Biarlah kebencian hanya ditujukan kepada pemimpin kerana mereka boleh datang dan pergi tetapi jika benci pada parti memerintah ia akan memusnah masa depan generasi hari ini.
Peringatan ini diluahkan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Setiu, Di Sekolah Menengah Tengku Ibrahim, Setiu semalam (9 Julai).
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, YB Abdul Halim Jusoh dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiu, Hajah Wan Maznah Nong.
“Saya lebih rela dibenci tetapi tidak rela parti dicemuh, kerana parti banyak berjasa kepada kita sejak dulu,” katanya dihadapan lebih 400 perwakilan wanita yang hadir dari 149 cawangan dalam Parlimen Setiu.
Ashaari juga mengingatkan setiap perancangan yang dilakukan memerlukan kesesuaian dengan keadaan sekeliing sebaliknya jangan rancang perkara yang tidak sepadan dengan kemampuan yang ada.
“Apa yang dilakukan biarlah berpijak dibumi nyata, barulah perancangan yang dibuat berjalan lancar dan orang pun tidak mengata,” katanya.
Katanya, hidup bermasyarakat juga perlu saling ingat mengingati, jika ada masalah cepat-cepat selesaikan, jangan tunggu ia menjadi barah baru nak berubat, akibatnya menjadi bertambah rumit dan berpanjangan.
“Jangan ulangi kesilapan pada 1999 lalu di bawah kerajaan pembangkang yang merugikan rakyat dan Barisan Nasional perlu dipertahankan untuk meneraju negara kerana jasanya kepada rakyat tidak ternilai dengan wang ringgit,” katanya.
TEGANUKITA