Halaman

03 November 2010

Jasa Pendidik Diiktiraf Kerajaan Negeri

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Pengorbanan guru yang mampu melahirkan generasi berwibawa dan berkebolehan sehingga bergelar cendekiawan tidak pernah dipandang sepi kerajaan negeri.

Pelbagai pengiktirafan diberikan termasuk menaja lawatan sambil belajar kepada pengetua, guru besar dan guru penolong kanan yang berjaya merealisasikan hasrat kerajaan negeri khususnya dalam merekodkan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam keempat-empat peperiksaan awam negara ini.

Terbaru, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said meraikan 3,568 guru sekolah menengah dan rendah seluruh Kuala Terengganu sambil menyampaikan pemacu kilat (pendrive) eksklusif sebagai cenderahati kenang-kenangan kepada seorang demi seorang guru berkenaan.

Dato’ Seri Ahmad berkata, cenderahati itu sebagai kesinambungan kepada usaha memastikan Terengganu bukan sahaja muncul sebagai `negeri anjung ilmu’, bahkan menjadikan formula `201052’ sebagai sasaran pencapaian cemerlang dalam empat peperiksaan utama tahun ini menjadi kenyataan.

“Jika Terengganu berjaya mengekalkan juara dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk kali kesepuluh berturut-turut tahun ini, seramai 50 guru besar dan guru penolong kanan yang berjaya mengekalkan prestasi terbaik akan dipilih menyertai lawatan sambil belajar ke luar negara,” kata beliau dalam Majlis Perjumpaan Bersama Guru Seluruh Kuala Terengganu, di Taman Tamadun Islam, kelmarin (30 Oktober).

Manakala 30 pengetua terbaik masing-masing bagi pencapaian Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut berpeluang ke luar negara sebagai insentif kecemerlangan daripada Kerajaan Terengganu.

Sementara guru yang berjaya mengekalkan rekod dua tahun berturut-turut terbaik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak terkecuali bakal menikmati percutian ke luar negara berdasarkan pencapaian peperiksaan itu kelak.

Dalam pada itu, kerajaan negeri membelanjakan RM2.4 juta bagi menyediakan cenderahati berkenaan kepada kira-kira 22,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh Terengganu.

Pertemuan Menteri Besar dengan guru di Kuala Terengganu adalah yang keempat selepas majlis bersama kira-kira 3,000 guru di Kemaman, diikuti Marang ( 1,966 guru) dan Hulu Terengganu melibatkan 1,830 guru.


TEGANUKITA