Halaman

03 November 2010

Imtiaz Yakin Dapat Keputusan Cemerlang Dalam SPM dan PMR

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Keempat-empat Sekolah Menengah Imtiaz, mensasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.03 bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 1.30 untuk Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) selepas cemerlang dalam peperiksaan percubaan lalu.

Pengarah Yayasan Terengganu (YT) Encik Aziz Mamat, pihaknya bangga dengan pencapaian yang ditonjolkan pelajar dan harap dapat dikekalkan di tahun seterusnya.

Katanya, Imtiaz juga meletakkan sasaran 60 pelajar daripada 186 jumlah calon SPM mendapat keputusan 11A manakala 20 pelajar 11A+ dalam peperiksaan kelak.

“Apa yang membanggakan, kesemua graduan lepasan Imtiaz berjaya menempatkan diri ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dan luar negara.

“Sehingga kini, seramai 50 pelajar ditawarkan melanjutkan pelajaran di universiti ternama luar negara iaitu Jordan dan Mesir. Kebanyakan mereka memilih bidang profesional seperti perubatan dan pergigian,” katanya ketika berucap sempena Majlis Anugerah Hafazan dan Haflah At-Takhaarruj 2010, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Razif Abd Rahman dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Seramai 509 pelajar tingkatan tiga dan lima dari Sekolah Menengah Imtiaz (Imtiaz) Besut, Imtiaz Dungun, Imtiaz Kuala Terengganu dan Imtiaz Kuala Berang diraikan sempena majlis itu yang diserikan dengan persembahan nasyid.

Manakala 177 pelajar yang berjaya khatam menghafaz 30 juzuk menerima Anugerah Hafazan dan seorang pelajar di setiap Imtiaz menerima Anugerah Ulul Albab.

Encik Aziz turut memberitahu, pembelajaran di Imtiaz adalah satu model pembelajaran holistik di mana setiap individu memaksimumkan tanpa meminggirkan aspek spiritual dan kerohanian.

Katanya, dalam usaha membudayakan al-Quran di kalangan pelajar, Imtiaz telah menerapkan program hafazan di dalam sistem pendidikannya.

“Setiap pelajar diwajibkan menghafaz satu muka surat sehari, satu juzuk sebulan dan khatam menghafaz 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun iaitu ketika di tingkatan tiga. Apabila masuk tingkatan empat dan lima, mereka perlu mengulangnya kembali,” katanya.

Sementara itu Encik Razif berkata, pendekatan pembelajaran di Imtiaz yang membudayakan al-Quran wajar dicontohi pelbagai pihak kerana anak-anak adalah pewaris bangsa dan bakal pemimpin ummah pada masa akan datang.

Katanya, semoga pembudayaan ini dapat menghasilkan generasi pintar al-Quran yang dapat mengembalikan kegemilangan tamadu Islam dan seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan negeri sebagai negeri `Anjung Ilmu’.

TEGANUKITA