Halaman

30 November 2010

1,244 Individu Ikrar Untuk Menderma Organ

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mencatatkan 1,244 pengikrar untuk menderma organ seperti buah pinggang, jantung, hati, paru-paru dan pankreas sepanjang diperkenalkan Kempen Menderma Organ 13 tahun lalu.

Pengarah jabatan itu, Dr Nordiyanah Hassan, berkata angka itu dianggap kecil jika dibandingkan dengan tempoh dan jumlah keseluruhan masyarakat di negeri ini yang kini melebihi 2.5 juta.

Katanya, daripada jumlah itu hanya dua individu sahaja tampil menderma organ, seorang penerima organ kadaverik dan sembilan orang lagi menerima organ kadaverik yang dibeli daripada luar negara.

“Pemindahan organ ada satu prosedur yang selamat dan dianggap sebagai rawatan paling baik untuk pesakit yang menghadapi masalah organ yang tidak berfungsi,” katanya ketika berucap sempena Roadshow (jelajah) Promosi Pendermaan Organ di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, semalam (29 November).

Aktiviti itu dianjurkan sebagai strategi untuk memupuk kesedaran orang tentang pendermaan organ, selain mengetengahkan isu-isu berkaitan.

Dr Nordiyanah memberitahu, setiap insan boleh menyelamatkan beberapa nyawa individu lain kerana organ yang dimiliki boleh didermakan kepada pesakit yang berbeza.

Katanya, sebagai contoh organ seperti buah pinggang, jantung, hati, paru-paru dan pankreas dapat memberi manfaat kepada mereka yang masih berpeluang hidup manakala tisu mata, tulang, kulit dan injap jantung pula boleh memperbaiki kualiti hidup pesakit lain.

“Oleh itu, pihaknya memerlukan lebih ramai penderma terutama di kalangan belia bagi memenuhi prosedur dan keperluan itu.

“Mereka tidak perlu takut atau ragu-ragu untuk berbuat demikian kerana Majlis Fatwa Kebangsaan sudah menyatakan menderma organ adalah dibenarkan dan harus dalam Islam,” katanya

Seorang bapa kepada penderma, Wan Ahmad Pauzi Wan Abdullah, 47, berkata dia membuat keputusan menderma buah pinggang anak sulung Allahyarham, Wan Khairi Aiman, kepada adik ipar, Megat Fendi Nik Zain, 22, kerana simpati dengan kesengsaraan akibat komplikasi buah pinggang sejak dibangku sekolah lagi.

Katanya, ketika membuat keputusan untuk memindahkan organ Wan Khairi yang ketika itu mengalami mati otak kerana kemalangan jalan raya, dia mendapat tentangan keluarga termasuk isteri dan ibu bapa mertua.

“Mereka ragu-ragu kerana risau jasad arwah sakit dan tidak cukup sifat untuk dikebumikan selain bimbang menyalahi hukum agama.

“Kerisauan mereka dapat diselesaikan selepas mendapat kaunseling dan nasihat daripada pakar agama dengan memberi keyakinan bahawa amalan menderma organ atau tisu adalah satu amalan mulia kerana mampu memberi sinar harapan kepada mereka yang sakit,” katanya.

Wan Ahmad berkata demikian ketika menceritakan pengalaman sewaktu membuat keputusan menderma organ anak yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Jun 2007.

Katanya, dia bangga berbuat demikian kerana menyifatkan satu amal jariah di mana bukan mudah bagi individu lain membuat seperti dirinya. Apatah melihatkan adik ipar saya kini semakin sihat dan ceria, paling penting tidak lagi bergantung kepada rawatan hemodialisis.

“Saya menyeru kepada masyarakat supaya jangan takut untuk menderma kerana amalan mulia itu mampu memberi kesihatan yang sempurna kepada insan yang memerlukan,” katanya.
TEGANUKITA