Halaman

30 November 2010

Ladang kelapa Sawit Basmi Kemiskinan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Kerajaan negeri merancang mewujudkan projek ladang kelapa sawit seluas 40,000 hektar untuk membantu golongan miskin dan termiskin termasuk mengisi tabung Yayasan Terengganu (YT) bagi membiayai pelajaran anak-anak Terengganu pada masa depan.

“Kerajaan yakin apabila kelapa sawit ini mengeluarkan hasil, masalah kemiskinan di negeri ini dapat diturun ke angka sifar,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, dalam sidang media, selepas meninjau Projek Pembangunan Ladang Kelapa Sawit Sungai Besul, Hulu Paka, Dungun, semalam (25 November).

Katanya, kerajaan bercadang mengagihkan 20,000 hektar untuk golongan miskin yang diuruskan Lembaga Tabung Amanah dan 20,000 hektar lagi untuk membiayai pelajaran anak-anak negeri di bawah pengurusan Yayasan Terengganu (YT).

Menurut Dato’ Seri Ahmad, terdapat 9,000 hektar ladang kelapa sawit yang terdapat di Sungai Besul ini terbahagi kepada tiga fasa dan proses menanam bermula sejak April lalu dan akan berakhir tahun depan.

“Saya yakin kita dapat menyelesaikan masalah kemiskinan bila agihan hasil ladang dapat dilaksanakan kerana mengikut harga semasa, seribu hektar akan dapat mengeluarkan hasil RM1 juta setahun,” katanya.

Katanya, kerajaan juga memikirkan sumber pendapatan lain selain daripada sumber minyak untuk pembiayaan pelajaran anak-anak tempatan dan projek ini merupakan persiapan jangka panjang demi kepentingan rakyat tempatan.

Menurut Dato’ Seri Ahmad, keluarga miskin yang mempunyai pendapatan RM300 sebulan, kerajaan akan menyumbang RM400 sebulan menjadi RM700, sekaligus mereka akan terkeluar dari senarai kemiskinan.

Katanya, untuk mengenal pasti keluarga yang benar-benar layak di beri bantuan ini, peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamataan (JKKK) diberi kepercayaan untuk membuat bancian dan pemutihan kalangan anak buah masing-masing.

“Saya sendiri akan pergi ke kampung-kampung berkenaan menemui keluarga terbabit dan memastikan apakah mereka benar-benar layak,” kata Dato’ Seri Ahmad yang tidak mahu menerima pakai seratus peratus laporan yang sampai ke pejabat sahaja.

“Insyaalah dalam tempoh dua setengah tahun, ladang ini dapat mengeluarkan hasil dan dalam tempoh itu kita dapat agihkan kepada golongan sasar dan hasrat kerajaan untuk mencapai angka sifar golongan miskin itu dapat dicapai,” katanya.

TEGANUKITA