Pengunjung menguji langkah penganjur mempelbagaikan aktiviti sepanjang Kojohanan Sultan Cup Terengganu Endurance di Lembah Bidong, Setiu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.
Ribuan pengunjung yang hadir menyaksikan Kejohanan Sultan Cup Terengganu Endurance Challege (SCTEC) 2010, di International Endurance Park (TIEP)Lembah Bidong, Setiu memuji langkah pihak penganjur yang mempelbagaikan aktiviti berbanding tahun sebelum ini.
Kejohanan selama tiga hari dan berakhir hari ini (7 November), bertemakan Kuda Bersongket simbol kekayaan warisan Terengganu bukan sahaja dikunjungi penduduk tempatan malah luar Terengganu terutama Kelantan.
Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk, wayang pacak, persembahan tarian kebudayaan dan tradisi, permainan berkuda, tunggangan poni dan kereta berkuda.
Tinjauan pemberita Teganukita pada hari pertama kejohanan mendapati, kebanyakan pengunjung yang datang bersama keluarga mengambil kesempatan bergambar bersama replika kuda yang menampilkan corak batik, songket, kartun dan bendera pelbagai negara.
Pengunjung dari Kota Bharu, Junita Shuib, 32, berkata dia teruja dengan aktiviti yang dianjurkan kerana cukup berbeza berbanding di tempat lain, bukan saja berbaloi bagi kami sekeluarga yang datang dari jauh malah dapat merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Diharapkan pihak penganjur sudi meneruskan aktiviti ini di tahun hadapan, sekiranya berkemampuan memperbanyakkan lagi program sedia ada,” katanya.
Seorang lagi pengunjung dari Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, Hasmadi Endut, 28, berkata dia tertarik untuk datang sempena SCTEC kerana mengetahui penganjuran kali ini cukup berbeza.
“Wayang pacak yang mempersembahkan filem kegemaran iaitu Transformers II, bagaikan satu bonus bagi saya dan rakan di mana tidak perlu pergi jauh untuk menonton wayang,” katanya.
TEGANUKITA