Halaman

16 November 2010

Sesi Sekolah Dimulai Bacaan al-Quran

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Setiap pelajar Islam di sekolah menengah dan rendah seluruh Terengganu bakal memulakan sesi persekolahan harian mereka dengan membaca al-Quran selama 10 minit mulai tahun depan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud, berkata pendekatan itu sebagai usaha menyuburkan al-Quran dalam jiwa generasi muda serta penekanan serius kepada pembangunan sahsiah seiring dengan kecemerlangan akademik yang dicapai pelajar.

Beliau berkata pihaknya akan berusaha memastikan warga sekolah memiliki sahsiah dan akhlak yang mantap, selaras dengan usaha membasmi masalah disiplin kalangan pelajar sekolah di Terengganu.

"Bagi pelajar Islam yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil pula tenaga ustaz akan digunakan bagi menguruskan mereka secara berkumpulan," katanya kepada media, baru-baru ini.

Selain itu katanya semua program-program pembangunan sahsiah pelajar seperti perkhemahan akan dilaksanakan di dalam kawasan masjid mulai tahun depan.

Katanya, ia tidak lagi diadakan di resort atau di hotel-hotel sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

“Saya yakin tempat yang terbaik dalam usaha membangunkan sahsiah pelajar adalah masji d dan sekaligus turut emmbantu mengimarahkan institusi berkenaan.

“Umumnya masjid negeri besar dan indah, malah turut dilengkapi pelbagai kemudahan yang dapat dimanfaatkan dan pihak jabatan telah mendapat kerjasama jawatnkuasa masjid,” kata beliau.

Sementara itu, Encik Razali berkata semua sekolah di Terengganu akan dikehendaki mengadakan Solat Hajat sebelum cuti persekolahan bermula minggu depan, di samping satu lagi solat Hajat serentak di seluruh negeri yang dirancang sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan.

TEGANUKITA