Halaman

16 November 2010

Projek BBK hampir siap

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Bandar Baru Kijal (BBK), Kemaman yang sedang dibangunkan dengan membabitkan 12 komponen projek dan dianggarkan menelan kos sebanyak RM143.7 juta, kini lebih 80 peratus siap. .

Pembangunan yang melibatkan zon komersial, pejabat, jalan raya dan pelbagai kemudahan lain itu dibiayai melalui peruntukan kerajaan negeri dan Pusat.

Berkaitan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said meluangkan masa lebih dua jam bagi menghadiri Mesyuarat Projek Pembangunan BBK, semalam (14 November) di pejabat Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bagi mendapat gambaran terperinci.

Selepas mendapat penerangan daripada beberapa pihak berkaitan, Dato’ Seri Ahmad kemudiannya, bergegas ke tapak projek di Paya Lasir, Kijal, Kemaman bertujuan melihat secara dekat dan mengetahui perkembangan terkini.

Projek itu dibahagikan kepada dua fasa di mana fasa pertama adalah zon komersial yang dibangunkan pihak berkuasa tempatan dan fasa kedua adalah zon institusi yang akan dibangunkan oleh swasta.

Berdasarkan tinjauan Teganukita, pembangunan itu dimajukan di kawasan seluas 222.82 hektar, di mana sebelum ini hanyalah tanah terbiar yang ditumbuhi pokok nipah dan hutan tebal.

Tahap kemajuan pembinaan Pasar Raya Giant yang bernilai RM21 juta kini mencecah hampir 60 peratus manakala sistem prasarana menelan kos RM3 juta pula pada tahap 25 peratus

Apabila BBK yang dijangka siap awal tahun depan, kawasan itu bukan saja akan dibanjiri penduduk tempatan, malah penduduk negeri jiran seperti Pahang dan Kelantan dijangka datang untuk membeli-belah pelbagai produk termasuk pakaian sama seperti produk dijual di Nilai, Negeri Sembilan dan Segamat, Johor.

TEGANUKITA