Halaman

05 November 2010

Terengganu Lulus 600 Hektar Untuk Projek Herba Dan Kambing Boer

KUALA TERENGGANU, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri telah meluluskan kawasan seluas 600 hektar kepada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Dungun dan Setiu untuk dilaksanakan projek tanaman herba dan ternakan kambing Boer.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri meluluskan seluas kira-kira 400 hektar di Pasir Raja, Dungun untuk tanaman herba dan 200 ekar untuk projek ternakan kambing Boer di Pancor Bederu, Setiu.

"Kita harap kedua-dua projek ini dapat membantu dan meningkatkan pendapatan penduduk kampung," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyurat exco kerajaan negeri di sini Rabu.

Ahmad berkata projek tanaman herba di Pasir Raja itu merupakan projek tanaman herba secara komersial yang pertama dilaksanakan di Terengganu.

Beliau berkata sekarang ini kerja-kerja mengukur kawasan sedang dilaksanakan dan penanaman pokok herba seperti tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing dan lain-lain akan dimulakan awal tahun depan.

Katanya pokok-pokok herba itu merupakan herba yang popular dan mendapat sambutan di pasaran pada masa ini.

Beliau berkata di Pancor Bederu, buat permulaannya kira-kira 2,000 ekor induk kambing Boer telah ditempatkan di situ yang akan diusahakan oleh 150 orang golongan miskin tegar.

Dalam masa yang sama, Ahmad berkata kerajaan akan membina 100 unit rumah di kawasan tersebut untuk golongan miskin tegar untuk bekerja di ladang itu.

"Selepas lima tahun rumah itu akan menjadi milik mereka sekiranya mereka bekerja dengan baik. Pendapatan mereka dianggar melebihi RM1,500 sebulan, sekaligus mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan," katanya.



-- BERNAMA