka agar lebih kukuh dan selesa.

"Kita tidak mahu masyarakat orang asli terpinggir dalam menikmati transformasi pembangunan, dan mereka juga berhak untuk turut menikmati sama arus pembangunan
dan permodenan yang berlaku di negara ini”, katanya dalam majlis tersebut.

Orang asli Sungai Pergam ini bertutur menggunakan ‘bahasa samakbri’ dalam pertuturan harian.

“Saya telah biasa dengan mereka dan boleh memahami apa yang disampaikan kepada saya walau pun menggunakan bahasa Malaysia yang bercampur dengan bahasa ibunda mereka itu,” kata Dato’ Ahmad.

Ketibaan Menteri Besar itu disambut dengan penuh adat tradisi masyarakat orang asli termasuk tarian sewang yang dikenali sebagai tarian selamat datang dipersembahkan bagi menyambut kedatangan pemimpin utama kerajaan negeri ke kampung mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Pergam, Roslan Ismail berkata, pemberian tanah tambahan dan rumah kepada mereka amatlah dihargai.

Katanya, ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengamalkan dasar diskriminasi, malah semua golongan diberi perhatian.

“Kesudian Menteri Besar datang ke Sungai Pergam ini akan kami kenang sampai bila-bila dan saya berharap selepas ini beliau akan datang lagi,” katanya.

Lawatan Dato’ Ahmad ke kampung itu adalah merupakan salah satu program mendampingi penduduk daerah Kemaman yang merupakan daerah asal beliau.

TEGANUKITA